Sabtu, 7 April 2018 | 9:37pm
SALAH seorang anggota Akademi Sweden yang meletak jawatan, Peter Englund.

Skandal seks gegar badan Hadiah Nobel Sastera

STOCKHOLM: Tiga anggota terkemuka Akademi Sweden menarik diri hari ini sebagai protes terhadap hubungan rapat antara institusi yang menganugerahkan Hadiah Nobel Kesusasteraan dengan individu berprofil tinggi yang dituduh melakukan serangan seksual.

Akademi berada dalam tidak stabil sejak kempen #MeToo pada November lalu, mendedahkan beberapa anggotanya termasuk isteri dan anak perempuan didakwa dicabul oleh individu yang terkenal.

Akhbar Sweden, Dagens Nyheter, membongkar insiden itu dengan menyiarkan pengakuan 18 wanita yang mendakwa dicabul atau diperkosa oleh salah seorang individu paling berpengaruh di latar kebudayaan Stockholm.

Sejak insiden itu terbongkar, Akademi memutuskan hubungan dengan individu berkenaan yang identitinya tidak didedahkan kepada umum.

Bagaimanapun identitinya secara umum diketahui sebagai individu berprofil tinggi dalam lingkaran kebudayaan.

Serangan seksual didakwa berlaku antara tahun 1996 dengan 2017 menurut Dagens Nyheter.

Salah seorang anggota Akademi Sweden yang meletak jawatan, Peter Englund, berkata skandal itu membahagikan dunia sastera Sweden kepada dua.

"Retak itu nampaknya terus membesar dari semasa ke semasa," katanya dalam surat kepada akhbar Aftonbladet dan menambah Setiausaha Tetap Akademi Sweden, Sara Danius menjadi subjek kepada kritikan 'tidak wajar.'

Insiden itu berterusan apabila perkembangannya dimaklumkan kepada King Carl XVI Gustaf dengan Ketua Pengarah Yayasan Nobel, Lars Heikensten meluahkan kebimbangan terhadap 'situasi yang serius dan sukar itu.'

Bersama-sama Englund, anggota yang lain, Klas Ostergren dan Kjell Espmark memutuskan untuk meletakkan jawatan selepas mesyuarat kumpulan itu di restoran Stockholm, semalam.

"Ia sangat sedih apabila selepas bekerja di Akademi selama 36 tahun termasuk 17 tahun sebagai Pengerusi Jawatankuasa Nobel, saya terpaksa untuk membuat keputusan ini.

"Apabila anggota terkemuka akademi meletakkan setia kawan lebih dahulu daripada tanggungjawab dan integriti, saya tidak lagi dapat mengambil bahagian urusan ini," kata Espmark dalam kenyataannya kepada media.

Sementara itu, Ostergren mengutuk insiden itu sebagai 'pengkhianatan kepada pengasas dan pelindungnya terbesar' yang merujuk kepada pengasas Akademi, King Gustav III serta pereka cipta, Alfred Nobel, yang meninggalkan sebahagian kekayaannya kepada institusi.

Tiga anggota seumur hidup itu secara teknikalnya tidak boleh meletak jawtaan tetapi tiada sebarang undang-undang yang memaksa mereka untuk menghadiri mesyuaratnya.

Daripada 18 anggota akademi, lima daripadanya tidak lagi aktif apabila dua anggota wanita, Kerstin Ekman dan Lotta Lotass, bercuti selama beberapa tahun.

Dalam perkembangan lain, Pengarang Budaya Dagens Nyheter, Bjorn Wiman, menyifatkan perletakan jawatan itu sebagai 'bencana' kepada akademi yang sedang 'runtuh.'

Rakan sejawatannya dari akhbar Aftonbladet, Asa Linderborg, berkata 'menara sedang runtuh.'

Tuduhan terhadap individu berkenaan mula-mula didedahkan sebagai sebahagian daripada kempen #MeToo yang mendedahkan salah laku seks yang bermula di Hollywood, sebelum menggegarkan lingkaran seni, media dan politik di Sweden, antara negara yang paling tinggi persamaan jantina di dunia.

Pada Mac lalu, pejabat pendakwa raya Stockholm mengumumkan sebahagian penyiasatan yang menyiasat dakwaan tuduhan perkosa dan serangan antara 2013 dengan 2015, ditamatkan kerana pembatasan undang-undang atau kekurangan bukti. -AFP

448 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »