Selasa, 3 April 2018 | 5:10pm
PASAR buku Daryaganj di New Delhi. - Foto BERNAMA
PASAR buku Daryaganj di New Delhi. - Foto BERNAMA

Pasar buku Daryaganj jadi tumpuan warga Delhi

NEW DELHI: Pertama kali Manas Kumar menjejakkan kaki ke pasar buku popular yang terletak di kawasan bersejarah Delhi Gate di sini, adalah sewaktu usianya baru mencecah 13 tahun.

Enam tahun kemudian, remaja ini masih menyusuri pasar buku sama yang diadakan setiap hari Ahad untuk mencari bahan bacaan yang boleh membantunya menghadapi ujian kemasukan ke universiti untuk kursus perubatan.

Manas bukan bersendirian kerana beratus-ratus pengunjung membanjiri pasar buku sepanjang satu kilometer untuk mencari buku kegemaran mereka yang meliputi pelbagai bidang.

Ribuan buku boleh dilihat disusun di tepi jalan yang terletak di Jalan Netaji Subhash Marg dan Asaf Ali di kawasan Daryaganj.

Pasar buku popular itu lokasi terbaik kepada warga kota raya yang mempunyai 20 juta penduduk berkenaan, mendapatkan buku pada harga yang paling murah.

"Saya memang suka datang ke pasar buku ini sejak pertama kali ibu saya membawa saya ke sini. Banyak buku boleh dibeli dengan diskaun yang hebat," kata Manas.

Kali ini beliau memerlukan buku teks dan kertas soalan contoh yang boleh membantunya mempersiapkan diri untuk menghadapi ujian kemasukan bagi kursus perubatan yang diminatinya.

Lebih sejuta pelajar India bersaing untuk mendapatkan tempat pengajian bagi kursus perubatan itu.

Ketika Manas sibuk mencari bahan bacaan untuk ujiannya, pengunjung lain datang untuk mencari bahan bacaan santai. Terlalu banyak buku dan murah pula harganya.

Sebagai contoh, penulis membeli dua buku berkulit keras dengan harga hanya 100 rupee (RM6), berbanding harga asal sekitar RM83.

Sebuah buku terpakai yang masih dalam keadaan baik, manakala judul lain terbitan Amerika Syarikat mengenai negara di Afrika yang menjadi buku paling laris New York Times.

Ada yang menjual buku ikut berat buku, dengan menawarkan harga antara 100 hingga 300 rupee (RM18) untuk sekilogram.

Pelbagai jenis buku ada termasuk bahan bacaan untuk kanak-kanak, novel fiksyen, majalah asing, buku teks pelbagai subjek, kamus dan buku panduan.

Penulis sempat berbual dengan penjual buku, Sonu Jain yang berpengalaman dalam perniagaan buku di pasar Daryaganj selama 12 tahun.

Beliau berkata, peniaga buku mendapat bekalan daripada pelbagai sumber termasuk penerbit, pemborong dan orang perseorangan yang tidak lagi memerlukan lagi koleksi mereka, selain daripada peniaga barangan lusuh.

"Saya pernah membeli antara 300 hingga 400 buku dan majalah daripada seorang lelaki yang tidak mahu lagi menyimpan koleksinya. Buku itu mengenai filem dan bintang filem. Beliau sudah tidak berminat lagi, " katanya.

Apabila Sonu mempamerkan koleksi buku lelaki itu, ada pelanggan yang membeli dengan banyak sekali kerana minatnya terhadap bintang filem Bollywood. Lelaki itu juga menaruh harapan untuk menjadi seorang pelakon.

Mereka yang sudah biasa dengan pasar buku itu akan berada di sana seawal yang mungkin kerana buku yang bagus akan cepat disambar pembeli.

Ada yang datang siap dengan senarai buku yang dicari dan tidak perlu menyelongkar longgokan buku.

"Ada tak buku tentang Hitler?" tanya seorang pemuda kepada Jagannath yang sudah 25 tahun berniaga menjual buku.

Pemuda itu mahu mencari buku Mein Kampf, tulisan pemimpin Nazi, Adolf Hitler dikeluarkan pada 1925. Lelaki itu hanya berkata 'buku Hitler' supaya penjual itu dapat mendengar soalannya dalam keadaan pasar yang bising.

Saya bertanya kepada Jagannaths sekiranya buku Hitler popular.

"Saya ada dapat purata lima pertanyaan seperti itu tetapi perniagaan utama saya buku kanak-kanak, " katanya sambil menunjukkan longgokan buku.

Pasar buku tepi jalan itu mempunyai kira-kira 250 peniaga. Di samping itu terdapat juga kedai buku dan syarikat penerbitan di Daryaganj.

Jagannath memberitahu penulis bahawa ramai pelajar, guru dan pegawai dagang menjual buku mereka apabila meninggalkan Delhi yang kemudian akan dijual di pasar Daryaganj.

Rata-rata peniaga buku berkata perkembangan internet dan teknologi digital mengurangkan permintaan untuk beberapa kategori buku.

Buku rujukan, majalah, kamus dan buku yang boleh memberi panduan umpamanya bagaimana mendapatkan gaji yang tinggi apabila mencari pekerjaan atau cara mengendalikan isteri yang suka berbelanja semakin kurang pembeli.

Semuanya itu boleh dirujuk di internet.

"Jualan untuk bahan bacaan seperti itu jatuh 40 peratus berbanding sebelum ada internet," kata Jagannath.

Bagaimanapun, pasar berusia berdekad-dekad itu masih beroperasi kerana permintaan tinggi daripada golongan pelajar serta akademik di Delhi. - BERNAMA

131 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »