Selasa, 3 April 2018 | 12:03am
PERSEMBAHAN dari Gambus dari 3dem Oud Trio sempena 'International Serif Muhiddin Targan Oud Festival' di Institut Tusuf Emre Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad
DUTA Turki, Dr Merve Safa Kavakci berucap sempena 'International Serif Muhiddin Targan Oud Festival' di Institut Tusuf Emre Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad

Seniman agung Turki perkenal oud kepada Barat

KUALA LUMPUR: Pemuzik klasikal Turki, Serif Muhiddin Targan atau lebih dikenali sebagai Targan menjadi tokoh penting pengembangan oud, iaitu alat muzik mirip gambus yang dikatakan tertua di dunia.

Peranan Targan dalam pengembangannya termasuklah membuat gubahan muzik oud melangkaui limitasi instrumen bertali itu sendiri.

Meninggal dunia pada 1967, Targan mempelajari instrumen muzik itu sejak masih kanak-kanak lagi, malah turut muncul dengan konsert pertamanya pada usia hanya 13 tahun.

Pengkaji oud dari Istanbul University State Conservatory, Dr Bilen Isiktas, berkata meskipun idea Targan mungkin kelihatan janggal pada ketika itu, beliau dengan beraninya membawa perubahan kepada sistem alat muzik berkenaan apabila memainkannya secara solo.

Targan yang boleh berbahasa Arab, Perancis, Inggeris dan Iran turut menjadi sosok penting yang membawa oud 'menyeberang' sehingga ia diterima dan dikenali masyarakat barat, terutamanya ketika berhijrah sebentar ke New York pada usia 32 tahun.

Bilen berkata, Targan turut menghasilkan gubahan muzik pendek (etude) oud untuk konsert dan ia menggunakan teknik yang sukar diikuti, apatah lagi apabila susunan muziknya digubah untuk oud yang dimainkan secara solo.


PERSEMBAHAN gambus dari 3dem Oud Trio sempena 'International Serif Muhiddin Targan Oud Festival' di Institut Tusuf Emre Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad

Tokoh muzik abad ke-20

"Sebagai tokoh muzik hebat pada abad ke-20, Targan menggunakan muzik untuk memperluas kemampuan oud.

"Daripada sejenis alat muzik yang dimainkan untuk menemani alat muzik lain sebelum ini, Targan melonjakkan kemampuan oud hingga ia boleh dimainkan secara solo.

"Muzik perlu merentas masyarakat dan ini boleh dilihat dalam hubungan Targan dengan oud serta peranan yang diambilnya bagi mengembangkan muzik oud ini hingga ke luar negara," katanya kepada BH di International Serif Muhiddin Targan Oud Festival di sini.

Yang turut hadir, Duta Besar Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci; Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Salehhuddin Md Salleh; Pengarah Kuala Lumpur Yunus Emre Institute, Dr Omer Altun dan Presiden Persatuan Gambus Malaysia, Raja Zulkarnain Raja Mohd Yusof.

Oud bukan saja penting dalam budaya masyarakat Turki, malah menjadi instrumen utama muzik sufi dan Tariqat Maulawiyah yang diasaskan ulama sufi tersohor, Maulana Jalaluddin Rumi.

Sumbangan Targan tidak hanya terhad kepada melahirkan muzik untuk oud, malah beliau yang memulakan khidmatnya dengan Baghdad Conservatory sejak 1936, turut melahirkan pemain oud terkenal termasuk adik beradik Munir dan Jamil Bashir serta Salman Shukur.

Menjejak langkah Targan dalam perkembangan oud, Bilen turut menubuhkan kumpulan muzik, 3dem Oud Trio bersama dua lagi sahabatnya Bekir Sahin Baloglu dan Sami Dural.

3dem Oud Trio, mengkhusus kepada persembahan oud yang digabungkan dengan pelbagai jenis muzik termasuk Barat, Arab serta gaya harmoni Turki.

"Susunan muzik dan komposisi oud ini masih dikekalkan, tetapi kami turut memastikan ia diberi suntikan baru memandang oud sudah lama wujud," katanya.


IRAMA gambus dari Osman Nuri Özpekel sempena 'International Serif Muhiddin Targan Oud Festival' di Institut Tusuf Emre Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad

Oud ada peminat di Malaysia

Mengenai penganjuran International Serif Muhiddin Targan Oud Festival, Bilen berkata, beliau melihat potensi besar untuk oud lebih dikenali di negara ini, apatah lagi terdapat kumpulan peminatnya yang agak besar di negara ini.

"Gambus dan oud hampir sama tetapi ia tidak serupa. Gambus di negara ini lebih menghampiri gaya Arab. Justeru, saya amat berharap penganjuran festival ini di Malaysia akan dapat memperkenalkan peminat gambus kepada gaya dan teknikal oud Turki.

"Saya juga berharap oud akan menjadi jambatan budaya dalam hubungan Turki dan Malaysia, sekali gus membolehkan kita saling mempelajari budaya satu sama lain," katanya.

Sementara itu, Duta Besar Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci, berkata Targan yang diraikan dalam festival ini, ialah figura penting sejarah dan Islam yang membuktikan bagaimana muzik boleh membawa mesej universal yang penting mengenai keamanan.

"Sebagai seniman dan komposer hebat, Targan menggunakan kepandaiannya dalam instrumen oud bagi mendekatkan jurang serta perbezaan antara Timur dan Barat.

"Apa yang dilakukannya nampaknya berjaya membawa masyarakat dan budaya menyatu pada masa itu," katanya.

Kavacki yang turut teruja mengetahui wujud persatuan dan pencinta oud di negara ini berkata, penganjuran festival ini akan membuka lebih banyak peluang dalam memperluaskan kerjasama kedua-dua negara, terutamanya membabitkan pertukaran budaya masing-masing.

Berita Harian X