Sabtu, 10 March 2018 | 7:18am

Dunia pemerdagangan manusia dikupas

SELEPAS 24 tahun menulis The Joyluck Club, novelis Amerika Syarikat (AS), Amy Tan tampil dengan The Valley of Amazement. Bagaimanapun sayangnya, naskhah itu tidak mampu menandingi The Joyluck Club yang sehingga kini masih dijual di kedai buku seluruh dunia.

Selain fakta sejarah China yang menjadi latar naskhah ini, selebihnya boleh juga untuk disebut The Valley of Amazement seakan-akan tempias novel Fifty Shades of Grey.

Tan dalam temubual dengan The Guardian ada menyebut, The Valley of Amazement ditulis lebih dulu daripada naskhah tulisan EL James itu tetapi The Valley of Amazement mengambil masa lapan tahun untuk disiapkan.

Mungkin ketika proses penulisan itu berlangsung, pengaruh populariti Fifty Shades of Grey secara tidak langsung tumpah ke dalam manuskrip, siapa tahu?

Hanya satu hal dalam naskhah ini yang boleh dianggap sebagai 'cop dagang' Tan, yakni kecenderungan beliau untuk meneroka hubungan antara anak perempuan-emak yang kerap ditemui dalam kebanyakan novelnya yang terdahulu.

Sesekali membaca naskhah ini, teringat pada tulisan Arthur Golden, Memoir of Geisha. Ini kerana The Valley of Amazement membawa pembaca ke dunia pemerdagangan manusia dalam konteks ini wanita.

Violet beribukan wanita Amerika, Lulu dan bapanya seorang pelukis, Lu Shing. Membesar tanpa bapa, Violet dibesarkan emaknya di Hidden Jade, lokasi perniagaan untuk berseronok-seronok.

Zaman kanak-kanak

Latar kehidupan zaman kanak-kanak Violet itu kemudiannya menjadi besar dalam bab berikutnya apabila selepas kejatuhan Dinasti Qing, Lulu dan Violet terpisah.

Violet kemudiannya dijual dan bekerja pula dengan pesaing Hidden Jade. Kehidupan menjadi semakin sukar apabila anaknya Flora, diambil daripadanya sebelum akhirnya Lulu, Violet dan Flora ditemukan.

The Valley of Amazement bukanlah tulisan terbaik Tan. Apatah lagi dengan tulisan berkonsepkan pop, meskipun dikemaskan dengan data sejarah dan bahasa Tan yang mudah tetapi indah.

Tan sebagai pengarang yang sudah lama berkarya boleh menulis naskhah yang jauh lebih baik daripada ini. Apatah lagi berdasarkan fakta yang diakui sendiri oleh Tan, naskhah ini mengambil masa lapan tahun untuk disiapkan.

Namun, kadang-kala kita perlu mengakui seseorang pengarang itu ada juga masa turun dan naiknya.

Info

  • The Valley of Amazement
  • Penerbit: dFourth Estate, London
  • Penulis: Amy Tan
  • Halaman: 589
  • Penilaian: ***
309 dibaca
Berita Harian X