Sabtu, 24 Februari 2018 | 2:52pm
DATUK A Aziz Deraman menyampaikan buku pelancaran Kumpulan Puisi Senja Semakin Merah karya Allahyarham Mustafa Jusoh kepada isteri arwah, Norma Yusof setelah merasmikan majlis Wacana Belasungkawa Penulis Kelantan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi

Karya pengarang Kelantan terus dikenang

KOTA BHARU: Biarpun jasad sudah tiada tetapi karya penulis tersohor di negeri ini terus diingati dan diterjemahkan ke Majlis Wacana Belasungkawa Penulis Kelantan di sini, hari ini.

Majlis anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) itu memperingati karya lima penulis yang sudah meninggal dunia, iaitu Mustafa Jusoh, Sazalee Yaacob, Azmi Yusoff, Talib YK dan Samoza.

Dirasmikan oleh Presiden PERADABAN, Datuk A Aziz Deraman, majlis itu menelusuri latar belakang, profil dan sumbangan serta karya yang dihasilkan penulis terbabit dalam mewarnai dunia sastera tanah air.

A Aziz berkata, karya dan pemikiran yang dihasilkan kelima-lima penulis sudah diterbitkan di media namun tidak pernah dibicarakan atau dikupas oleh sarjana sastera.

"Atas dasar penghargaan kepada mereka yang sudah pergi meninggalkan kita, PERADABAN merancang untuk mengadakan wacana khusus bagi membicarakan karya kelima-lima penulis ini dan secara tidak langsung dapat mendokumentasikan pemikiran sasterawan.

"Majlis ini juga adalah untuk mengetengahkan karya penulis tempatan kepada golongan muda hari ini yang mungkin tidak begitu mengenali penulis semasa hayatnya di dunia," katanya.

Sempena majlis itu, Kumpulan Puisi Senja Semakin Merah karya Mustafa turut dilancarkan dan naskhah berkenaan diserahkan kepada isterinya, Norma Yusof.

Sebagai tribute kepada Sazalee pula, sajak nukilannya yang berjudul Catatan Murba Luka Kepada Puteri Wangsa dideklamasikan oleh anaknya, iaitu Izz Taufik.

Wacana itu meletakkan lima figura yang menceritakan perihal penulis berkenaan iaitu Abdul Hadi Yusoff, Abham TR, Norhisham Mustaffa, Aziz Mohd Nor dan Rosli K Matari.

Dalam wacana yang disampaikan oleh Abdul Hadi terhadap Mustafa, arwah digambarkan sebagai 'musuh semusim dan sahabat abadi.'

"Kenapa saya anggap begitu kerana kami seiring dalam bidang deklamasi puisi dan kerap bersaing sama ada di tempat pertama, kedua atau ketiga dan semasa musim bertanding saya isytiharkan arwah sebagai musuh tradisi.

"Selepas bertanding pula kami adalah sahabat yang paling akrab malah banyak kenangan tercipta bersamanya yang tidak mungkin akan luput di ingatan," katanya.

365 dibaca
Berita Harian X