Rabu, 7 Februari 2018 | 5:07pm
BEKAS Profesor Kesusasteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ding Choo Ming. - Foto Rosela Ismail

Karya klasik singkap sanggahan, kritikan berhemah Melayu

KUALA LUMPUR: Sistem feudalisme sudah lama berakar dalam kehidupan orang Melayu sehingga mereka kuat berpegang kepadanya, tetapi dari semasa ke semasa sejarah tetap mencatatkan wujudnya peristiwa pemerintah disanggah atau dikritik.

Realiti itu boleh dilihat berdasarkan catatan sastera klasik seperti Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah, tetapi cara sanggahan dan kritikan kepada pemerintah dibuat dengan cara berhemah.

Bekas Profesor Kesusasteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ding Choo Ming menegaskan banyak episod dalam dua naskhah klasik itu menceritakan bagaimana berhemahnya orang Melayu menyanggah atau mengkritik.

"Dalam Sulalatus Salatin, kita boleh lihat bagaimana mereka yang hebat seperti Hang Nadim dianggap musuh kerana adu domba.

"Hang Nadim mati dibunuh kerana ideanya mempertahankan Singapura daripada serangan ikan todak menggunakan batang pisang," katanya dalam Ucaptama Kearifan dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah di Forum Dimensi Artistik Berasaskan Manuskrip Melayu di Dewan Persidangan, Menara Berkembar Petronas (KLCC) di sini.

Tegas Choo Ming, sebelum menggunakan batang pisang, ramai rakyat Singapura terkorban kerana diarah oleh pemerintah ketika itu, Paduka Seri Maharaja untuk menggunakan betis mereka sebagai pertahanan.

"Apabila Hang Nadim memberi idea yang bernas, mereka berasa terancam dan mengadu domba. Apa yang berlaku sebenarnya adalah pemerintah ketika itu mahu menutup kelemahan diri," katanya.

Tegas Choo Ming, sekiranya jujur dan mempunyai integriti, pemerintah Singapura ketika itu akan berasa kagum serta memuji budak itu kerana kepintarannya, selain mengakui kelemahan diri.

Tundukkan ego raja

Selain kisah Hang Nadim, Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah juga menuliskan ketegasan watak Puteri Gunung Ledang apabila menolak pinangan Sultan Melaka.

"Bukan sahaja menolak pinangan Sultan Melaka, watak Puteri Gunung Ledang itu menjadi hebat kerana dia berjaya menundukkan ego raja," katanya.

Choo Ming menyifatkan walaupun watak puteri itu mungkin hanya rekaan pengarang, ia berjaya menjelaskan pemikiran emansipasi wanita pada abad ke-15 yang sebenarnya mendahului gerakan emansipasi wanita dan feminis di Eropah pada kurun ke-19.

"Namun kita lihat mengapa kekuatan watak Puteri Gunung Ledang tidak ada dalam kes yang membabitkan Tun Fatimah dan Tun Teja?

"Cerita ini meninggalkan banyak mesej antaranya raja adalah orang yang paling berkuasa di negerinya.

"Ia dapat dibuktikan hinggakan mempunyai kuasa untuk mendapatkan apa yang dikehendaki termasuk Tun Fatimah yang ketika isteri orang," katanya.

Satu hal yang nyata, Sulalatus Salatin juga bercerita mengenai politik dan bagaimana dalam politik, kawan boleh menjadi lawan dan sebaliknya. Hal ini kata Choo Ming bukanlah luar biasa.

Berbeza prinsip

"Dalam Sulalatus Salatin sudah diceritakan mengenai Hang Tuah dan Hang Jebat yang berkawan baik sejak kecil, tetapi akhirnya menjadi musuh kerana prinsip berbeza.

"Hang Jebat mati di tangan Hang Tuah kerana pahlawan itu berpegang pada prinsip, anak Melayu pantang derhaka," katanya.

Choo Ming berkata, membaca sastera klasik tidak boleh hanya sekilas sahaja, tetapi perlu mendalami maksud dan apa yang ingin disampaikan oleh pengarangnya.

"Tindakan Sultan Melaka menjatuhkan hukuman bunuh sebanyak dua kali kepada Hang Tuah sebenarnya sindiran pengarang terhadap kezaliman dan ketidakadilan itu sendiri," katanya.

152 dibaca
Berita Harian X