Selasa, 6 Februari 2018 | 1:54pm
AHLI arkeologi Singapura, Lim Chen Sian memberikan taklimat kepada wartawan di menara senjata zaman kolonial yang dibina British pada 1930-an di Pulau Ubin, timur Singapura. - Foto AFP

Singapura hilang sejarah sebelum British, ditelan pembangunan

SINGAPURA: Singapura berlumba dengan masa untuk menyelamatkan sejarah lalu, kata ahli arkeologi terkemuka yang memberi amaran terhadap pembangunan tidak terkawal di negara yang kekurangan tanah.

Kerja pembinaan berterusan dalam tahun kebelakangan ini dengan hab perniagaan berkembang dengan pesat sehingga ahli arkeologi, Lim Chen Sian bimbang bahan tinggalan sejarah yang boleh membuka kunci zaman sebelum kolonial Singapura akan hilang buat selama-lamanya dalam pembinaan yang tergesa-gesa.

"Ketibaan zaman prakolonial, (bahan bertulis bersejarah) hampir-hampir kosong mengenai Singapura," kata ahli arkeologi itu yang menambah hanya sedikit maklumat yang dapat disusun kembali daripada artifak yang dijumpai dalam proses ekskavasi.

Beliau bertekad untuk menjawab pandangan lazim bahawa tidak banyak perkara yang wujud di Singapura sebelum kedatangan Sir Stamford Raffles pada abad ke-19 yang menjadikannya sebagai laluan perdagangan utama untuk Empayar British.

Chen Sian berkata, artifak daripada penggalian sebelum ini menunjukkan sebenarnya sudah wujud penempatan pelabuhan daripada abad ke-14 hingga pertengahan abad ke-17 yang ketika itu terperangkap dalam perebutan kuasa antara Kerajaan Majapahit Jawa yang berada di selatan dengan kerajaan Ayutthaya Thai yang sedang bangkit di utara.

Terdapat juga bukti mengenai hubungan dagangan yang kuat dengan China sejak lebih 700 tahun termasuk duit syiling dan porselin empayar.

"Apa yang berlaku kepada zaman pramoden Singapura? Soalan itu hanya arkeologi dapat menjawabnya," katanya yang menekankan ia menjadi satu cara untuk negara berkenaan mencari 'memori yang hilang.'

Bagaimanapun, beliau mengakui ia ibarat pertempuran sukar untuk menjaga khazanah yang terkubur dalam kota raya yang luasnya hanya menyamai separuh London dan khuatir terhadap pembinaan metropolis masa depan yang tergesa-gesa akan merosakkan peluang untuk mengetahui sejarah prakolonial.

Singapura juga tidak mempunyai ahli arkeologi kerajaan atau undang-undang yang memerlukan penilaian arkeologi sebelum sebarang kerja pembinaan dilakukan. Justeru, biasanya tanggungjawab itu terpaksa ditampung oleh Chen Sian dan pasukan kecilnya untuk mengisi jurang dengan bekerja secara ad hoc dengan agensi kerajaan, pemaju dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Dalam tempoh beberapa ratus tahun, Singapura wujud. Namun selepas itu, ia hilang," katanya yang menambah kerja arkeologi dapat membantu untuk menjawab mengapa tampaknya hab perdagangan yang berjaya hilang daripada sejarah selama 150 tahun sebelum kuasa Eropah tiba.

Beliau menunjukkan kerja penggalian pada 2015 di tengah-tengah wilayah kewangan, berhampiran dengan lokasi Raffles pertama kali mendarat pada 1819 yang tiga tan bahan bersejarah termasuk syiling tembaga dan perselin China ditemui.

Penemuan itu berjaya membuktikan Singapura ialah pusat perdagangan yang berkembang maju sehingga 700 tahun lalu, kata Chen Sian yang kini mengetuai Unit Arkeologi ISEAS-Yusof Ishak Institute.

Penyelidikannya dibina di atas usaha yang dirintis ahli arkeologi Amerika, John Miksic di Fort Canning Hill yang mengendalikan ekskavasi yang pertama kali dibuat di Singapura pada dekad 1980-an yang berjaya menemukan tinggalan sejarah daripada abad ke-14.

Penemuan yang lebih terkini termasuklah artifak Perang Dunia Kedua seperti set Monopoly dan botol susu yang ditemui di lokasi British bertahan daripada Jepun yang menjajah Singapura dalam tempoh seminggu pada 1942.

"Mereka sedang bermain permainan Monopoly ketika menanti ketibaan Jepun.

"Kita tentu fikirkan askar British adalah orang yang kental, jadi mereka sepatutnya sedang minum-minum bir atau wiski. Tidak, mereka minum susu," katanya.

Ekspedisi terbaru Chen Sian pada Disember lalu bersama Lembaga Taman Negara ke Pulau Ubin, pulau terpencil yang masih mempunyai hutan tebal.

Bersenjatakan parang, beliau merintis perjalanan melalui semak-samun dan menemukan penempatan senjata kolonial dari dekad 1930-an.

Beliau berharap penemuan itu menyeimbangkan warisan mereka dengan perancangan pengurusan.

Chen Sian berkata, ada tanda yang menunjukkan pihak berkuasa menyedari kepentingan untuk memulihara sejarah Singapura.

Lembaga Warisan Kebangsaan melancarkan jerayawara untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan akan melakukan soal selidik terhadap kepentingan kawasan arkeologi yang berpotensi.

"Syukurlah, kita bergerak ke depan dari segi campur tangan yang penting sebelum sebarang pembangunan.

"Ia berubah dengan perlahan-lahan, kita mendapat dana yang lebih sedikit," katanya yang memulakan kerjayanya dengan ekskavasi kuil Maya dan penempatan Mesir.

Gagal untuk mengambil kira arkeologi dalam perancangan pembangunan pada masa lalu, boleh membawa kepada 'hilangnya identiti dan rasa sepunya.'

"Ia mengenai untuk melupakan masa lepas dan menemui kembali Singapura yang merentasi bangunan pencakar langit, kaca dan kelulis serta pendingin hawa.

"Hal sebegini akan menambah nilai kepada negara," katanya. - AFP

2482 dibaca
Berita Harian X