;
Isnin, 5 Februari 2018 | 2:20pm
PROF Dr Victor A Pogadaev. - Foto Zunnur Al Shafiq

Berakhirkah hubungan sastera Malaysia-Russia?

KUALA LUMPUR: Hubungan sastera moden antara Malaysia dan Russia mungkin akan berakhir jika tiada inisiatif dibuat untuk melatih generasi muda sebagai pelapis sarjana sedia ada.

Sejarawan dan penterjemah Russia, Dr Victor A Pogadaev, berkata sehingga kini hanya beliau seorang sahaja yang mengkhusus dalam mengkaji dan menterjemah karya sastera moden Melayu ke bahasa Russia.

"Ketiadaan pelapis akan menamatkan sastera moden antara dua negara yang sudah terjalin sejak 50 tahun lalu.

"Untuk mulakan semula hubungan yang sudah terputus pasti akan sedikit susah dan mengambil masa," katanya kepada BH di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini.

Hubungan sastera Malaysia dan Russia dirintis oleh Boris Pamikel pada 1963 menerusi kumpulan cerpen Di Tepi Jalan, sebelum disambung oleh Pogadaev tetapi sehingga kini belum ada tanda kemunculan sarjana dalam kalangan generasi muda untuk meneruskan kesinambungan itu.

Pogadaev berkata, hal itu sedikit mengecewakan meskipun sebenarnya masih ada sarjana Russia yang aktif menterjemah dan mengkaji sastera Melayu klasik.

"Kalau sastera klasik itu masih ada misalnya Eugenia Kukushkina dan Liubov Goriaeva.

"Goriaeva misalnya menterjemah Hikayat Bakhtiar (1989); Hikayat Marakarma (2008); Hikayat Pandawa Jaya dan Taj us­Salatin (2011) serta Hikayat Raja-Raja Pasai (2015)," katanya.

"Ada seorang lagi, iaitu Dr Tatiana Denisova tetapi tumpuan kajiannya lebih kepada agama Islam meskipun beliau mengkaji hikayat lama," katanya.

Pogadaev berkata, meskipun ketiadaan pelapis mungkin akan menamatkan hubungan sastera moden Malaysia dengan Russia, tindakan menyalahkan generasi muda adalah tidak tepat kerana banyak perubahan semasa yang memungkinkan keadaan sedemikian.

Beliau berkata, di Russia satu ketika dulu kebanyakan rakyat bertugas dengan kerajaan dengan imbuhan gaji yang lumayan.

"Namun hal itu berbeza kini kerana lebih ramai yang memilih untuk menyertai syarikat swasta kerana gaji yang ditawarkan lebih tinggi.

"Hal ini menyebabkan mereka tidak lagi berminat hendak bekerja dalam bidang ilmu kerana gaji yang tidak kompetitif," katanya.

Beliau berkata, tidak ada lagi sarjana dengan kepakaran khusus dalam bidang sastera atau budaya.

"Kenapa mereka tidak minat? Bayangkan ada kes pensyarah dengan kelulusan doktor falsafah hanya dibayar gaji RM400 sebulan, jadi dia perlu buat kerja lain untuk menampung belanja.

"Hal ini menyebabkan orang tidak minat untuk berada dalam bidang ilmu," katanya.

Pogadaev yang menuntut di Universiti Malaya (UM) pada dekad 1960-an sebelum mengajar di universiti berkenaan pada 2001 kini masih aktif menterjemah karya sastera Malaysia ke bahasa Russia meskipun sudah meninggalkan UM sejak tahun lalu.

Ketika ini beliau sedang mengusahakan terjemahan cerpen pengarang Malaysia ke bahasa Russia yang akan diterbitkan dalam sebuah buku yang turut akan memuatkan karya tiga pengarang Russia yang diterjemah dalam bahasa Melayu.

"Setakat ini saya sudah menterjemahkan beberapa karya sastera moden Malaysia ke bahasa Russia antaranya tulisan Rahimidin Zahari, Anwar Ridhwan, Kemala dan Malim Ghozali Pk.

"Dalam menterjemah sebenarnya saya memilih karya yang saya suka dan saya mahu kongsi kesukaan saya itu kepada pembaca Russia," katanya.

554 dibaca
Berita Harian X