Jumaat, 2 Februari 2018 | 12:51pm
RIBUAN struktur misteri tamadun purba Maya termasuk piramid, istana dan laluan, berjaya dibongkar di Guetemala. - Foto AFP

Teknologi laser dedahkan struktur misteri tamadun Maya

GUATEMALA CITY: Ribuan struktur misteri tamadun purba Maya termasuk piramid, istana dan laluan, berjaya dibongkar di Guetemala berikutan penyiasatan oleh pasukan ahli arkeologi antarabangsa menggunakan teknologi laser yang boleh menembusi tanah.

Penemuan itu membolehkan penyelidik untuk membuat pemetaan rangka apa yang mereka gambarkan sebagai puluhan kota Maya yang baru dijumpai yang tersembunyi dalam hutan tebal selepas berabad-abad lama ditinggalkan oleh penduduk asalnya, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Yayasan PACUNAM Guatemala.

Tamadun purba Maya menjadi antara yang paling maju wujud di Mesoamerica yang ditandai oleh matematik dan kejuruteraan yang canggih yang membolehkannya tersebar di seluruh wilayah yang kini dikenali sebagai Amerika Tengah serta utara Mexico.

Penyelidikan menggunakan teknologi LIDAR yang menggunakan cahaya daripada laser untuk memetakan struktur yang tertanam secara terperinci.

"Struktur yang memiliki benteng dan laluan yang luas menunjukkan pengubahsuaian landskap semula jadi yang dilakukan oleh Maya dalam skala yang tidak dibayangkan sebelum ini," kata Francisco Estrada-Belli dari Universiti Tulane.

Pasukan ahli arkeologi meninjau lebih daripada 2,100 kilometer persegi kawasan hutan Peten, bahkan berjaya mendedahkan piramid yang berada di tengah-tengah kota purba Maya, Tikal yang kini destinasi pelancongan utama di timur laut Guatemala.

Ketinggian piramid itu hampir 30 meter yang sebelum ini dianggap gunung kecil.

Pendudukan awal Maya dianggarkan sekitar 1,000 Sebelum Masihi (SM) dan kebanyakan kota utama Maya runtuh pada tahun 900. Punca keruntuhannya menjadi tumpuan perdebatan akademik yang hangat. -Reuters

1937 dibaca
Berita Harian X