Khamis, 1 Februari 2018 | 6:30pm
FUNMI Ilori memandu van yang dipenuhi dengan buku ke kawasan miskin di Lagos . - Foto AFP
PARA pelawat dari Nursery Bethel dan Sekolah Rendah duduk dan membaca buku di perpustakaan mudah alih I-Read pada 30 Januari 2018. Inisiatif I-Read adalah perkhidmatan perpustakaan mudah alih yang pertama di Nigeria. - Foto AFP

Van buku bantu kanak-kanak miskin Nigeria

LAGOS: Funmi Ilori pernah bermimpi membina perpustakaan terbesar di Afrika. Kini beliau memandu van yang dipenuhi dengan buku ke kawasan miskin di Lagos untuk membantu kanak-kanak menemukan perasaan cinta untuk membaca.

"Pembaca ialah apa?" tanyanya kepada kira-kira 15 remaja yang duduk di kerusi plastik dalam kelas yang diubah suai daripada lori.

"Pemimpin!" Mereka menyahut serentak.

Salah satu perpustakaan bergerak Ilori, iRead Mobile Library berhenti di sekolah rendah Bethel yang terletak di daerah kelas pekerja, Ifako di tengah-tengah Lagos.

Dalam kawasan sekolah, gelungsur dan jongkang-jongket berkarat dalam udara lembap. Guru Besarnya, Ruth Aderibigbe, berkata kira-kira 200 pelajarnya hanya memiliki sebuah buku teks.

"Buku memerlukan banyak wang," katanya.

Apabila iRead muncul di sekolah itu dua tahun lalu dengan pilihan buku yang luas daripada buku mewarna untuk kanak-kanak hinggalah novel kanak-kanak serta beberapa judul untuk dewasa, beliau menerimanya dengan tangan terbuka.

Kanak-kanak yang terbabit dalam program itu kini sudah boleh bercakap dan mengeja dalam bahasa Inggeris dengan lebih baik," katanya.

Di dalam van, kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 10 tahun memegang naskhah Half of a Yellow Sun, iaitu karya terlaris di pasaran antarabangsa oleh novelis Nigeria, Chimamanda Ngozi Adichie.

Buku itu jelas sudah banyak kali dibaca: tulang buku itu hampir-hampir tidak dapat memegang halamannya.

Adichie sebelum ini terbabit dalam kontroversi apabila wartawan Perancis melontarkan soalan kepadanya dalam kunjungannya ke Paris sama ada Nigeria memiliki kedai buku atau tidak.

"Saya fikir ia mencerminkan bagaimana orang Perancis sangat miskin sehingga anda terpaksa bertanya soalan begitu kepada saya," balas Adichie yang menambah maksudnya adalah berkaitan sifat rasis dan pandangan kolonial Perancis kepada Afrika.

Ilori sedar akan kontroversi itu dan memahami mengapa soalan berkenaan menyinggung perasaan. Bagaimanapun, beliau melihat isu terbabit dengan luas dan mendedikasikan diri untuk menyelesaikannya.

"Perpustakaan awam berfungsi di Nigeria, sekurang-kurangnya di Lagos. Namun tidak ramai yang memaksimumkan penggunaannya.

"Kita perlu menarik pembaca baharu sejak dari awal usia. Dalam masyarakat luar bandar, ada kanak-kanak yang tidak pernah memegang buku," katanya.

Ilori ialah bekas guru sekolah rendah yang memulakan perniagaan peminjaman buku pada 2013.

"Buku dalam bakul. Saya pergi dari pintu ke pintu," katanya.

Buku boleh dipinjam dengan bayaran beberapa ratus naira (beberapa ringgit) tetapi daripada pengalaman itu, beliau menyedari hanya ada beberapa orang yang bertungkus-lumus dalam ekonomi seharian memiliki masa terluang untuk membaca.

Selepas 10 tahun memulakan skim 'buku dalam bakul', beliau mendapat idea perpustakaan bergerak dan memohon dana daripada inisiatif pembangunan kerajaan Nigeria.

Permohonan itu berjaya dan kerajaan menyalurkan 10 juta naira dengan kadar pertukaran ketika itu bersamaan AS$60,000 (RM234,000).

Dengan dana itu, beliau membeli lori dan bas mini yang kecil.

Kini dengan dana dan tajaan, beliau mampu untuk mengambil 13 pekerja, membeli 1,900 buku dan empat van.

Beliau berkunjung ke empat hingga enam sekolah setiap hari, menganjurkan bengkel membaca pada waktu petang dan memperuntukkan masa pada hujung minggu untuk kanak-kanak yang keciciran di kawasan miskin bandar dengan bantuan sukarelawan.

Van berfungsi seperti perpustakaan sebenar: kanak-kanak memilih buku untuk dibaca di rumah dan memulangkannya seminggu selepas itu dan menulis 'ulasan' yang diwajibkan mengenai isi kandungannya.

Sade memilih cerita pengembaraan kegemarannya meskipun dia sudah pun menghafaznya.

"Membaca adalah hobi saya. Buku memberikan idea dan membantu saya untuk lebih tahu," katanya.

Sementara itu, Adinga memilih Bioenergy Insight, iaitu majalah mengenai tenaga yang boleh diperbaharui yang ditemui di rak buku.

"Adakah anda pasti anda akan membacanya?" tanya seorang sukarelawan. Budak lelaki itu menarik mukanya dan meletakkan majalah itu kembali, lalu memilih komik.

Tidak lama kemudian, kanak-kanak sekolah beruniform putih dan hijau dengan tali leher, kembali ke kelas dengan bangga.

Di tangan mereka, ada buku seperti Toy Story atau Goldilocks and the Three Bears.

Ilori melihat mereka dan mengakui ada sesuatu yang hilang.

"Kita perlukan lebih banyak buku kanak-kanak Afrika sekarang," katnaya.

Memetik pandangan Adichie dalam wawancara yang diterbitkan dalam The Atlantic pada Februari tahun lalu, buku yang dibacanya ketika kecil dan juga "saya fikir benar untuk kebanyakan kanak-kanak di negara yang pernah dijajah, tidak mencerminkan realiti saya yang sebenar." - AFP

164 dibaca
Berita Harian X