Khamis, 1 Februari 2018 | 4:25pm
KETUA Pegawai Eksekutif Write & Brave Sdn Bhd, Izzat Amir,. - Foto NSTP

Tekad penerbit muda, harungi kemelut pasaran buku

KUALA LUMPUR: Pemain industri buku tempatan perlu bingkas mencari strategi terkini di sebalik kelembapan pasaran buku yang menyaksikan ada penerbit terpaksa menanggung kerugian, selain menghentikan cetakan buku baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Write & Brave Sdn Bhd, Izzat Amir, berkata kepintaran menyusun strategi membuka ruang untuk dunia buku berkembang meskipun dalam pasaran buku yang perlahan.

"Sepanjang terbabit dengan industri buku, saya mempunyai data jualan yang amat memberangsangkan walaupun industri buku sudah dikatakan jatuh pada waktu itu.

"Untuk mendapatkan jualan yang memberangsangkan, ia harus mengikuti semua keperluan pemasaran buku. Bila sebut strategi pemasaran 4P (produk, harga, penempatan dan promosi), ramai yang gelakkan saya dan menganggap ia gaya pemasaran konservatif, tetapi sebenarnya jika ia diperhalusi dan digunakan sebaiknya, ia tidak menghampakan," katanya.

Evolusi pemasaran buku

Atas kepercayaan itu, Izzat kini mengetuai Write & Brave Sdn Bhd, iaitu gabungan dua syarikat penerbitan, Terfaktab Media dan Rabak Lit.

Tegas Izzat, di sebalik pasaran buku yang lembap, kaedah penjualan dan pemasaran buku juga sudah berevolusi.

"Selain jualan buku fizikal, buku juga diperdagangkan dalam talian. Selain buku dijual terus kepada pembeli menerusi jualan ke sekolah, universiti selain jualan menerusi 'book truck'," katanya.

Kualiti produk

Tegas Izzat, satu hal perlu ditekankan adalah kualiti produk dihasilkan kerana ia akan memudahkan urusan selanjutnya.

"Gabungan kualiti penulisan, kekuatan promosi dan edaran buku, insya-Allah akan berjaya.

"Bagaimanapun mental penulis juga harus kuat, menerima kritikan demi peningkatan diri sendiri juga perlu selain sedia memberi komitmen yang jitu," katanya.

Senada dengan Izzat ialah Ketua Pegawai Eksekutif Roman Buku Sdn Bhd, Nurul Asyikin Abd Hamid (Aloy Paradoks) yang menegaskan persoalan pasaran lembap itu wujud tetapi tidak bermakna pemain industri buku hanya duduk menyalahkan keadaan dan terus mengeluh.

"Kami mahu bangkit dan keluar daripada kemelut kerana itu lebih baik rasanya dari terus mengeluh. Lebih banyak masa kami mengeluh lebih banyak kerugian dan duit akan habis begitu saja. Jadi pandang ke depan dan jalan terus," katanya.

Tidak menafikan penerbitan tempatan yang tepu dengan naskhah urban, Roman Buku katanya tampil memberi alternatif kepada pembaca dengan karya eksperimental selain naskhah sastera.

"Dulu kita melihat kemunculan penerbitan seperti Buku Fixi yang muncul pada saat industri buku tempatan ketandusan bahan bacaan yang sebegitu.

620 dibaca
Berita Harian X