Rabu, 31 Januari 2018 | 10:29pm

Berita palsu, perang paling sengit

PERNAH dikatakan secara berseloroh, "Ia pasti benar: Saya baca mengenainya di akhbar". Implikasi ketara ialah wartawan tidak boleh diharapkan untuk menceritakan perkara sebenar. Ironinya kini berganda: media lama masih berpegang kepada tanggungjawab perundangan dan moral dalam menentusahkan fakta secara serius - seperti yang selalu dilakukan golongan majoriti - manakala jutaan orang hari ini cenderung mempercayai apa saja yang disajikan di internet, mesej atau media sosial tanpa sebarang proses pengesahan.

Seolah-olah penyajian bahan tidak tentu sahih yang semakin popular ini tiada sempadan, sekali gus mengundang kebimbangan apabila pelbagai berita yang berlegar secara dalam talian ketika ini sengaja direka, kadang kala untuk tujuan bergurau, namun sering kali bersifat fitnah, bagi menjejaskan individu, parti politik atau institusi. Oleh itu, sukar dinafikan bahawa kita ketika ini hidup di zaman "berita palsu".

Malangnya ada yang mempertikaikannya hanya kerana mereka tidak menyukai pemimpin yang menentang fenomena ini. Dalam fikiran mereka Donald Trump, namun terdapat juga 'orang kuat' dan autokrat yang menggunakan terma "berita palsu" untuk menepis dakwaan terhadap mereka.

Pertamanya, semakin ramai yang sepakat bahawa masalah ini berakar umbi dan semakin menular. Barisan pemimpin dunia yang menuntut tindakan menanganinya melangkaui Trump. (Beliau, secara tidak sengaja, mungkin mempunyai alasan utuh bahawa pelbagai cerita yang dikaitkan dengannya adalah sekadar dakyah. Seperti penelitian rapi Pengarang New Statesmen, Peter Wilby: "Anda boleh kata dan tulis sesuka hati mengenai Amerika, tetapi tiada siapa yang akan menangkap kamu.")

Awal bulan ini, Emmanuel Macron menzahirkan kesedihan "ribuan akaun propaganda dalam rangkaian sosial menular di seluruh dunia, menerusi pelbagai bahasa, pembohongan dicipta bagi menjatuhkan imej ahli politik, personaliti, tokoh masyarakat, wartawan." Beliau mengumumkan akan menggubal undang-undang untuk memerangi maklumat tidak sahih di internet ketika pilihan raya.

Jerman sudah melaksanakan perundangan bagi membasmi kenyataan yang menyuntik kebencian - kebanyakannya merangkumi persepsi palsu yang boleh dikira sebagai "berita palsu" - dan bahan tidak sah. Perdana Menteri Britain, Theresa May, baru-baru ini juga meluluskan penubuhan unit tindak khas bagi "menangani maklumat tidak sahih secara tuntas dan mengembalikan debat awam berteraskan fakta".

Keduanya, terdapat bukti yang cukup berita palsu kini dijana secara aktif, termasuk didalangi individu yang tahu perkara tidak benar yang mereka sebarkan. Contohnya di Malaysia: wujud segelintir Ahli Parlimen mengemukakan kegusaran bahawa negara ini di ambang muflis - sedangkan Bank Dunia mengunjurkan KDNK Malaysia berkembang pada kadar 5.8 peratus tahun lalu dan menyatakan ekonominya "berkembang dari kedudukan kukuh."

Dakwaan masih berlegar bahawa kerajaan Barisan Nasional memenangi pilihan raya lalu dengan membawa masuk 40,000 rakyat Bangladesh untuk mengundi mereka - walaupun tiada bukti dikemukakan untuk menyokong dakwaan berkenaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ternyata benar apabila menyatakan: "Sehingga kini, tiada sesiapa yang pernah terserempak atau melihat bayang-bayang mereka. Sudah-sudahlah berbohong". Bagaimanapun masih ada orang yang berpendapat bahawa cerita yang disebarkan di media sosial dan internet itu adalah benar.

Seorang pemimpin pembangkang pula berterusan menyatakan bahawa Malaysia sudah menjadi "antara 10 negara paling korup di dunia" walaupun tiada senarai yang menunjukkan Malaysia sedemikian kerana Malaysia kedudukan ketiga teratas dunia negara paling kurang korup berdasarkan senarai tahunan diterbitkan Transparency International's.

Perdebatan hangat politik mungkin antara faktor, namun ia juga berkait dengan pemilihan pentakrifan - 350 juta pound sterling seperti dimomokkan menerusi kempen keluar, contohnya UK boleh mengemukakan tuntutan semula daripada EU setiap minggu pasca Brexit mungkin boleh dianggap mengelirukan, namun ia juga benar jika dipandang daripada sisi perangkaan kasar yang tidak lagi di bawah kawalan EU.

Bagaimanapun tindakan memanipulasi fakta atau menyebarkan fitnah, adalah perkara berbeza. Jika mereka meraih manfaat daripadanya, ia bakal mengundang kesan jangka panjang. Kebenaran menjadi subjektif. Realiti alternatif yang mengetepikan perundangan logik pula diterima pakai. Kualiti perdebatan politik merundum ke tahap mencerca nama dan melempar cacian, sehingga tiada lagi kesepakatan mengenai apa yang membentuk kebenaran.

Jika mereka ingin dilindungi, bermaksud tindakan lebih keras perlu dikenakan terhadap individu yang menyebarkan maklumat tidak sahih, sama ada secara sengaja atau cuai. Adalah salah bagi pejuang kebebasan bersuara yang secara membuta tuli membangkang sebarang usaha untuk mengekang kebebasan mereka. Mereka sewenang-wenangnya menggunakan hak itu untuk menabur fitnah, sering kali membinasakan, kononnya untuk mempertahankan kebenaran.

Hakikat bahawa banyak negara, dari Perancis dan Britain hingga ke Malaysia dan Filipina, sedang bangkit bagi memenuhi keperluan dalam memerangi berita palsu secara proaktif, wajar diterima. Ini yang akan menyelamatkan kebebasan bersuara sebenar. Memadai ia satu kejutan untuk menggalas tanggungjawab "mengembalikan perdebatan awam berteraskan fakta" seperti yang dikatakan jurucakap UK itu. Heret pengadu berita palsu yang turut bersalah menyebarkannya. Tetapi jangan jejaskan usaha mencari kebenaran. Ia adalah antara peperangan paling penting pada masa ini.

Sholto Byrnes ialah felo kanan Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa Malaysia.

181 dibaca
Berita Harian X