Selasa, 30 Januari 2018 | 9:16pm
CHIMAMANDA Ngozi Adichie.- Foto AFP
CHIMAMANDA Ngozi Adichie.- Foto AFP

Soalan wartawan 'ada kedai buku di Nigeria?' cetus polemik

LAGOS: "Ada kedai buku di Nigeria?" Soalan yang dikemukakan oleh wartawan Perancis pada minggu lalu mengejutkan novelis Nigeria, Chimamanda Ngozi Adichie.

Dalam acara yang diadakan di bangunan kerajaan yang mewah di Paris dan di bawah lampu kristal, Adichie melancarkan 'serangan balas' terhadap keangkuhan Perancis itu.

"Saya fikir ia mencerminkan kemiskinan rakyat Perancis apabila anda terpaksa bertanya begitu.

"Buku saya dibaca di Nigeria. Ia dibaca di sekolah. Bukan saja di Nigeria, bahkan di seluruh Afrika," katanya.

Kemarahan di media sosial mungkin sudah dapat dijangka: penghinaan dilontarkan kepada wartawan Perancis di tengah-tengah tuduhan rasisme dan prejudis kolonial.

Adichie belum selesai lagi. Novelis yang dilahirkan di Nigeria tetapi kini menetap di Amerika Syarikat (AS), menyambungnya dengan catatan di Facebook keesokan harinya dengan berhujah soalan kedai buku itu memberikan legitimasi terhadap 'kejahilan yang disengajakan dan memenatkan terhadap Afrika.'

Bagaimanapun tidak semua yang bersetuju seratus peratus. "Anda tidak boleh menyebut tiada kedai buku atau perpustakaan langsung di Nigeria, ia mengarut," kata kolumnis akhbar tempatan, The Vanguard, Tabia Princewill kepada AFP.

"Bagaimanapun, ia tidak menarik dan biasanya lebih menampilkan buku agama atau pendidikan. Di perpustakaan awam pula, hampir tiada buku.

"Ia memalukan dan ia bukanlah bermakna menjadi anti-Afrika untuk mengakuinya. Golongan elit Afrika tidak mahu menghadapi realiti ini," katanya.

Polemik kedai buku ini menyebabkan berlakunya polarisasi kerana ia bukan semata-mata akses kepada buku yang sebenarnya memang menjadi masalah sistem pendidikan negara berkenaan.

Ketika populasi ekonomi terbesar di Afrika Barat meledak, kerajaan bertungkus-lumus untuk mendidik 190 juta rakyatnya.

Nigeria mempunyai kadar celik huruf sebanyak 60 peratus, iaitu antara yang terendah di pasaran negara di wilayah itu, menurut firma perbankan Renaissance Capital dalam nota Selasa.

Terdapat jurang perbezaan yang besar di negara itu dengan wilayah selatan menyaksikan kadar celik huruf yang tinggi berbanding utara, tetapi kualiti guru dan kehadiran pelajar menjadi masalah tidak kesudahan.

Dalam catatan Facebook, Adichie mengakui kesan buruk daripada pemberontakan Boko Haram terhadap kedai buku di timur laut negara berkenaan.

Beliau berkata, bapa saudaranya memiliki kedai di Maiduguri, iaitu ibu kota di timur laut Borno State dan tempat lahirnya Boko Haram tetapi ia terpaksa ditutup kerana keadaan bandar itu dirasakan 'terlalu tidak selamat.'

Sementara itu, wilayah utara pula berhempas-pulas untuk melawan ideologi fundamentalis golongan itu yang menggunakan slogan 'pendidikan Barat dilarang', manakala selatan pula mempunyai isu tersendiri.

Kedai buku di kejiranan di Lagos, iaitu ibu kota komersial negara dengan 20 juta penduduk, perlu berdepan dengan masalah elektrik dan pasaran yang dilimpahi dengan buku cetak rompak.

Namun, sebahagiannya masih menemui jalan. Kayode Odumosu sangat menyukai buku dan pada usia baru 11 tahun, beliau sudah pun bekerja di perpustakaan sekolahnya.

Pada 1993, Odumosu membuka Kelab Buku Lagos di Festac, iaitu kawasan kejiranan untuk masyarakat kelas pertengahan. Sebanyak 3,000 buku terpakai disusun rapat di atas rak diperbuat daripada besi yang panjang.

"Saya menjual buku Shakespeare dan semua novel Chimamanda," katanya dengan bangga.

Di Jazzhole, iaitu kedai buku yang dianggap oleh Adichie sebagai lokasi kegemarannya di Lagos, bekalan elektriknya terputus dan pengudaraannya kurang baik. Kedai buku itu menampilkan biografi raja Afrobeat, Fela Kuti bersebelahan dengan buku mengenai Tehran dan Venice.

Pemiliknya, Kunle Tejuoso mengambil alih perniagaan keluarganya pada 1975. "Ia sebelum kelahiran Chimamanda," katanya.

Kontroversi kedai buku tidak mengganggunya.

"Saya sudah biasa. Apabila orang Barat datang ke kedai buku saya, mereka biasanya sedikit terkejut," katanya.

Beliau berkata, di sebalik semua masalah Nigeria, buku menjadi bahagian penting dalam budayanya.

"Latar sastera sedang meledak di Nigeria. Kami mempunyai ramai penulis baharu yang dapat mendorong generasi muda untuk mahu membaca buku.

"Cabaran terbesar kami ialah internet. Pada masa lalu, orang muda tidak mudah terganggu," katanya yang membayangkan masalah yang sebenarnya menjejaskan kedai buku sama ada di Perancis mahupun Nigeria.- AFP

361 dibaca
Berita Harian X