Selasa, 30 Januari 2018 | 7:50pm
DATUK Nafisah Ahmad (kiri) bersama Valery N Yermolov (dua kiri) dan Dr Victor A Pogadaev semasa pembukaan pada Majlis Perasmian Pameran Russia - Malaysia: History of Friendship dan Pelancaran Buku Sejarah Tamadun dan Budaya Rusia, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di Perpustakaan Negara Malaysia. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Buku eratkan hubungan diplomatik Russia-Malaysia

KUALA LUMPUR: Penerbitan buku Sejarah Tamadun dan Budaya Russia dapat mengeratkan hubungan diplomatik antara Russia dan Malaysia yang terbina hampir 50 tahun lalu.

Duta Besar Russia ke Malaysia, Valery N Yermolov, berkata sejak itu, pelbagai usaha dibuat untuk mengukuhkan hubungan antara dua negara.

"Pada 1960-an, Russia sudah mula menghantar pelajar ke negara ini untuk menjalani program pertukaran pelajar.

"Antaranya Dr Victor Pogadaev yang hari ini bukan hanya dikenali sebagai sejarawan, bahkan pakar dalam kesusasteraan, budaya dan sejarah Asia Tenggara," katanya pada

Majlis Perasmian Pameran Russia - Malaysia: History of Friendship dan Pelancaran Buku Sejarah Tamadun dan Budaya Rusia, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Duta Republik Azerbaijan, Qaley Allahverdiyev; Ketua Pengarah PNM, Datuk Nafisah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron.

Yermolov berkata, usaha yang dibuat oleh Pogadaev antara lainnya memakmurkan lagi persahabatan antara kedua negara.

Sementara itu, Pogadaev berkata, Sejarah Tamadun dan Budaya Russia adalah himpunan nota kuliahnya sepanjang beliau mengajar di Universiti Malaya (UM) sejak 2001.

"Nota kuliah ini pendek-pendek saja asalnya sebelum dibaiki untuk tujuan penerbitan. Ia adalah catatan seputar isu kebudayaan dan ketamadunan Russia.

"Penerbitan ini diharap dapat mempromosi hubungan antara dua negara dan memberi peluang untuk orang Malaysia mengenali Russia dari sudut sastera, sejarah dan budaya," katanya.

Pogadaev yang kini berulang alik antara Moscow dengan Kuala Lumpur berkata, manuskrip itu menarik perhatian ITBM sebelum ia diluluskan untuk penerbitan.

Mengimbas kembali kenangan sebagai pelajar Russia ke negara ini selepas tiga tahun hubungan diplomatik antara Russia dan Malaysia terjalin secara rasmi, Pogadaev berkata, beliau masih ingat disambut oleh wartawan terutama dari kumpulan The New Straits Times Press Bhd (NSTP) yang membuat banyak liputan mengenai kedatangannya dan tiga lagi rakan.

Pogadaev yang mendapat taraf PR Malaysia sebelum ini mengusahakan kamus bahasa Melayu-Russia selain ketika ini turut terbabit dalam kompilasi antologi cerpen pengarang Malaysia-Russia yang juga bakal diterbitkan ITBM.

320 dibaca
Berita Harian X