Isnin, 29 Januari 2018 | 5:38pm
Bangunan kedai buku Weyhe, yang dimiliki oleh Helga Weyhe, di bandar Salzewedel, Jerma. - Foto AFP

Usia 95, penjual buku Jerman enggan bersara

SALZWEDEL: Apabila Helga Weyhe mula membuka kedai bukunya, Tentera Komunis Russia sedang mara ke kota kelahirannya di timur Jerman, Hitler masih berkuasa dan Sartre baru saja menerbitkan buku berjudul No Exit.

Mundar maju lebih tujuh dekad dan penjual buku tertua di Jerman yang berusia 95 tahun masih cergas dan mengagumkan, malah masih menunda sebarang perbincangan untuk bersara atau memperlahankan aktivitinya.

Masih menguruskan kedai buku itu enam kali seminggu, Weyhe berkata, buku berjaya mendorong beliau untuk mengharungi dua pemerintahan diktator, malah akan terus menjadikannya melepasi bab terakhir hidupnya juga.


Pemilik kedai buku Helga Weyhe di hadapan pintu masuk kedainya di bandar Salzewedel di Jerman. - Foto AFP

"Saya bermula pada tahun 1944 dan saya masih di sini.

"Saya mempunyai banyak impian ketika muda tetapi ia semua membabitkan buku," katanya kepada AFP sambil tersenyum di pejabatnya yang dipenuhi dengan susunan buku.

Weyhe mewakili generasi ketiga keluarganya yang menguruskan kedai buku itu yang berada di lokasi yang sama sejak tahun 1840.

Datuknya memiliki rak buku berwarna perang yang dibini pada tahun 1880 ketika Otto von Bismarck memerintah Jerman.


Pemilik kedai buku Helga Weyhe mencari buku di internet untuk pelanggan di kedainya di bandar Salzewedel di Jerman. - Foto AFP

Kisah hidup Canselor Besi terselit di antara buku biografi politik yang menjadi antara kepakaran Weyhe dalam pilihan buku yang eklektik daripada eksistensialis kepada Jerman klasik hinggalah lakon layar Hollywood.

Setiap jilid dalam kedai buku itu memiliki pengesahan sokongan Weyhe meskipun beliau belum membacanya dari kulit ke kulit. Beliau juga tidak tegar untuk mematuhi susunan yang seiras dengan rangkaian kedai buku gergasi.

"Anda tidak akan menemukan novel misteri di sini kecualilah ia mempunyai keistimewaan," katanya tegas tetapi masih memuji karya Agatha Christie dan pengarang seram Jerman, Ingrid Noll.

Ketika Perang Dunia Kedua masih rakus, Weyhe mula bekerja dengan bapanya, Walter di kedai buku yang membawa nama keluarga di kediaman separuh kayu yang juga rumah kedua-duanya dilahirkan.

Anak beranak itu menguruskan kedai buku bersama-sama pada zaman pendudukan Soviet dan negara komunis Jerman Timur (GDR) serta beliau mula mengambilalihnya pada 1965, empat tahun selepas regim menjadikan mereka sebagai 'banduan' dalam negara di sebalik Tirai Besi.

"Pada zaman GDR, perkara yang paling dahsyat adalah berasa biasa dengan persekitaran dan berfikir: 'Aku tidak mungkin akan hidup untuk menyaksikan semua ini berubah'," katanya.

Ia bermakna menghabiskan masanya sehingga usia persaraan rasmi Jerman Timur - apabila sekatan perjalanan untuk rakyat dilonggarkan - sebelum beliau dapat ke luar negara untuk mengunjungi bapa saudara kegemarannya yang mengendalikan kedai buku terkemuka di Lexington Avenue, New York.


Pemilik kedai buku Helga Weyhe (kanan) duduk di kedainya di bandar Salzewedel di Jerman. - Foto AFP

"Bayangkan bagaimanakah perasaan anak muda yang terpaksa menunggu sehingga berusia 60 tahun untuk boleh ke luar negara.

"Perjalanan ke New York bukanlah kunjungan biasa - ia adalah mimpi menjadi realiti," katanya.

Kedai buku Salzwedel dipenuhi dengan gambar pemandangan langit New York dan papan tanda jalan berwarna biru yang tertera alamat kedai buku bapa yang kini sudah ditutup.

Tahun lalu, Weyhe menerima hadiah pencapaian sepanjang hayat daripada Persatuan Penjual Buku Jerman yang secara rasminya mengisytiharkan beliau sebagai pengamal industri buku yang tertua negara itu.

"Apabila saya memenanginya, saya katakan ia bukanlah milik saya seorang, sebaliknya ia untuk keluarga saya yang sudah lama bertahan di sini," katanya.

Beliau berkata, Salzwedel dengan populasi 25,000, terletak 200 kilometer di barat laut Berlin, sudah lama mengangkat sastera melalui kedai bukunya.

"Saya cuba mendapatkan buku yang mengagumkan pelanggan dan menyebabkan mereka berkata 'anda menjual buku seperti ini di bandar kecil ini?'

"Itulah sebabnya saya berjaya menarik pelanggan yang jauh - saya boleh katakan pelanggan saya dari Boston hinggalah Bangkok," katanya.

Sementara itu, pelanggan setianya, Klaus Schartmann yang juga paderi, percaya Weyhe memiliki anugerah unik yang dapat menarik pembaca.

"Beliau selalu berjaya menepati sasaran dengan cadangannya - daripada buku kanak-kanak hinggalah sastera dewasa.

"Dan kita akan gembira kerana pelanggan biasanya tidak akan menemukannya di mana-mana kedai buku di Jerman lagi kecuali di Salzwedel," katanya.

Di negara yang menyaksikan Gutenberg mencipta mesin cetak pada abad ke-15, semakin ramai pelanggan mula beralih kepada membeli buku dalam talian dengan peningkatan jualan lebih 5 peratus pada 2016.

Sementara itu di kedai buku, terutama di jalan utama di pusat bandar berbanding pusat membeli-belah, menyaksikan penurunan 1 peratus dalam perolehan, sekali gus meneruskan trend sejak sedekad lalu berdasarkan data industri.

Weyhe percaya kuasa kedai buku untuk membangkit dan meningkatkan semangat ketika parti nasionalis Alternative for Germany (AfD) semakin mara di wilayah berkenaan.

Walaupun beliau tidak menganggap kedai bukunya membawa misi untuk mengalihkan pelanggannya daripada politik ekstrim, beliau menekankan soal pemilihan buku yang membuka minda.

"Pada era pascaperang, saya lebih banyak menampilkan buku sejarah Jerman supaya rakyat dapat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

"Saya tidak mudah-mudah menjual buku yang dapat memperkukuhkan AfD," katanya sambil memberitahu trend semasa yang menyaksikan kedai buku turut mengambil kesempatan terhadap ketakutan terhadap migrasi besar-besaran.

Weyhe tidak banyak bercakap apabila ditanya mengenai bilakah beliau akan bersara - beliau tidak pernah berkahwin dan tidak mempunyai anak.

"Ia mungkin hari ini, boleh jadi esok. Atau boleh jadi bila-bila masa saja," katanya.

Bagaimanapun keyakinannya kukuh bahawa beliau tidak dapat diganti dalam kedai buku itu.

"Semua jenis orang pernah datang ke sini dan berkata yang mereka akan mengambil alih.

"Tapi siapa lagi yang boleh membantu seperti Herr Schartmann," katanya yang merujuk kepada pelanggan setianya.

"Tidak semua orang boleh berbicara mengenai hal buku - anda perlukan sedikit pengalaman," katanya. - AFP

659 dibaca
Berita Harian X