Selasa, 9 Januari 2018 | 12:42pm
GALERI Prima. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Pelukis muda semakin berani dekati perkara tabu

KUALA LUMPUR: Seni halus tanah air sebenarnya tidak kekurangan pelukis muda berbakat jika mahu dibandingkan dengan bidang seni lukis di luar negara.

Tema yang diangkat mungkin kelihatan berulang-ulang tetapi menariknya ialah cara bagaimana ia dipersembahkan dengan bersahaja oleh bakat muda ini hingga akhirnya mereka dapat lari daripada gambaran karya yang biasa.

Mereka mempunyai identiti sendiri dalam berkarya meskipun pengaruh pelukis terkenal dapat dikesan di sana sini.

Hal ini dapat disaksikan melalui The Young Contempo Showcase II di Galeri Prima, Balai Berita, yang akan dipamerkan sehingga 24 Januari ini.

Menampilkan 60 karya daripada 24 pelukis, pameran dengan kerjasama Curate Henry Butcher itu berjaya menyerlahkan kepelbagaian warna dalam seni halus tanah air yang kini tidak lagi terkepung dalam pengertian makna yang tradisional.

Tidak hanya itu, pameran ini juga memperlihatkan bakat muda yang sudah tidak lagi segan-silu ketika berkarya.

Mungkin dianggap mendekati perkara tabu yang tidak dibincangkan secara terang-terangan dalam masyarakat tetapi dalam masa sama karya yang ditampilkan memperlihatkan keberanian pelukis muda tanah air dan mungkin juga menggambarkan bentuk karya yang akan kita temukan terutamanya ketika melangkah ke 2018.

Wanita sebagai subjek

Trixie Tan Lu Man misalnya pasti mencuri perhatian penggemar seni. Menampilkan wanita sebagai subjek, Lu Man menyelitkan elemen feminis yang melihat wanita lebih dari sekadar pengertian tradisionalnya.

Jika Lu Man berani ke depan dengan karya sebegitu, Amy Nazira pula memilih menghasilkan 'naïve art' tetapi menonjol dengan tema yang mengangkat mengenai pilihan perjuangannya antara meneruskan cita-cita dan masih menjadi wanita hebat dalam kehidupan berkeluarga.

Ismail Awi pula mengangkat isu kemanusiaan melalui perihal penderitaan Palestin melalui naskhahnya Sekutu dan Ruzzeki Harris melalui Fragile, mendekati subjek yang sangat peribadi dalam kehidupannya.

Kurator The Young Contempo Showcase II, Sim Polenn berkata, pameran ini menampilkan 60 karya daripada 24 pelukis muda berbakat tanah air yang mengetengahkan karya yang luar biasa 'sedapnya'.

"Mereka menghasilkan karya yang sangat menarik untuk dieksplorasi, malah satu persamaan mereka, semua pernah memenangi pengiktirafan dalam seni lukis bukan saja dari dalam negara malah pada peringkat antarabangsa.

"Daripada satu segi, pengiktirafan diperoleh mereka itu menunjukkan prestasi dan kualiti mereka dalam seni lukis dan karya yang ditampilkan juga menarik untuk dipersembahkan dalam satu pameran kerana semua menampilkan sesuatu yang berbeza dan menyerlahkan identiti mereka," katanya.

Polenn yang juga Pengarah Henry Butcher Art melihat bentuk pengkaryaan oleh 24 pelukis muda berbakat ini akan meletakkan seni halus negara ke tahap sepatutnya.

"Kami menguruskan banyak lelongan lukisan bukan saja membabitkan seniman di Malaysia malah dari negara Asia Tenggara dan Malaysia sememangnya mempunyai banyak bakat yang setanding dengan luar negara," katanya.

464 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »