Jumaat, 22 Disember 2017 | 3:36pm
KETUA Perwakilan TECO, James Chi-Ping (tiga dari kanan) dan Pengerusi ITBM, Budiman Mohd Zohdi (tiga dari kiri) hadir pada Majlis Pelancaran Enam Buku Terjemahan Malaysia-Taiwan di Wisma ITBM, Wangsa Maju, hari ini. -Foto Zulfadhli Zulkifli

Komik Kampung Boy, Sang Kancil ke Taiwan

WANGSA MAJU: Tiga komik Malaysia yang diterjemah ke bahasa Cina iaitu Kampung Boy karya Datuk Lat; Sang Kancil and The Crocodiles (Jaafar Taib dan Rahimidin Zahari) serta Entimuk and Kejuang (Isabella Jali dan Al-Zafran Hassan) akan diedarkan oleh tiga penerbit Taiwan untuk pasaran negara berkenaan.

Tiga naskhah itu sebahagian program 2017 Spotlight Project Taiwan hasil usaha sama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia (TECO) yang turut menyaksikan tiga karya dari Taiwan, Ka Pu Lei's Wing, Waiting & Hope serta The Little Blue Dress diterjemah ke bahasa Melayu bagi pasaran negara ini.

Pengerusi ITBM, Budiman Mohd Zohdi, berkata kerjasama dengan Taiwan itu lanjutan daripada penerbitan Antologi Cerpen Malaysia-Taiwan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina melalui ITBM sebelum ini.

Beliau berkata, kerjasama dengan TECO yang turut mendapat sokongan Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN) itu, antara pendekatan terbaik diambil ITBM bagi memperkenalkan kebudayaan dan keilmuan negara pada peringkat dunia.

"Kita dapat menonjolkan bahan bacaan berkualiti yang dimiliki negara ini, sekali gus membolehkan masyarakat kedua-dua negara mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kehidupan dan budaya masing-masing.

"Usaha ini penting tambahan lagi Kuala Lumpur sendiri kini giat dalam usaha membida untuk gelaran Ibu Kota Buku Dunia pada 2020," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Enam Buku Terjemahan Malaysia-Taiwan di Wisma ITBM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Perwakilan TECO, James Chi-Ping; Presiden HAN, Datuk Goh Hin San; Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron; Pengarah Bahagian Kebudayaan TECO, Peggy Chou dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Terdahulu, Chi-Ping dalam ucapannya berkata, 2017 Spotlight Project Taiwan diadakan bertujuan mempromosi pertukaran budaya antarabangsa serta memupuk minat masyarakat dunia kepada kebudayaan Taiwan.

Beliau berkata, usaha sama penerbitan dan penterjemahan itu juga dapat memastikan pengukuhan hubungan antara Malaysia-Taiwan buat jangka masa panjang.

"Kami gembira dengan kerjasama dengan ITBM dan HAN melalui penerbitan dan penterjemahan ini. Apatah lagi Malaysia antara negara utama di Asia Tenggara yang kami berminat untuk terus bekerjasama bukan saja dari aspek budaya, malah teknologi dan pendidikan," katanya.

268 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »