Khamis, 21 Disember 2017 | 7:32pm
MANUSKRIP novel Balzac berjudul Ursule Mirouet dijual pada harga 1.17 juta euro (RM5.7 juta) pada lelongan. - Foto AFP

Manuskrip novel Balzac dilelong RM5.7 juta

PARIS: Manuskrip novel Balzac berjudul Ursule Mirouet dijual pada harga 1.17 juta euro (RM5.7 juta) pada lelongan koleksi peribadi naskhah sastera terbesar di dunia di sini, semalam.

Draf yang menjadi salah satu daripada dua manuskrip koleksi peribadi itu mengandungi kisah pada tahun 1841 yang menampilkan wanita yang terselamat daripada muslihat pemimpin wilayah untuk merampas harta warisannya.

Manuskrip itu dijual dengan bidaan tertinggi pada jualan sulung koleksi besar-besaran yang dimiliki firma pelaburan Aristophil.

Syarikat itu ditutup ekoran skandal dua tahun lalu yang membabitkan 850 juta euro (RM4.1 bilion) wang pelabur yang dituduh oleh pihak berkuasa Perancis sebagai skim piramid.

Sebanyak 130,000 manuskrip dan dokumen bersejarah itu kini dalam proses dijual oleh pihak berkuasa yang membabitkan 300 lelongan sepanjang enam tahun akan datang.

Jualan tertinggi lain dalam lelongan sulung itu ialah salinan iluminasi dari abad ke-15 karya pengarang Rom, Quintus Curtius Rufus, Histories of Alexander the Great yang dijual pada harga 640,000 euro (RM3.1 juta).

Warkah cinta daripada Napoleon Bonaparte kepada isterinya, Josephine yang bertarikh pada tahun 1796 turut dijual dengan harga 280,000 euro (RM1.4juta), empat kali ganda daripada jangkaan awal.

Dua lagi karya besar, iaitu manuskrip karya erotik Marquis de Sade berjudul 120 Days of Sodom dan manuskrip Andre Breton, Surrealist Manifestos ditarik balik Isnin lalu selepas kerajaan Perancis mengisytiharkannya sebagai khazanah negara, sekali gus melarangnya daripada dieksport. -AFP

247 dibaca
Berita Harian X