Selasa, 19 Disember 2017 | 5:40pm

Rohingya kini boleh guna WhatsApp dalam bahasa sendiri

TEKNAF, BANGLADESH: Meskipun tidak diiktiraf di negara sendiri, masyarakat Rohingya kini mempunyai tulisan sendiri yang kini dinaik taraf untuk membolehkannya diubah kepada karakter digital dan nombor.

Hal itu membolehkan masyarakat Rohingya berinteraksi menggunakan media sosial seperti menulis e-mel dan menghantar teks ringkas menggunakan bahasa mereka sendiri - satu langkah besar untuk masyarakat yang tidak ada tulisan sendiri sehingga 1980.

Rohingya, mangsa kepada keganasan Myanmar yang dikaitkan dengan pembersihan etnik, bukan saja tidak tahu menggunakan teknologi komunikasi dan media sosial, bahkan tidak pandai membaca.

Kebanyakan mereka yang mendapat pendidikan di Rakhine diajar dalam bahasa dan tulisan Burma malah sekolah agama juga tidak dibenarkan mengajar tulisan Rohingya. Pihak berkuasa Myanmar juga tidak membenarkan mereka mengguna nama asal mereka.

Seorang sarjana bangsa Rohingya, Mohammad Hanif yang kini mengajar agama di Bangladesh sudah membangunkan sistem tulisan bahasa Rohingya sejak 1980.

"Bangsa yang tidak ada tulisan kepada bahasa sendiri, sangat mudah untuk kita menyebut ia bangsa yang tidak wujud," katanya kepada AFP.

Hanif berkata, sehingga kini 50 judul sudah ditulis menggunakan tulisan Rohingya dan ia diajar kepada sekolah Rohingya yang berada di Malaysia, Pakistan, Arab Saudi dan Kanada. Cubaan lain adalah membangunkan sistem tulisan menggunakan bahasa Arab, Urdu dan Inggeris yang dikenali sebagai 'Rohingya-lish.'

Sistem tulisan itu membolehkan diaspora Rohingya menghantar mesej ringkas melalui media sosial seperti WhatsApp.

Mengubah sistem tulisan milik Rohingya ke dalam bentuk digital sangat bermakna kepada bangsa itu. Ia bukan saja pengiktirafan, bahkan tanda survival masyarakat marginal berkenaan meskipun mereka mungkin tidak mampu memahirkan diri dengan penulisan itu dalam tempoh yang singkat.

Myanmar merujuk Rohingya sebagai Bengali dan mengaitkan mereka dengan Bangladesh meskipun Rohingya sudah menetap di Myanmar sejak berpuluh generasi.

Faktor bahasa juga dianggap sebagai antara faktor pembersihan etnik Rohingya kerana mereka bercakap dialek Bengali yang difahami oleh penduduk bahagian tenggara Bangladesh berdekatan wilayah Chittagong tetapi tidak difahami oleh majoriti penduduk Myanmar beragama Budhha.

Kumpulan minoriti itu diusir dari Myanmar secara kejam menerusi kempen ketenteraan. Menurut kumpulan Doctors Without Borders, seramai 6,700 warga Rohingya dibunuh pada bulan pertama kempen itu berlangsung.

Hampir 650,000 penduduk Rohingya selamat tiba di Bangladesh sejak kempen ketenteraan itu berlaku Ogos lalu. Mereka melarikan diri daripada dibunuh dan diperkosa di tanah air mereka sendiri. - AFP

250 dibaca
Berita Harian X