Jumaat, 13 Oktober 2017 | 9:34am
ORANG ramai hadir ke Pesta Buku Frankfurt (FBF) 2017 di Messe Frankfurt, Frankfurt. - Foto AFP

Lebih banyak hak cipta karya Malaysia terjual

FRANKFURT: Hari kedua Pesta Buku Frankfurt (FBF) 2017 di Messe Frankfurt, di sini menyaksikan lebih banyak hak cipta karya tempatan berjaya dijual. 

Ketua Bahagian Harta Intelek, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Zaiton Abu Samah berkata pihaknya berjaya memperoleh 15 kontrak jualan hak cipta dengan China, Vietnam dan Thailand.

"Kebanyakan mereka cenderung untuk membeli hak cipta karya kanak-kanak dengan Siri Mila adalah yang paling laris.

"Namun karya Sasterawan Negara (SN) turut menarik perhatian dengan yang popular di sini ialah Naratif Ongoshoto oleh Datuk Dr Anwar Ridhwan," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Tegas Zaiton, buku sastera kerap mendapat perhatian penerbit luar negara seperti tahun lalu buku tulisan Malim Ghozali PK, Luka Nering atau terjemahan bahasa Inggerisnya Tree Of Sorrow antara yang mendapat perhatian.

Sementara itu, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) yang menampilkan wakil teramai dalam delegasi Malaysia FBF kali ini berjaya memenuhi sasaran mereka untuk memperkenalkan karya akademik terbitan universiti awam (UA).

Antara yang menarik perhatian termasuklah kejayaan Penerbit UTM Press mendapatkan pengedar yang berpusat di Cleveland, Amerika Syarikat bagi mengedarkan 80 tajuk pelbagai bidang terbitan mereka.

Pegawai Penerbitan Kanan UTM Press, Yosman Mohd Bain berkata kesemua penerbitan itu akan diedarkan dalam bentuk e-buku.

"Setakat ini minat penerbit luar adalah tertumpu kepada penyelidikan seperti biodiesel kelapa sawit.

"Jika dari negara Asia Tenggara seperti Vietnam atau Thailand mereka lebih cenderung untuk membeli buku berkaitan kejuruteraan dan sains," katanya.

FBF ke-41 yang berlangsung sehingga Ahad ini menghimpunkan lebih 3,000 penerbit dari seluruh dunia dan Malaysia tahun ini diwakili 31 penerbit yang diketuai oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

293 dibaca
Berita Harian X