Rabu, 11 Oktober 2017 | 7:03pm
SUASANA hari pertama FBF 2017 di Pavilion Malaysia. - Foto Hafizah Iszahanid
MALAYSIA mensasarkan nilai kontrak RM8 juta sepanjang lima hari penganjuran Pesta Buku Frankfurt (FBF) 2017. - Foto AFP

Malaysia sasar RM8 juta di Pesta Buku Frankfurt

FRANKFURT: Malaysia mensasarkan nilai kontrak RM8 juta sepanjang lima hari penganjuran Pesta Buku Frankfurt (FBF) 2017 di sini, bermula hari ini hingga Ahad ini.

Ketua Delegasi Malaysia yang juga Pengarah Sekretariat Tetap, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Abdul Wahab Ibrahim, berkata sasaran itu dibuat berdasarkan kedudukan Malaysia yang semakin dikenali dalam pasaran buku antarabangsa, selain nilai kontrak yang dicapai pada FBF 2016 mencecah RM7.5juta.

"Angka itu tidak mustahil untuk dicapai selagi ada kerjasama dan kerja susulan daripada penerbit.

"Sejak tahun pertama penyertaan Malaysia ke FBF diambil alih oleh MBKM pada 2011, kami mencapai nilai kontrak RM3 juta dan jumlah itu meningkat hampir setiap tahun," katanya.

Abdul Wahab berkata, genre yang popular adalah buku kanak-kanak tetapi genre lain juga turut mendapat perhatian.

"Pembeli hak cipta karya kita juga bukan hanya dari Eropah, bahkan dari Asia Barat," katanya.

Beliau berkata, meskipun pasaran buku tempatan mempunyai kelebihan dalam jualan runcit, jualan hak cipta dapat menggandakan keuntungan penerbit yang menjadi peluang yang patut direbut oleh semua penerbit.

Ia dibuka secara rasmi secara bersama oleh Canselor Jerman, Angela Markel dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dengan Perancis menjadi negara tamu FBF kali ini.

Delegasi Malaysia ke FBF 2017 kali ini disertai oleh 31 penerbit, sekali gus menjadi rombongan terbesar ke FBF sepanjang pembabitannya.

300 dibaca
Berita Harian X