Rabu, 11 Oktober 2017 | 12:05pm
CANSELOR Jerman, Angela Markel (kanan) dan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada perasmian Pesta Buku Frankfurt 2017 di Frankfurt, hari ini. - Foto EPA

300,000 penerbit sertai Pesta Buku Frankfurt

FRANKFURT: Kira-kira 300,000 penerbit dari seluruh dunia termasuk Malaysia menyertai Pesta Buku Frankfurt (FBF) 2017 yang akan berlangsung di Messe Frankfurt di sini, bermula hari ini hingga Ahad ini.

Pengurus Kanan Perbadanan Kota Buku (PKB), Hasri Hasan, berkata pesta buku itu akan menjadi medan penjualan hak cipta hasil penulisan dan karya daripada setiap penerbit yang hadir mewakili negara masing-masing.

"Berbeza dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), FBF lebih kepada acara menemukan pengunjung perdagangan bagi menjual hak cipta penerbitan buku.

"Mana-mana negara yang membeli hak cipta mempunyai hak untuk menerbitkan buku di negara masing-masing dalam bahasa ibunda mereka," katanya ketika ditemui selepas sesi dialog mewakili Malaysia di sini, hari ini.

Pesta Buku Frankfurt antara pesta buku tertua di dunia yang berlangsung lebih 500 tahun bermula pada kurun ke-15 lagi.

Bermula sebagai acara menjual beli manuskrip, pesta buku itu terus berkembang setiap tahun sehingga kini menjadi acara wajib buat penerbit dan penyedia kandungan.

Dalam perkembangan lain, Hasri berkata, pihaknya akan membuat bidaan untuk menjadi Ibu Kota Buku Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2020.

Katanya, perkara itu mendapat sokongan daripada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

"Antara misi Malaysia pada pesta buku tahun ini adalah untuk menunjukkan betapa seriusnya negara ingin membida menjadi Ibu Kota Buku Dunia pada 2020.

"Ia akan membawa negara ke pentas antarabangsa dan menggerakkan seluruh industri buku secara lebih aktif," katanya.

Mengenai peranan PKB, Hasri berkata, pihaknya menjadi 'orang tengah' antara penerbit tempatan dan antarabangsa bagi memperkenalkan karya penerbitan masing-masing.

"Antara pertemuan yang kita aturkan adalah dengan penerbit dari Vietnam, Taiwan, China dan Turki," katanya.

Hasri berkata, pihaknya juga memperkenalkan geran terjemahan yang berperanan membantu mengembangkan karya tempatan ke peringkat global.

Katanya, pembabitan saban tahun Malaysia menerusi pesta buku ini menjadikan nama negara semakin dikenali khususnya dalam dunia penerbitan buku.

Delegasi Malaysia diketuai Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) yang membawa penerbit komersial dan akademik serta pengkarya ke pesta buku terbesar itu. - BERNAMA

97 dibaca
Berita Harian X