Selasa, 10 Oktober 2017 | 5:15pm
(DARI kiri) Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Supyan Hussin; Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan; Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim dan Pensyarah Pusat Pengajian Fizik Gunaan UKM, Prof Datuk Dr Roslan Abdul Shukor ketika hadir pada Siri Wacana Cendekiawan ATMA di Bangunan Canselori UKM di Bangi, hari ini. - Foto Rosela Ismail

Pensyarah lebih minat hasilkan jurnal berbahasa Inggeris

BANGI: Pelaksanaan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti perlu lebih serius untuk memastikan lebih banyak penerbitan buku ilmiah dan akademik dalam bahasa Melayu dapat dilakukan.

Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Supyan Hussin, berkata ketika ini kebanyakan pensyarah lebih berminat menghasilkan jurnal bahasa Inggeris kerana ia akan lebih memudahkan kenaikan pangkat mereka.

"Kita mempunyai dasar memartabatkan bahasa Melayu di universiti tetapi pelaksanaannya belum berlaku secara serius terutamanya dalam memastikan bukan saja buku ilmiah dan akademik ditulis dalam bahasa Melayu, malah pengajaran juga dilakukan dalam bahasa kebangsaan.

"Bagi kenaikan pangkat, perlu dipastikan penerbitan ilmiah dan akademik dilakukan dalam bahasa Melayu dengan bukan bahasa Inggeris saja diambil kira seperti apa yang berlaku kini. ATMA sendiri akan mengorak langkah bagi melihat semula perkara ini.

"Bahasa Melayu sudah lama berkembang maju tetapi ada dasar yang dilaksanakan menyebabkan kerencatan bahasa ini yang kemudiannya menyekat perkembangannya sebagai bahasa ilmu," katanya dalam sidang media selepas Siri Wacana Cendekiawan ATMA di Bangunan Canselori UKM di sini, hari ini.

Yang turut hadir sebagai ahli panel, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan; pakar bahasa Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim dan Pensyarah Pusat Pengajian Fizik Gunaan UKM, Prof Datuk Dr Roslan Abdul Shukor.

Sementara itu, Roslan berkata, tidak banyak jurnal dalam bahasa Melayu diindekskan, iaitu proses sesuatu jurnal diperiksa oleh agensi indeks antarabangsa seperti WOS Thomson Reuters dan SCOPUS, sebelum seterusnya dimasukkan dalam pangkalan data mereka bagi memudahkan ia digunakan dalam pelbagai kajian pada masa akan datang.

"Kita lihat penerbitan jurnal dalam bahasa Melayu kini semakin baik tetapi jumlahnya masih lagi belum mencapai tahap yang dikehendaki.

"Masalahnya ialah, tidak banyak jurnal bahasa Melayu yang diindekskan dalam indeks antarabangsa yang diiktiraf bagi kenaikan pangkat di universiti dan ia menyebabkan lebih ramai pensyarah lebih gemar menghasilkan jurnal dalam bahasa Inggeris," katanya.

Beliau berkata, mengikut laman web Pusat Sitasi Malaysia, daripada 475 jurnal yang diterbitkan di negara ini, kurang 50 peratus daripadanya diterbitkan dalam bahasa Melayu.

"Lebih 50 peratus daripadanya menggunakan bahasa Inggeris dan lain-lain bahasa.

"Penyelidik tempatan perlu menerbitkan hasil penyelidikan mereka yang penting dalam bahasa Melayu kerana agensi indeks antarabangsa sendiri mengakui sesuatu jurnal itu perlu ditulis dalam bahasa asalnya supaya makna asalnya dapat dikekalkan," katanya.

Wacana itu dianjurkan ATMA dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Bitara Melayu (BAYU) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM.

2490 dibaca
Berita Harian X