Selasa, 10 Oktober 2017 | 11:54am
SEBAHAGIAN kakitangan galeri Universiti Malaya melihat pameran lukisan Terrains of the Heart di Galeri Prima. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Sultan Selangor hargai bakat pelukis tanah air

KUALA LUMPUR: Pameran Terrains of the Heart yang berlangsung di Galeri Prima, Balai Berita di sini sehingga 20 Oktober ini, wajar dikunjungi masyarakat khususnya bakal pelukis dan pelukis baharu.

Kurator Muzium Seni Asia, Universiti Malaya (UM), Zahirah Noor Zainol Abidin, berkata pameran koleksi peribadi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu juga menunjukkan baginda bukan saja pencinta seni lukis, bahkan menghargai dan memartabat bakat besar pelukis tanah air.

"Ini kali pertama saya berpeluang melihat koleksi lukisan peribadi baginda dan sememangnya menghimpunkan karya yang menarik kerana dihasilkan pelukis tersohor tanah air," katanya yang mengunjungi Pameran Terrains of the Heart bersama-sama kakitangan Muzium Seni Asia UM.

Pameran Terrains of the Heart yang memaparkan 30 koleksi lukisan peribadi baginda daripada 14 pelukis tempatan itu, kali pertama dipertontonkan kepada masyarakat umum itu.

Antara lukisan yang dipamerkan termasuk karya oleh tiga pelukis diraja, Datuk Hoessein Enas, Datuk Azman Yusof dan Ahmad Nazri Abdullah.

Karya pelukis lain termasuk hasil karya Chuan Thean Teng, Jaafar Taib, Raja Azhar Idris, Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir, Datuk Mohd Nor Khalid (Lat), Anisa Abdullah, Haron Mokhtar dan Abdul Fatah Ngah.

Tarikan realisme guna akrilik

Sementara itu, pelajar Fakulti Teknologi Kreatif Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Fatimah Nurzulaikha Che Wahab, turut tertarik dengan pelbagai himpunan koleksi lukisan yang dimiliki baginda.

Paling digemari katanya ialah karya Masjid Negeri Selangor (Azman) yang dihasilkan dengan menggunakan akrilik.

202 dibaca
Berita Harian X