Khamis, 5 Oktober 2017 | 7:53pm
GAMBAR fail. Kazuo Ishiguro.. - Foto AFP

Kazuo Ishiguro dinobatkan Pemenang Hadiah Nobel Sastera

KUALA LUMPUR: Sasterawan kelahiran Jepun, Kazuo Ishiguro, dinobatkan sebagai Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2017 di Akademi Sweden, Stockholm, sebentar tadi.

Kemenangan Ishiguro yang kini menetap di United Kingdom (UK) itu, melayakkannya untuk merangkul hadiah wang tunai bernilai 9 juta krona Sweden (RM4.7 juta).

Ishiguro disifatkan oleh Akademi Sweden sebagai pengarang yang novelnya memiliki kekuatan emosi yang hebat dan menemukan jurang perasaan ilusi dalam hubungannya dengan dunia

Penobatan itu juga bermakna Hadiah Nobel Kesusasteraan kembali kepada landasan sastera perdana selepas penganugerahannya pada tahun lalu diberikan kepada penulis lirik dan penyanyi Amerika Syarikat (AS), Bob Dylan yang mencetuskan kontroversi dan polemik.

Keputusan itu disampaikan oleh Setiausaha Tetap Akademi Sweden, Sara Danius yang turut disiarkan di laman web Nobel Prize.

Danius berkata, penulisan Ishiguro disifatkan sebagai gabungan antara karya Jane Austen dan Franz Kafka tetapi dengan sedikit campuran daripada (karya) Marcel Proust.

"Beliau pengarang yang memiliki integriti yang hebat. Beliau tidak melihat secara serong, sebaliknya membina pandangan alam estetika tersendiri.

"Beliau juga orang yang sangat berminat untuk memahami masa lalu tetapi bukanlah seperti gaya Proust (penulisan yang panjang, rumit dan nostalgiak) yang cuba menebus kehilangan masa yang sudah lepas.

"Sebaliknya beliau cuba meneroka apa yang sudah kita lupakan demi untuk meneruskan hidup sebagai individu mahu pun masyarakat," katanya.

Ditanya mengenai harapan terhadap pengumuman itu selepas kegemparan tahun lalu, Danius berharap ia akan menjadikan dunia lebih bahagia.

"Ia bukanlah tugas saya untuk menghakiminya, sebaliknya kami memilihnya berdasarkan kekuatannya sebagai novelis yang sangat bijak," katanya.

Danius turut menyebut novel Ishiguro kegemarannya ialah The Giant Buried tetapi mengakui The Remains of the Day sebagai karya tulen yang bermula sebagai novel PG Wodehouse dan berakhir sebagai Kafkaesque (memiliki perwatakan gaya Kafka).

Ishiguro yang dilahirkan di Nagasaki pada 8 November 1954 dan berpindah ke England pada 1960, terkenal dengan novel An Artist of the Floating World yang diterbitkan pada 1986 dan The Remains of the Day (1989), manakala karya mutakhirnya, The Buried Giant (2015).

The Remains of the Day juga diadaptasi ke filem yang turut dilakonkan oleh Anthony Hopkins.

426 dibaca
Berita Harian X