Khamis, 5 Oktober 2017 | 11:06am
ANTONIO Lobo Antunes.- Foto AFP

Pengarang 'popular' menang Nobel?

PEJAM celik kita sudah sampai pada hari pengumuman Hadiah Nobel Sastera 2017 yang dijangka jam 7 malam ini. Pengumuman Bob Dylan sebagai pemenang tahun lalu seolah-olah masih baru berlaku.

Perasaan itu mungkin tercetus ekoran kontroversi pemilihan Dylan, penulis lirik dan penyanyi popular Amerika Syarikat (AS) berlarutan hingga tengah tahun ini.

Bermula kegemparan khalayak sastera terhadap pengumuman nama Dylan selepas beberapa tahun masyarakat AS mengeluh tiada pemenang negara mereka hinggalah penerima itu menyepi berminggu-minggu dan mengambil sikap seolah-olah tidak mengendahkan prestij Hadiah Nobel termasuk tidak menghadiri majlis penganugerahannya.

Akademi Sweden yang lazimnya tidak menggemari kontroversi dan selalu berjaya 'mengelak' memilih calon sebutan ramai, terpalit dengan insiden menggelikan hati termasuk terpaksa menyerahkan wang hadiah 837,000 euro (RM3.95 juta) pada acara rahsia.

Tidak hairanlah dengan insiden seumpama, pengkritik dan pemerhati Nobel menjangkakan Akademi Sweden dianggotai 18 tokoh bakal memilih pemenang daripada calon yang kelayakannya sekurang-kurangnya diterima majo riti sastera antarabangsa.

Jangkaan itu turut dikongsi oleh pengkritik sastera akhbar Svenska Dagbladet, Clemens Poellinger yang meramalkan tiada insiden sensasi pada penganugerahan tahun ini.

Pilih calon konvensional

Sementara itu, Editor Budaya akhbar Sweden Dagens Nyheter, Bjorn Wiman, berkata kesan kegemparan sebelum ini, Akademi mungkin akan memilih pemenang yang lebih konvensional.

"Tahun lepas sangat aneh. Tahun ini, saya fikir ia mungkin milik novelis atau penulis esei lelaki dengan asal usul Eropah. Ia mungkin menjadi milik tokoh bertentangan dengan Dylan," katanya.


ISMAIL Kadare.- Foto AFP

Beliau meramalkan Antonio Lobo Antunes dari Portugal dan Ismail Kadare (Albania) berpotensi.

"Semua orang akan berfikir 'tentu mereka layak menerima hadiah' dan tidak akan ada bantahan terhadap keputusan itu," katanya seperti dipetik AFP.

Dengan Dylan boleh dianggap penerima yang sepatutnya 'mendiamkan' warga sastera AS, kita tidak menjangkakan kemenangan akan berulang untuk negara berpresidenkan Donald Trump itu, sekali gus mungkin boleh memotong nama seperti Philip Roth.

Nama lain sering disebut calon popular dalam spekulasi Nobel ialah penulis Kenya, Ngugi wa Thiong'o dan penulis Israel, Amos Oz, selain penyair Syria, Adonis.

Adonis dianggap antara pelopor puisi moden Arab bentuk bebas mendapat pujian intelektual terkemuka, Edward Said, sudah sering disebut-sebut.

Apakah latar belakang polemik isu pelarian Syria di Eropah memberikan kelebihan atau menjadi halangan untuk Akademi memilihnya, masih menjadi perbincangan?

Masa untuk Asia

Calon dari Asia yang selalu disebut ialah Yan Lianke, pemenang Hadiah Franz Kafka 2014, manakala novelis dan cerpenis Jepun bernuansa Barat, Haruki Murakami sering disebut-sebut tetapi mungkin lebih pada populariti yang memeriahkan spekulasi Nobel.

Namun, tidak mustahil Akademi Sweden akan menamakan calon sama sekali tidak popular dan tidak dikenali di luar lingkungan bahasanya seperti yang pernah terjadi dalam sejarah Nobel yang tidak sunyi kontroversi.

Sementara menanti keputusan, sudah tentu kita boleh berangan-angan untuk mendengar nama penulis dari Asia Tenggara atau lebih tepat lagi negara ini dinobatkan untuk Hadiah Nobel Sastera.

INFO,

Mekanisme penilaian Hadiah Nobel Sastera oleh Akademi Sweden

Februari: Akademi menyenaraikan semua pencalonan daripada tokoh berkelayakan termasuk pemenang dan profesor universiti

Mei: Senarai ditapis kepada lima nama

Jun-September: Ahli Akademi membaca karya pengarang itu dengan method penuh 'muslihat' elak sebarang kebocoran termasuk guna nama kod pengarang dan kulit buku palsu ketika membaca di tempat awam.

Oktober: Keputusan akhir dan pengumuman

284 dibaca
Berita Harian X