Rabu, 13 September 2017 | 3:15pm
JAAFAR Taib.- Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kedai gunting 'asah' bakat kartunis Jaafar Taib

KUALA LUMPUR: Minat kartunis terkenal, Jaafar Taib pada seni lukis bercambah sejak kecil, membawanya 'bertunggu tangga' di kedai gunting rambut di kampung asalnya, di Alor Gajah, Melaka.

Minat Jaafar pada dunia kartun ketika kecil itu dipengaruhi komik komando dan British era sebelum merdeka.

"Hari-hari saya ke sana, tetapi bukan gunting rambut pun, sebaliknya habiskan masa dengan membaca komik dari Hong Kong yang disediakan tuan punya kedai kepada pelanggannya.

"Zaman itu tidak ramai pelukis Melayu dan akhbar bukan mudah didapati. Ada juga saya dimarahi tauke, tetapi lama kelamaan mereka faham minat saya itu," katanya kepada Sastera BH di sini.

Puas 'menelaah', Jaafar pulang ke rumah dan membuat pula 'latihan' di dinding rumahnya. Buku sekolahnya juga lebih banyak diisi dengan pelbagai lukisan daripada latihan yang diberi guru.

Jaafar lebih gemar menghabiskan masa membaca komik hingga sanggup membelek majalah berjam-jam lamanya untuk memerhatikan setiap stroke dan warna.


KOLEKSI majalah lama Gila-Gila simpanan Jaafar Taib.- Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Selalu dirotan guru

"Saya juga amat meminati kartun koboi dan kereta kebal jadi buku latihan memang dihabiskan dengan lukisan sebegitu sehingga selalu dirotan guru, tetapi sedikit pun tidak serik," katanya.

Ketika Gila-Gila berada di puncak gemilang, beliau yang sibuk sebagai Pengarah Urusan Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB), menambah 'portfolio' dengan membidik kamera merakam dan melukis pelbagai spesis burung sejak 1983.

Bukan sedikit masa terpaksa dikorbankan untuk mendokumentasi ratusan spesies burung ini.

Bertembung beruang

Malah beberapa kali Jaafar yang masuk ke hutan seawal sebelum Subuh, 'bertembung' beruang ketika mencari lokasi tepat bagi merakam gambar dengan lebih jelas.

"Kesibukan tidak dapat dielakkan tetapi saya tetap 'angkat' berus. Jika tidak, saya rasa seolah-olah ada tidak kena," katanya.

Di sebalik kesetiaan memacu Gila-Gila, teknologi memberi kesan besar kepada kelangsungan majalah humor tanah air. Gila-Gila sudah lama 'meninggalkan' zaman gemilang yang mencatatkan jualan ratusan ribu naskhah.

Bagaimanapun, Jaafar yang kini bersendirian mengetuai Gila-Gila selepas tiga rakan pengasasnya menarik diri untuk memberi sokongan dari belakang berkata, beliau berharap majalah humor pertama tanah air itu terus hidup.

Katanya, Gila-Gila bukan sekadar tempat melahirkan kartunis besar malah institusi memberi sumbangan besar kepada industri kartun dan komik di negara ini.

Bakal terbitkan edisi ke-800

Ini dapat dilihat apabila profesion kartunis dan pelukis komik yang pernah dipandang rendah diangkat martabatnya.

"Memang kami terkesan dengan keadaan kini, tetapi Gila-Gila akan memasuki keluarannya ke-800, November ini, justeru saya bercita-cita melihat ia terus bertahan.

"Lagipun bukan mudah kami mengasaskan majalah ini. Semangat saya besar apatah lagi Gila-Gila majalah humor pertama negara masih terus bertahan ketika majalah lain sudah berkubur.

"Lagi pula, kerja membuat majalah ini bukanlah sesuatu yang dilakukan kerana duit. Jika motivasinya duit, saya tidak akan buatnya," katanya.

INFO

- Jaafar Taib

- Dilahirkan di Kampung Tanjong Rimau, Alor Gajah pada 28 Julai 1952

- Terkenal dengan siri Jungle Jokes dan Kalau di Gila-Gila

- Memenangi Anugerah Perdana Kampung Boy 2015

- Buku Sang Kancil and The Snail olahan semula Rahimidin Zahari yang membabitkannya sebagai pelukis ilustrasi dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Utama Samsung KidsTime Author's Award (SKTAA) di Perpustakaan Negara Singapura pada 2016

436 dibaca
Berita Harian X