Jumaat, 8 September 2017 | 5:23pm

Buku Malaysia boleh pikat Indonesia


Dr Ummul Khair (kiri) dan Agustina.

JAKARTA: Pembaca di Indonesia tidak memilih bahan bacaan berdasarkan negara karya itu diterbitkan, sebaliknya cenderung mengutamakan trend penerbitan terkini.

Pengurus Besar Gramedia, Siti Gretiani, berkata buku juga seperti fesyen yang mempunyai trend tersendiri yang mampu menarik pembaca.

"Naskhah Malaysia atau Indonesia semuanya boleh diterima asalkan sesuai dan berpotensi untuk mendapat sambutan sehingga kami sedia menjualnya," katanya kepada Sastera BH di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2017 di Pusat Konvensyen Jakarta di sini.

Siti berkata, ketika ini naskhah yang menjadi kegemaran remaja Indonesia ialah karya berbentuk hispter dan beliau turut mengambil peluang mencari genre serupa dari penerbit Malaysia.

Siti berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron yang menafikan tanggapan umum bahawa masyarakat Indonesia tidak membaca karya Malaysia.


Siti Gretiani

Sementara itu, Ketua Panitia IIBF 2017, Husni Syawie, berkata Indonesia sebenarnya pasaran besar buku Malaysia dan begitu juga sebaliknya disebabkan persamaan budaya, pengalaman, sejarah dan bahasa.

"Malaysia dan Indonesia berkongsi sentimen yang sama termasuk juga persamaan dari segi pantang larang. Hal ini memudahkan pasaran buku di antara kedua-dua negara," katanya.

Husni berkata, faktor itu menyebabkan tidak hairan untuk melihat ramai penerbit Malaysia menyertai IIBF dan penyertaan Indonesia di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).


Husni Syawie

Pandangan sama turut dikongsi oleh Pengarah Bahagian Penerbitan PT Remaja Rosdakarya (ROSDA), Agustina RF Razali yang menegaskan kandungan buku Malaysia sesuai dengan budaya masyarakat Indonesia.

"Jika perlu diubahsuai, ia hanyalah bahagian yang kecil sekitar 20 peratus atau membabitkan struktur bahasa saja.

"Sebelum ini kami banyak menjual produk kami ke Malaysia tetapi sejak lima tahun lalu kami mula membeli produk Malaysia atau paling tidak melakukan penerbitan bersama-sama," katanya.

Pada IIBF kali ini, ROSDA dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut melancarkan buku Rahsia Awet Muda yang diterbitkannya untuk pasaran Indonesia.

ROSDA diwakili oleh Agustina, manakala UTM pula oleh Pengarah Penerbitan UTM Press, Prof Madya Dr Ummul Khair Ahmad.

Naskhah itu disesuaikan daripada terbitan asal UTM, Awet Muda - 7 Rahsia Kesihatan Holistik tulisan Zainah Mokhtar.

328 dibaca
Berita Harian X