Rabu, 6 September 2017 | 8:12pm
MAJLIS Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2017 di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) di sini, hari ini.
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron.

Rakyat Indonesia sambut baik buku Malaysia

JAKARTA: Tanggapan rakyat Indonesia tidak membaca buku Malaysia tidak tepat, sebaliknya mereka mampu menerima produk Malaysia dengan baik.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, berkata berdasarkan pengalaman lima tahun ke Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF), buku akademik dan buku berkaitan pertanian mendapat sambutan baik meskipun tidak diterjemah ke bahasa Indonesia.

"Selain menumpukan buku kanak-kanak, buku akademik juga menjadi pilihan pasaran di sini berdasarkan persamaan budaya dan pengalaman.

"Indonesia berpotensi menjadi pasaran terbesar produk Malaysia berdasarkan jumlah penduduknya yang mencecah 261.1 juta," katanya kepada media Malaysia selepas Majlis Perasmian IIBF 2017 di Pusat Konvensyen Jakarta di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khair berkata, bagi mengelak peristiwa tahun lalu berlaku lagi, senarai tajuk buku yang dibawa ke IIBF disemak oleh sekretariat IIBF dan Kedutaan Malaysia di Indonesia.

Tahun lalu empat delegasi Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia berikutan salah faham penjualan buku Manifesto Komunis yang turut dipamerkan di Pavilion Malaysia yang ketika itu diraikan sebagai negara tamu.

IIBF ke-37 yang bermula hari ini hingga Ahad ini, disertai pemain industri buku 30 negara termasuk Malaysia.

Delegasi Malaysia diketuai secara bersama oleh ITBM dan Perbadanan Kota Buku turut disertai lapan penerbit akademik dan tiga penerbit komersial.

217 dibaca
Berita Harian X