Khamis, 10 Ogos 2017 | 4:50pm
DR Mohd Hanafi Ibrahim. - Foto fail NSTP/Syamsi Suhaimi

Karya sastera perlu jadi dokumen sejarah sosiobudaya Malaysia

KUALA LUMPUR: Naskhah sastera sebagai dokumen sejarah sosiobudaya tidak diberikan analisis yang sewajarnya sebagai bahagian penting penulisan sejarah di negara ini.

Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Mohd Hanafi Ibrahim, berkata penulisan sejarah perlu mengambil kira tanggapan pengarang terhadap persekitaran sosial masyarakat dalam tempoh zaman ia dihasilkan.

Mohd Hanafi ketika membentangkan kertas kerja Retrospektif Pemikiran Gender Dalam Novel Melayu Satu Abad berkata, isu yang dibawa mempunyai kesan terhadap hubungan, fungsi dan peranan gender dalam pembangunan.

"Terlihat anjakan dan kedinamikan fungsi ekonomi, sosiobudaya dan politik dalam isu modenisasi yang dibawa," katanya pada Seminar Bahasa dan Sastera (SEBARA) 2017 di DBP di sini.

Mohd Hanafi berkata, dalam tempoh lebih satu abad novel Melayu moden, hubungan saling melengkapi dan kesetaraan peranan gender dalam ruang awam memanfaatkan kualiti dan pencapaian lelaki dan wanita untuk menjana pembangunan.

"Sebagai contoh, novel Gadis Sipu tulisan Adibah Amin yang dihasilkan pada dekad 1940-an mempunyai gagasan besar memajukan potensi anak gadis dalam ruang publik yang berdaya saing," katanya.

SEBARA yang mengangkat tema 60 Tahun Penyelidikan Bahasa dan Sastera di DBP dan Cabaran Masa Depan itu menyaksikan 25 kertas kerja dibentangkan.

Pembentangan itu membabitkan 10 kertas kerja dalam bidang sastera dan bahasa (12), selain satu kertas kerja dasar dan dua kertas utama.

194 dibaca
Berita Harian X