Sabtu, 22 September 2018 | 12:37am
Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Malaysia Ke-55, di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, baru-baru ini. - Foto Edmund Samunting

MA63 perlu dilaksana segera

TUN Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia Ke-55 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu memberi jaminan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi slogan ‘Malaysia Baharu' akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri dilaporkan mengambil maklum mengenai penukaran status Sabah dan Sarawak dari rakan sekutu kepada negeri sebelum ini dan pengembalian status itu sebahagian proses yang akan dilaksanakan selepas kajian semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disiapkan.

Ini dengan sendirinya mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah seperti terkandung dalam MA63 yang memberi negara, asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Dua dokumen penting untuk rujukan hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 perlu digunakan untuk mengembalikan status rakan sekutu kepada wilayah berkenaan.

Dokumen itu ialah Perkara 20 di Sabah dan Perkara 18 di Sarawak yang sangat penting untuk menjaga hak rakyat kedua-dua negeri berkenaan yang mencakupi pembahagian royalti hasil minyak dan gas, kuasa imigresen, perkhidmatan awam, kewarganegaraan, bahasa dan wakil di Persekutuan.

MA63 ditandatangani di London pada 7 Julai 1963 yang menjadi detik permulaan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Perjanjian Malaysia diperkenankan pemerintah tertinggi British, Queen Elizabeth II, disusuli Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Harun Putra Syed Hassan Jamalullail pada 26 Ogos 1963.

Pinda Perlembagaan

Bertitik tolak daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itulah diwujudkan Akta Malaysia yang kini sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

MA63 pernah dipinda dalam Perlembagaan Persekutuan pada 1976 menyebabkan status rakan sekutu bertukar kepada negeri menyebabkan kedua-dua wilayah yang pernah bergelar negara (diulang: negara bukan negeri) itu sama status dengan negeri lain di Semenanjung.

Pindaan itu disifatkan beberapa penganalisis sebagai perlanggaran kepada MA63 yang asalnya menggabungkan Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Tidak hairanlah, Presiden Parti Rakyat Sarawak yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing mempertikaikan cadangan kerajaan PH untuk mengkaji semula perjanjian berkenaan. Sebaliknya, apa yang termeterai dalam perjanjian asal di London pada 1963 perlu dilaksanakan segera.

Alasannya, perjanjian berkenaan diperakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia seperti yang wujud hari ini.

Pensyarah Sejarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Bilcher Bala menyambut baik tuntutan Sarawak dan Sabah menerima royalti minyak yang lebih tinggi sehingga 20 peratus, berbanding lima peratus diterima ketika ini juga wajar dilaksanakan.

“Saya juga bersetuju supaya 40 peratus hasil bumi Sabah diserahkan kepada wilayah itu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“MA63 perlu dilaksanakan segera selepas banyak perkara terlepas pandang dan ia tidak sepatutnya menjadi bahan politik untuk meraih sokongan dalam pilihan raya,” katanya.

Pengaruh MA63 sangat besar dalam politik Sabah dan Sarawak sehingga banyak pemimpin politik yang tumbang dalam pilihan raya kerana mempertikai pelaksanaannya.

Rakyat Sabah dan Sarawak boleh bersengketa dalam bab parti politik, namun jangan sesekali menyentuh MA63 kerana ia boleh membawa padah. Mereka akan bangkit mempertahankannya.

Sebab itulah, bukan satu kejutan apabila Ahli Parlimen Kimanis yang juga bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memaklumkan keputusannya keluar UMNO, kelmarin kerana Barisan Nasional (BN) gagal menunaikan janji berkaitan MA63.

Sejak 2015, Anifah bersama-sama pemimpin kerajaan dan pembangkang ketika itu giat menganjurkan program berkaitan tuntutan Perkara 20 mencakupi royalti minyak menerusi siri Forum Perjanjian Malaysia 1963.

Rendahkan status

Mengulas lanjut pindaan Perlembagaan pada 1976, Aktivis Perjanjian Malaysia, Zainnal Ajamain beranggapan pindaan yang memasukkan Sabah dan Sarawak sebagai negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu sangat tidak wajar.

Pindaan Perkara1(2) Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan pada 13 Julai 1976 didakwa merendahkan status Sabah dan Sarawak sebagai negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu.

Pindaan itu turut melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana Sabah dan Sarawak tidak pernah terbabit dalam menandatangani perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang dibentuk oleh 11 negeri.

Perjanjian Malaysia ialah persetujuan menggabungkan dua wilayah Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak, Singapura dan negeri sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu dalam kesatuan yang dinamakan Malaysia.

“Tetapi Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 1976 untuk memasukkan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Tanah Melayu, sedangkan dua wilayah itu tidak pernah menandatangani Perjanjian Tanah Melayu,” katanya.

3612 dibaca
Berita Harian X