Rabu, 19 September 2018 | 11:04am
FOTO hiasan.

ATM laksana penyesuaian kekal relevan

AHAD lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke- 85 dengan tema ‘ATM teras kedaulatan negara’. Sejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula dengan pengambilan 25 pemuda Melayu dalam skuad percubaan Rejimen Askar Melayu (RAM) pada 1 Mac 1933, berkembang menjadi batalion penuh dikenali Batalion Pertama RAM pada 1 Januari 1933.

Batalion kedua ditubuhkan pada 1 Disember 1941, enam hari sebelum Perang Dunia Kedua bermula di Malaya. Kedua-dua batalion ini menunjukkan kebolehan mereka dalam peperangan menentang tentera Jepun. Selepas perang, negara dilanda pula ancaman komunis dan keadaan darurat diisytiharkan pada 1948, memerlukan pembesaran angkatan tentera. Menjelang 1950, kekuatan RAM ditambah menjadi tujuh batalion.

Pada zaman darurat juga, angkatan tentera menubuhkan pasukan berbilang bangsa, Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan pada 1952. Selepas merdeka pada 1957, Tentera Darat berkembang maju, lengkap untuk melawan insurgensi dan kini pesat dimodenkan sebagai pasukan tentera konvensional yang mampu menghadapi cabaran masa depan. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula bermula daripada pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-Negeri Selat pada 27 April 1934 di Singapura.

Pasukan ini diperbesarkan pada 1938 dengan penubuhan cawangan Pulau Pinang. Ia ditukar nama kepada Pasukan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaya dan menjelang Perang Dunia Kedua, seksyen Melayu dalam Royal Navy ditubuhkan dan kekuatan pasukan ini mencapai 1,430 anggota pada 1941.

Selepas kejatuhan Singapura pada 1942, seramai 150 anggota Tentera Laut Malaya berundur ke Ceylon (kini Sri Lanka), India dan Afrika Timur sebelum kembali ke Malaya apabila perang tamat. Malangnya disebabkan kekurangan kewangan selepas perang, Tentera Laut Malaya dibubarkan pada April 1947. Apabila darurat tercetus pada 1948, Tentera Laut Malaya ditubuhkan semula dan diwartakan pada 4 Mac 1949.

Dianugerah gelaran diraja

Tentera Laut Malaya dianugerahkan gelaran diraja oleh Queen Elizabeth II pada 1952. Ia yang selama ini menjadi sebahagian Royal Navy dipindahkan dari Singapura ke Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1958. Serentak itu, panji-panji Royal Navy ditukar dengan panji-panji Persekutuan Tentera Laut Diraja Malaya.

Selepas penubuhan Malaysia pada 1963, ia dikenali sebagaiTentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Sejarah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula bermula dengan penubuhan Pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-Negeri Selat (SSVAF) oleh British pada 1936, ditukar nama kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara Malaya pada 1940, tetapi dibubar selepas Perang Dunia Kedua. Pada 1950, pasukan ini dihidupkan semula sebagai Royal Air Force Malaya (RAF Malaya). Tentera Udara Malaya menjadi kenyataan pada 1958 apabila pesawat Twin Pioneer pertama mendarat di Pangkalan RAF Kuala Lumpur dan Tentera Udara Diraja Malaya ditubuhkan dengan rasmi pada 2 Jun 1958.

Pertingkat kekuatan

Sesungguhnya, kerajaan secara berterusan menunjukkan kesungguhan dalam meningkatkan kekuatan pertahanan negara dari setahun ke setahun, namun pembangunan dan pemodenan ATM pada hakikatnya tertakluk kepada kemampuan kewangan dan perkembangan kestabilan serantau.

Dalam aspek peruntukan belanjawan pertahanan, Malaysia secaraumum tidak memperuntukkan perbelanjaan besar dan bersifat luar biasa. Belanjawan pertahanan ke arah pembangunan dan pemodenan ketenteraan Malaysia lebih dilihat sebagai proses normal dan keperluan sesebuah negara dalam memenuhi keperluan keselamatan, khususnya bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

Perlu juga dijelaskan bahawa pemodenan ATM sedang dijana ke arah pembangunan dimensi keempat, iaitu dimensi elektro magnetik yang memerlukan penguasaan sepenuhnya elemen peperangan, iaitu bawah dan permukaan bumi, ruang udara dan siber.

Proses pengukuhan pertahanan dan keselamatan negara sememangnya bermula sejak 1957, samaada dari aspek pembangunan fizikal atau bukan fizikal. Secara umum menjelang dekad 1990-an, menjadi titik tolak kepada Malaysia untuk memesat dan memperkukuhkan kekuatan sistem pertahanan dengan prinsip ‘pertahanan ke hadapan’ atau forward defence, merintis tumpuan kepada terhadap peningkatan kekuatan dan pemodenan angkatan pertahanan dan sistem keselamatan negara.

Usaha kerajaan dapat dilihat bermula pada 1992 apabila Malaysia mula memperkukuh dan memperkemaskan sistem pertahanan laut melalui penyediaan dua kapal perang termoden di Asia Tenggara waktu itu, Kapal Diraja (KD) Jebat dan KD Kasturi yang dilengkapi teknologi tinggi. Perolehan persenjataan bersifat pertahanan terbuka atau dipanggil defence offensive juga menjadi matlamat apabila TLDM kini memiliki 120 kapal perang, iaitu empat dalam kelas frigate dan enam dalam kelas korvet.

Selain itu, ada 17 kapal peronda yang dilengkapi kelengkapan peluru berpandu seperti Sea Wolf, Aspide, Exocet dan Otomat. Sistem cegah rintang Malaysia juga makin kukuh apabila memiliki dua kapal selam pada 2012 dan kini sebuah telah pun dimiliki, iaitu KD Tuanku Abdul Rahman. Dalam aspek pertahanan darat, Tentera Darat bergerak seiring kemajuan teknologi dan perubahan dimensi ancaman keselamatan semasa. Tentera Darat Malaysia (TDM) kini dilengkapi pelbagai persenjataan moden. Persenjataan moden itu seperti kereta kebal tempur jenis PT-91M, kereta kebal ringan jenis Scorpion dan juga kereta perisai jenis Adnan, Stormer, Panhard dan Commando.

Selain itu, kor artileri dilengkapi meriam laras 105mm dan juga laras 155mm sebanyak 414 serta diperkukuh dengan pembelian sistem roket berganda jenis ASTROS II dan turut dilengkapi peluru berpandu. Proses ini meningkatkan keupayaan TDM bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan Malaysia dipertahankan.

Pertahanan angkatan udara Malaysia juga diberi perhatian oleh kerajaan dengan penekanan terhadap pemilikan pesawat berteknologi tinggi seperti pesawat MIG 29, F/A-18 Hornet dan terbaru, akan membeli 18 unit pesawat pejuang pelbagai guna Russia-Sukhoi SU-30MKM berharga kira-kira AS$900 juta (RM3.4 bilion). Pembelian pesawat tempur berteknologi tinggi ini juga bagi memperkukuh kekuatan pertahanan udara, sedia ada seperti pesawat Hawk dan pesawat pejuang F5E.

Pesawat tempur ini turut dilengkapi sistem pengkomputeran dan peluru berpandu negara Barat. Bagi memastikan angkatan udara dapat bergerak seiring kemajuan semasa teknologi pertahan udara dunia, kerajaan mengaplikasikan sistem pertahanan udara negara dengan pemilikan pesawat UAV jenis Eagle 150.

Untuk memastikan ATM tidak ketinggalan dalam arus perubahan teknologi pertahanan semasa dunia, kerajaan mula memberi tumpuan dalam pembangunan dan pemodenan ATM yang menerapkan pengaplikasian peperangan elektronik.

Sistem elektronik dan pengkomputeran mula diterapkan ke dalam ketiga-tiga perkhidmatan ATM seiring pemodenan angkatan tentera negara jiran dan Barat.

379 dibaca
Berita Harian X