Selasa, 18 September 2018 | 11:04am
FOTO hiasan.

Gubal akta perkasa tanah rizab Melayu

Banyak perkara menyebabkan tanah mundur dan jauh daripada pembangunan.

Menurut Norman Hutchison, profesor bidang hartanah di Universiti Aberdeen, United Kingdom, antara faktor menyekat pembangunan tanah adalah undang- undang.

Undang-undang bertulis adakalanya sukar difahami. Apabila lantikan pakar runding dibuat untuk memenuhi syarat pembangunan berkenaan, kos yang tinggi perlu dikeluarkan.

Barangkali, kos ini menjadi hambatan untuk memajukan tanah berkenaan. Banyak peraturan pembangunan yang perlu dipatuhi sebelum perancangan untuk memajukan tanah boleh dilaksanakan. Ahli ekonomi institusi menamakan perkara ini kos transaksi.

Bukan sekadar sekatan kepentingan dan syarat mengikut Kanun Tanah Negara 1965 perlu dipatuhi dan boleh mengekang pembangunan tanah, malah persepsi terhadap tanah itu sendiri boleh menjadi hambatan.

Satu kajian yang dijalankan sekumpulan penyelidik mengenai tanah rizab Melayu baru-baru ini, menunjukkan bahawa kira-kira 75 peratus responden yang terdiri daripada pemilik tanah berpendapat mereka memahami tanah itu sebagai warisan bangsa Melayu. Implikasinya, warisan difahami seolah-olah tanah berkenaan jangan diusik dan dibiarkan turuntemurun

untuk kegunaan anak cucu, umpama menanam benih sekarang hasilnya hanya dituai 100 tahun nanti.

Semak undang-undang tanah rizab Melayu

Oleh itu, undang-undang berkaitan tanah rizab Melayu perlu disemak, dipinda dan diharmonikan. Sesungguhnya, penggubalan akta itu tidak sama sekali menafikan land is a state matter yang termaktub di bawah Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.

Malah, penggubalan yang dibuat dengan teliti mampu memperkasa tanah berkenaan dan melepaskannya dari ‘penjara’ nilai rendah yang membeku. Kajian mendalam boleh dibuat secara perbandingan dengan tanah- tanah Moari, Aborigin, Red Indian, tanah peribumi yang telah dimajukan di luar negara. Punca tanah berkenaan dapat atau gagal dimajukan boleh dipelajari sebagai perbandingan.

Mengikut pemenang pelbagai anugerah dan hadiah dalam bidang ekonomi dan hak tanah, Hernando de Soto, tanah peribumi dikatakan mempunyai ‘modal mati’ atau dead capital. Peribumi diberi hak tanah hanya di atas kertas, tetapi tiada jaminan untuk mendapat gadai janji, pinjaman bank, tidak boleh dijual beli kepada orang lain dan sebagainya.

Namun, sudah ada usaha yang dilakukan untuk melakukan reformasi, termasuk kelonggaran mendapat kelulusan pembangunan dan kerajaan lebih peka terhadap budaya golongan peribumi berkenaan. Apa yang berlaku dalam masyarakat peribumi ‘Indian’ di Amerika Syarikat boleh memberi kita teladan. Sejak Undang-undang Akta Dawes digubal pada 1887, tanah peribumi dipecah bahagi dan diswastakan.

Tindakan ini telah mengubah struktur masyarakat peribumi dan mengganggu budaya mereka. Akibatnya, timbul masalah hak tanah peribumi ‘Indian’ yang agak ketara hingga membawa implikasi yang negatif.

Majukan tanah peribumi

Di Kanada pula, banyak usaha telah dijalankan untuk memajukan tanah peribumi. Akta Hak Milikan Hartanah First Nations telah dicadang untuk membolehkan kemudahan mendapatkan modal dan pinjaman lebih luas kepada pemilik tanah peribumi.

Tanah yang mempunyai potensi pembangunan lebih bebas untuk dipindah milik pada tingkat nilai pasaran terbuka. Perkara ini adalah asas perjuangan hak rakyat terhadap tanah seperti aktivis, Manny Jules dari British Columbia. Akta Tanah Moari 1993 (bermula dari Akta Pindahmilik Tanah Moari 1952 yang memperkenalkan Lembaga Tanah Moari) telah digubal di New Zealand bagi mewujudkan Mahkamah Tanah Moari dan mengawal selia untuk membuka nilainya di pasaran. Undang-undang ini dikatakan telah berjaya bukan setakat melindungi hak tanah masyarakat Moari, tetapi juga memartabatkan tanah berkenaan.

Di Wilayah Utara Australia, Akta Hak Tanah Aborigin digubal kali pertama pada 1976 untuk mengiktiraf hak penduduk peribumi kepada tanah dan kependudukan mereka. Undang-undang ini menyumbang kepada usaha memperkasa pentadbiran dan pengurusan hak tanah peribumi berkenaan.

Kata Profesor Terry Boyd, Pensyarah Universiti Queensland, pengurusan tanah berkenaan hendaklah dilakukan penilai yang berkaitan. Apabila berlaku pengambilan tanah untuk maksud pembangunan, sepatutnya orang yang menilai tanah-tanah peribumi mestilah dalam kalangan penduduk peribumi sendiri.

Senario penggubalan undang-undang tanah peribumi di negeri Afrika juga telah membawa implikasi besar dalam melindungi hak dan seterusnya memartabat tanah berkenaan. Sebaliknya di negara kita, Enakmen Rezab Melayu yang diperkenalkan pada 1913 (mengikut negeri, masa berlainan dengan pindaan), tidak banyak pindaan ketara sejak dahulu hingga sekarang. Barangkali sudah sampai masanya, enakmen ini disemak dan diharmonikan dalam bentuk satu akta tanah rizab Melayu pada peringkat Kerajaan Persekutuan sebagai panduan untuk digunakan di semua negeri.

Dengan penggubalan akta ini juga, takrif Melayu, asas cukai tanah, asas cukai pintu, insentif dan premium yang dikenakan bagi tanah berkenaan boleh diselaraskan. Perbezaan geografi dan sosioekonomi tidak harus dinafikan, tetapi diambil kira dengan teliti supaya dapat menjana ekonomi pemilik tanah terbabit. Infrastruktur lebih mudah disediakan supaya pembangunan tanah itu dapat dijalankan sebaik-baiknya.

Ketersediaan tanah rizab Melayu yang terletak di lokasi strategik boleh dikenal pasti untuk dimajukan. Akta juga boleh memasukkan klausa mengenai pengezonan supaya perancangan untuk memajukannya dapat dijalankan dengan lebih teratur. Buat masa ini, tiada pengezonan yang khusus bagi tanah rizab Melayu, hanya sekadar zon rizab.

Perkara ini boleh dilakukan dengan sempurna apabila tanah yang berpotensi untuk pembangunan dikenal pasti, yang kurang strategik boleh ditukar ganti (menggunakan kaedah swap atau sama dengan amalan ‘istibdal’ bagi tanah wakaf). Klausa pindaan yang berkenaan boleh dikembangkan kepada tanah yang mempunyai sekatan kepentingan sama seperti tanah adat di Melaka, tanah peribumi di Sarawak dan sebagainya.

Rakyat berasa amat gembira apabila agenda memajukan tanah rizab Melayu dan tanah wakaf dimasukkan sebagai salah satu bidang keutamaan dalam kerangka resolusi Kongres Masa Depan Ekonomi Bumiputera yang diadakan 1 September 2018 lalu di Kuala Lumpur.

Rakyat juga gembira apabila Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menyatakan kesediaan untuk mengkaji masalah, seterusnya mengambil daya usaha untuk memajukan tanah rizab Melayu bagi menyahut agenda memajukan ekonomi baharu Bumiputera.

173 dibaca
Berita Harian X