Isnin, 17 September 2018 | 11:30am
SEMANGAT kerjasama, muhibah dan setiakawan perkukuh semangat perpaduan antara kaum.

55 tahun mendepani kepelbagaian bersama

MALAYSIA dengan usia 55 tahun sudah mencapai satu tahap kematangan sebagai negara persekutuan yang berdaulat.

Gabungan Semenanjung, Sarawak dan Sabah, meskipun berhadapan isu dan konflik, semuanya dapat diselesaikan dengan semangat kerjasama, muhibbah dan setiakawan yang berasaskan “Malaysia”.

Pemimpin berfikiran terbuka dan realistik atas semangat Malaysia yang dapat dipelihara dan dibajai selama 55 tahun. Semuanya dapat ditangani dengan baik untuk kepentingan semua pihak. Itulah formula ke arah mewujudkan sebuah Malaysia yang lebih besar, kuat dan makmur dengan kata lain ‘Greater Malaysia’ di rantau Asia Tenggara.

Pada asasnya, penubuhan Malaysia hasil gabungan pentadbiran, politik dan ekonomi Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara untuk mengukuhkan kedudukan negeri kecil ini sebagai entiti lebih besar pada masa depan.

Ini dapat dilihat hari ini apabila berlaku kemajuan yang pesat di negeri berkenaan, khususnya di Sarawak dan Sabah dalam pelbagai lapangan kehidupan. Pembangunan fizikal, infrastruktur, pendidikan, ekonomi, peluang pekerjaan dan lain-lain dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak terbabit.

Kerjasama lancar

Meskipun landskap politik negara berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14), kerjasama di antara Kerajaan Pusat dan negeri masih lagi berjalan dengan baik dengan meletakkan kemajuan rakyat sebagai tanggungjawab utama. Daripada idea Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj hinggalah penubuhannya pada 16 September 1963, Malaysia berdiri megah hari ini.

Penubuhannya sudah pasti sesuatu yang kompleks dan penuh cabaran daripada apa yang digambarkan dalam buku teks atau sebarang penceritaan.

Meskipun pelbagai platform penubuhan Malaysia - closer association, direct merger dan lain-lain, hakikatnya Malaysia dapat ditubuhkan hasil persetujuan semua pemimpin terbabit.

Jawatankuasa perundingan

Oleh itu, semangat perundingan melalui Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia hendaklah dihidupkan dalam kepemimpinan negara hari ini.

Jawatankuasa ini boleh mengambil langkah mengumpul dan membandingkan idea-idea berkaitan dengan penubuhan Malaysia termasuk penerangan dan perbincangan secara lebih teliti.

Perbincangan yang kerap dengan semangat kerjasama sebelum ini dapat merealisasikan penubuhan Malaysia dengan cepat. Semangat perbincangan dan perundingan ini hendaklah dipertahankan, dicontohi dan ditauladani bagi mengukuhkan Malaysia pada masa hadapan apabila ia diterajui kepemimpinan yang berjiwa muda.

Apa-apa idea yang hendak melemah dan memecahbelahkan Persekutuan Malaysia hendaklah ditangani dengan tegas. Gerakan-gerakan pemisah yang hendak membawa keluar Sarawak dan Sabah wajar dibendung segera kerana ia tidak membawa kebaikan, sebaliknya kemudaratan lebih besar dalam situasi ketidaktentuan geo-politik antarabangsa hari ini.

Tanggungjawab pemimpin, rakyat

Membina dan menguatkan Malaysia menjadi tanggungjawab pemimpin dan rakyat. One state, one nation dengan merujuk Malaysia yang satu hendaklah dipertahankan.

Ia perlu dipertahankan seperti asal penubuhan negara kita yang mengambil kira faktor politik (keselamatan, kemerdekaan dan dekolonisasi), ekonomi (kerjasama dan pembangunan wilayah) dan sosial (kependudukan dan peningkatan taraf) dapat diteruskan dalam negara ini.

Akhir sekali, peranan pemimpin dalam menjayakan penubuhan Malaysia janganlah dilupakan, khususnya oleh generasi muda hari ini, sama ada di sekolah, kolej, universiti atau di mana-mana. Merekalah pejuang dan penyatu yang telah mencurahkan idea, buah fikiran, masa dan tenaga untuk Malaysia hari ini.

Tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Mohammad Fuad Stephens (Donald Aloysius Marmaduke Stephens), Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah anak Barieng. Merekalah yang bersama ramai lagi tokoh lain mewakili suara hati rakyat ketika itu untuk bergabung bagi menjadikan Malaysia gagah dan megah seperti mana hari ini.

70 dibaca
Berita Harian X