Rabu, 12 September 2018 | 12:43pm

Tangani impak asap rokok sekunder tingkat kesejahteraan

SYOR WARTA TEMPAT MAKAN TERBUKA KAWASAN LARANGAN MEROKOK

Surat terbuka Academy of Medicine of Malaysia, Academy of Medicine of Malaysia - College of Surgeons, Academy of Medicine of Malaysia - College of Physicians, Addiction Medicine Association of Malaysia, Asthma Malaysia, Family Medicine Specialists Association of Malaysia, Federation of Private Medical Practitioners’ Associations Malaysia, Islamic Medical Association of Malaysia, Lung Foundation of Malaysia, Malaysian Association for Bronchology & Interventional Pulmonology, Malaysian Association of Thoracic and Cardiovascular Surgery, Malaysian Council for Tobacco Control, Malaysian Medical Association, Malaysian Medics International, Malaysian Oncological Society, Malaysian Paediatric Association, Malaysian Psychiatric Association, Malaysian Society of Geriatric Medicine, Malaysian Thoracic Society, Medical Mythbusters Malaysia, Medical Practitioners Coalition Association Of Malaysia, Medical Tweet Malaysia, National Cancer Society of Malaysia, National Heart Association of Malaysia, Obstetrical and Gynaecological Society of Malaysia, Perinatal Society of Malaysia, Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia, Vascular Society of Malaysia

SURAT ini ditandatangani 30 persatuan perubatan, mewakili majoriti pakar kesihatan di Malaysia bertujuan menyatakan sokongan kami di atas pengumuman Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.

Melalui Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye, kementerian berkenaan mengumumkan cadangan itu bagi mewartakan tempat makan terbuka sebagai kawasan larangan merokok mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Kami amat bersetuju dengan kenyataan Dr Lee bahawa pewartaan kawasan larangan merokok ini bertujuan melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok sekunder. Satu daripada dua perokok akan mati akibat penggunaan tembakau dan produk tembakau.

Meskipun tindakan merokok akan menyebabkan kesan sampingan ke atas diri perokok itu sendiri, kajian menunjukkan bukan sahaja perokok terkesan dengan bahaya asap rokok, malah orang sekeliling juga berisiko mendapat pelbagai penyakit akibat menyedut asap rokok.

Asap rokok mengandungi lebih 7,000 bahan kimia, sesetengahnya adalah bahan karsinogenik atau penyebab kanser. Pelbagai kajian menunjukkan bahawa asap rokok boleh menyebabkan penyakit jantung koronari pada usia muda.

Kanser paru-paru

Selain itu, pendedahan terhadap asap rokok juga dapat menyebabkan kanser paru-paru pada orang yang tidak merokok serta risiko menghidap penyakit angin ahmar atau strok.

Wanita dan kanak-kanak adalah mangsa utama kepada pendedahan asap rokok, terutama di tempat awam dan sering kali luahan hati mereka tidak diendahkan. Kesan sampingan terhadap wanita dan kanak-kanak sering terjadi seperti serangan asma yang kerap dan teruk.

Asap rokok juga meningkatkan prevalen jangkitan saluran nafas, jangkitan telinga, kelahiran bayi pramatang dan kurang berat badan serta kematian mengejut pada bayi dan kanak-kanak.

Perlu ditekankan di sini bahawa tiada tahap selamat bagi pendedahan kepada asap rokok. Dengan mengambil kira perkara terbabit, banyak kerajaan di serata dunia mengambil tindakan melindungi rakyatnya daripada kemudaratan asap rokok sekunder.

Contohnya, England sudah menggubal satu dasar yang menyatakan tempat bekerja adalah kawasan larangan merokok berkuat kuasa 1 Julai 2007. Ini adalah susulan akta yang terpakai di sana iaitu Health Act 2006.

Analisis yang dijalankan susulan larangan itu menunjukkan pengurangan dari segi bilangan pesakit dirawat di hospital akibat serangan jantung, iaitu 42 peratus bagi pesakit lelaki dan 43 peratus bagi pesakit wanita. Kadar kemasukan wad bagi pesakit asma juga berkurangan.

Di Amerika Syarikat, penurunan peratusan pesakit angin ahmar dilaporkan di negeri yang memperkenalkan larangan merokok, dibandingkan dengan negeri yang tidak melaksanakan larangan berkenaan.

Dasar betul selamat nyawa

Kajian ini menunjukkan bukti kukuh bahawa dasar yang betul akan menyelamatkan nyawa dan mengurangkan masalah kesihatan fizikal, mental serta emosi akibat menanggung penyakit.

Sering kita mendengar kenyataan bahawa larangan tempat merokok akan memberi impak negatif kepada perniagaan dari sudut ekonomi. Hakikatnya, ia tidak berlaku kerana ada bukti yang menyatakan sebaliknya.

Di England, perniagaan restoran berkembang sejak larangan merokok diperkenalkan, yang mana pengusaha meningkatkan kualiti makanan serta berusaha menarik minat pelanggan berkeluarga, terutama dengan anak yang masih kecil.

Sebelum itu, golongan berkeluarga akan mengelak masuk restoran yang mana anak kecil akan terdedah kepada asap rokok.

Kami ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang mengambil berat usaha untuk mencegah penyakit dan sentiasa berusaha membendung dan mengawal faktor risiko utama yang menyebabkan penyakit tidak berjangkit.

Kami amat berharap Dr Lee bersama Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad akan dapat mewartakan larangan merokok ini seperti yang dicadangkan.

Tembakau adalah barang dagangan sah walaupun ia membunuh separuh daripada penggunanya serta orang sekeliling.

Pengurangan impak daripada asap rokok sekunder akan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan mengurangkan beban kos kesihatan yang akan ditanggung kerajaan.

255 dibaca
Berita Harian X