Selasa, 11 September 2018 | 11:00am
SEBAHAGIAN agensi kerajaan yang menyertai dalam perarakan Sambutan Maal Hijrah 1440 Peringkat Negeri Pahang di perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah 1. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

Keteguhan, identiti Islam perlu dipertahan

ISLAM adalah agama yang bersifat syumul, iaitu menyeluruh dalam segala aspek kehidupan. Syariat Islam meliputi dari sekecil-kecil hal ehwal individu sehingga sebesar-besar urusan pemerintahan.

Dalam sirah Rasulullah SAW sendiri, perkara utama yang Baginda lakukan selepas berlakunya peristiwa hijrah ialah mendirikan negara buat umat Islam di Madinah dengan Baginda sendiri sebagai ketua negara.

Sejarah pemerintahan dan ketamadunan umat Islam ini telah berlangsung lebih 1,400 tahun sehingga hari ini.

Terdapat begitu banyak dalil yang menyentuh isu pemerintahan dan kepemimpinan, antaranya Surah al-Maidah ayat 49 yang bermaksud: “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu”.

Allah SWT juga memerintahkan umat Islam untuk mentaati pemimpin yang taat kepada Allah dan Rasul dalam al-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu”.

Ketaatan hanya boleh diberikan jika kepemimpinan itu wujud. Dalam ayat ini, selain kita memahaminya sebagai arahan untuk mentaati, juga perlu difahami supaya kita memastikan kepemimpinan umat Islam itu sentiasa ada.

Ibn ‘Ashur dalam kitabnya, Naqd ‘Ilmi li Kitab al-Islam wa Usul al-Hukum telah menimbulkan satu persoalan yang bermaksud: “Bagaimana mungkin Islam itu dianggap sebagai suatu syariat, tetapi tiada kerajaan yang melaksanakan syariat itu dan membawa pemimpin dan rakyat beramal dengannya”?

Kepentingan rakyat

Pemerintahan dalam Islam menjaga kepentingan rakyat secara menyeluruh, seperti disebutkan Imam al-Juwayni dalam Ghiyath al-Umam yang bermaksud: “Pemerintahan (dalam negara Islam) ialah sebuah kepemimpinan yang menyeluruh dan penguasaan yang umum. Ia berkaitan dengan segala urusan yang berkaitan masyarakat umum, mahupun individu perseorangan, meliputi urusan agama dan dunia.

Kepentingan itu meliputi menjaga kedaulatan negara, memerintah orang yang diperintah, mendirikan dakwah dengan hujah dan juga pedang, menahan kelompok yang sesat dan kelompok yang zalim, menarik hak daripada golongan yang menentang dan memberi hak kepada golongan yang dizalimi dan mendapatkan hak daripada mereka yang enggan memberikan hak yang sepatutnya dan memberikan kepada mereka yang berhak”.

Peranan utama negara juga menjaga agama seperti disebutkan oleh ulama muktabar.

“Maqasid yang paling utama yang perlu direalisasikan oleh pemimpin ialah maqasid menjaga agama”. (Imam al-Juwaini, Ghiyath al-Umam)

“Kepemimpinan (dalam pemerintahan Islam) itu adalah diwujudkan dengan matlamat untuk menggantikan tugasan nubuwwah, iaitu dalam menjaga agama dan mengurus tadbir dunia”. (Imam al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah)

“Pemerintah dan agama seperti saudara kembar. Sesungguhnya agama asas dan pemerintah itu penjaga. Dan sesuatu yang tidak mempunyai asas akan runtuh dan sesuatu yang tidak mempunyai penjaga akan hilang”. (Imam al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din)

“Sesungguhnya tujuan segala pemerintahan dalam Islam untuk menjadikan agama itu seluruhnya bagi Allah semata-mata, dan memastikan kalimah Allah itu yang tertinggi”. (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa).

Kenyataan biadab

Pemahaman kenegaraan dalam Islam cukup berbeza dengan fahaman liberalisme yang hanya ingin negara menjaga kebajikan material dan menyerahkan segala urusan lain kepada hak individu.

Ini seperti diungkapkan oleh pemikir yang dianggap bapa liberalisme, John Locke: “Government has no other end, but the preservation of property”.

Kenyataan Pengurus Program Sisters in Islam (SIS), Shareena Sheriff dalam forum ‘Malaysia Baru: 61 Tahun Selepas Merdeka, Adakah Etnik dan Agama Masih Penting?’ yang mengatakan Islam sebagai ‘endemik’ dan keadaan itu menyukarkan usaha untuk memisahkan Islam daripada fungsi kerajaan, hanyalah manifestasi pemahaman liberalisme dan sekularisme yang jauh daripada hakikat sebenar Islam.

Ucapan itu yang ingin memisahkan Islam daripada fungsi kerajaan juga kenyataan terbuka yang biadab dan tidak menghormati Perlembagaan Malaysia serta Majlis Raja-Raja.

Dalam Perkara 3(1) Perlembagaan secara jelas menyebut Islam ialah agama bagi Persekutuan.

Perkara 32(1) pula menyatakan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan ialah Yang di-Pertuan Agong, yang sumpah pelantikan baginda dalam Bahagian I Jadual Keempat merangkumkan secara keseluruhan tanggungjawab besar yang meliputi empat perkara.

Empat perkara itu ialah, mengikut undang-undang dan Perlembagaan sedia ada dan akan datang; menegakkan kedaulatan undang-undang; menjalankan pemerintahan dengan adil dan aman serta memelihara agama Islam.

Kedudukan Islam dalam fungsi pemerintahan di Malaysia tidak sepatutnya dipertikai sama sekali, apatah lagi seruan untuk memisahkannya.

Sekiranya ada kekurangan dalam institusi dan pentadbiran Islam, ia perlu ditambah baik dan diperkasakan, bukan dipisah atau dimansuhkan.

Umat Islam di Malaysia perlu teguh mempertahankan identiti dan kedudukan Islam di negara ini kerana arus liberal demokratik yang ingin me ngubah identiti negara akan terus mengasak secara kuat dan kita hanya akan mempunyai kekuatan jika bersatu.

Penulis adalah Pegawai Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) & Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul Fiqh) Universiti Yarmouk, Jordan

228 dibaca
Berita Harian X