Ahad, 9 September 2018 | 11:00am
MENTERI Kewangan Lim Guan Eng (tiga dari kanan) merai kemenangan Wong Siew Ki (empat dari kanan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi DUN Balakong di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah Hulu Langat. - Foto BERNAMA

Pembangkang belum mampu bangkit semula

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia melabuhkan tirainya semalam, menyaksikan pembangkang - MCA dan PAS masih gagal menawan atau sekurang-kurangnya memberi tentangan sengit di kedua-dua kerusi itu, yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) menerusi calon daripada DAP serta PKR.

Biarpun peratusan keluar mengundi jatuh mendadak iaitu hanya 43 peratus direkodkan di DUN Balakong dan 44 peratus lagi di DUN Seri Setia, faktor itu sama sekali tidak mendatangkan kelebihan buat pembangkang.

Bagaimanapun, peningkatan jumlah undi yang terima oleh calon PAS, Dr Halimah Ali di DUN Seri Setia membuktikan kerjasama UMNO dan PAS bukan cakap kosong semata-mata.

Kesungguhan bekerjasam

Sejak awal hari kempen lagi, UMNO sudah menampakkan kesungguhan untuk bekerjasama dengan PAS. Ramai pemimpin tertingginya, termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menunjukkan iltizam turun padang membantu kempen calon PAS.

Hampir setiap ceramah yang dianjurkan PAS akan dihadiri pemimpin UMNO. Kemesraan antara UMNO-PAS di DUN Seri Setia kelihatan lebih terbuka.

Bagaimanapun, keputusan Pakatan Harapan (PH) menerusi calonnya, Halimey Abu Bakar menepati ramalan untuk terus kekal di DUN Seri Setia apabila memenangi PRK kawasan itu dengan majoriti 4,027 undi berbanding PAS.

Halimey Abu Bakar memperoleh 13,725 undi, menewaskan calon PAS Dr Halimah Ali yang mendapat 9,698 undi.

Jumlah undi yang diperoleh Dr Halimah iaitu lebih 9,000 undi, dilihat meningkat sekali ganda daripada 4.563 undi calon PAS, Mohd Ghazali Daud pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusof, apa yang berlaku di Seri Setia menunjukkan PAS mula mendapat sokongan penuh daripada ahli UMNO di peringkat akar umbi.

“Sudah jelas apa yang diperkatakan pemimpin UMNO mahupun PAS selama ini adalah apa yang dirasai dan dimahukan ahli parti yang menterjemahkannya kepada undi terhadap calon PAS di Seri Setia.

“Ini memberi satu petanda positif terhadap lebih banyak kerjasama yang akan dijalinkan antara kedua-dua parti selepas PRK ini,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, malam tadi.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Pada PRU-14, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff dengan memperoleh 29,250 undi. Beliau mengalahkan Yusoff yang memperoleh 9,878 undi, Mohd Ghazali (PAS) dan calon Bebas, S Vigneswaran yang mendapat 217 undi.

Di DUN Balakong pula, buat julung kalinya MCA menampilkan strategi menggunakan logonya sendiri.

Namun ia menghasilkan keputusan lebih teruk jika dibandingkan jumlah undi diperoleh di bawah bendera Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

Calon yang diketengahkan PH, iaitu Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang, Wong Siew Ki meraih jumlah undi besar, jauh meninggalkan calon MCA, Tan Chee Teong.

Siew Ki memenangi PRK DUN Balakong, menewaskan Chee Teong dengan majoriti 18,533 undi. Siew Ki memperoleh 22,508 undi, manakala Chee Teong meraih 3,975 undi.

Keputusan itu menimbulkan persoalan sama ada strategi MCA itu menyebabkan pengundi Melayu yang mewakili 30 peratus pengundi di DUN Balakong membuat ketetapan untuk ‘memboikot’ dan tidak keluar mengundi Chee Teong.

Jelas sekali, strategi seperti ini tidak memberi keuntungan buat MCA apatah lagi kini, parti mewakili masyarakat Cina itu diura-urakan mahu keluar daripada BN, selepas mencapai keputusan teruk dalam PRU-14.

Justeru, MCA selepas ini perlu meneliti semula keupayaan parti itu untuk mendepani persekitaran politik negara. Jika parti itu mahu terus relevan, seharusnya mereka meneruskan kerjasama politik dengan parti Melayu sama ada UMNO atau parti lain.

1691 dibaca
Berita Harian X