Sabtu, 8 September 2018 | 2:40pm
BAHAGIAN 4 Bab 1, Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua utama negara bagi Persekutuan yang dilantik melalui persetujuan Majlis Raja-Raja. - NSTP/Asyraf Hamzah

Seri Paduka asas kestabilan, kemakmuran negara

SESEBUAH negara memerlukan kepemimpinan untuk kesempurnaan pentadbiran agar menjadi lebih teratur dan berjaya dalam setiap bidang.

Menurut Islam, kedudukan seseorang pemimpin lebih mulia dan tinggi kerana mereka disyariatkan bagi menggantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan umat Islam.

Imam al-Mawaradi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyah menjelaskan: “Tugas pemimpin negara adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir urusan dunia.”

Dalam konteks Malaysia pada hari ini, kita sedia maklum bahawa Bahagian 4 Bab 1, Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua utama negara bagi Persekutuan yang dilantik melalui persetujuan Majlis Raja-Raja.

Lafaz sumpah jawatan Seri Paduka mencakupi ikrar taat setia pada menjalankan pemerintahan dengan adil sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan serta memelihara agama Islam.

Setia kepada Raja, negara

Justeru, perlu diperingatkan kepada diri kita sebagai rakyat jelata betapa pentingnya kesetiaan terhadap Raja dan negara.

Malah, ini menepati salah satu prinsip dalam iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu mentaati dan menghormati pemimpin.

Firman Allah dalam Surah an-Nisa’ ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.

Namun kebelakangan ini, institusi Raja yang sepatutnya dihormati berhadapan cabaran dengan usaha untuk mengganggu institusi berkenaan, terutama di media sosial.

Terdapat banyak isu yang dilontarkan belum dipastikan kesahihannya apatah lagi yang tidak mempunyai mana-mana sandaran mahupun bukti.

Hal ini bukan sahaja menyebabkan kemudaratan dan mengganggu kemaslahatan rakyat, malah pada masa sama memberi kegembiraan kepada golongan yang menolak sistem kerajaan Raja berperlembagaan dan Islam sebagai agama Persekutuan.

Sehubungan itu, marilah kita bersatu menjauhkan diri kita daripada terperangkap dan terpengaruh dalam isu seumpama ini.

Berpegang teguh kepada prinsip syariat Islam

Sebagai seorang Muslim, hendaklah kita berpegang teguh kepada prinsip syariat Islam iaitu memerintahkan supaya kita menjaga lisan dan menahan diri agar tidak menulis dan menyatakan perkara-perkara yang tiada bukti kebenarannya.

Peringatan ini jelas dirakamkan oleh Allah melalui firman-Nya dalam Surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

Hal ini juga diperingatkan oleh Baginda Nabi melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim: “Daripada Ibn Mas’ud berkata, bahawa Rasulullah telah bersabda, “dan janganlah sesekali kamu melakukan perkara dusta, maka bahawasanya melakukan perkara dusta membawa kepada perbuatan maksiat dan perbuatan maksiat membawa kepada neraka”.

Dengan itu, kita amat bersyukur kepada Allah kerana memelihara Seri Paduka dan negara ini daripada sebarang ancaman.

Situasi ini tidak lain dan tidak bukan adalah disumbangkan oleh nilai sifat hikmah, tegas, bijaksana, adil, saksama dan keupayaan tinggi Seri Paduka dalam mengharungi cabaran dengan berkesan.

Bukan itu sahaja, sokongan padu barisan pembesar dan penasihat negara termasuk ulama dan dan cendikiawan Islam yang mengurus tadbir dengan cemerlang meneguhkan lagi kedudukan Seri Paduka.

Sumber kekuatan ummah

Kejayaan negara khususnya menjadi pelopor kepada penubuhan universiti Islam, Tabung Haji, pengurusan sistem kewangan dan perbankan Islam terunggul serta peneraju halal dunia yang ternyata memberi manfaat kepada ummah keseluruhannya, adalah hasil pemikiran ulama yang ingin melihat negara berpaksikan kejayaan dan kesejahteraan.

Inilah sumber kekuatan ummah bila wujudnya hubungan erat di antara umara (pemimpin) dan ulama, negara akan dilimpahi rahmat dan kebaikan.

Kedaulatan Islam dan kemajuan negara adalah berasaskan kepada kekuatan kepemimpinannya.

Sayugia itu, Seri Paduka sebagai ketua negara, sama ada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga negara dan kesucian agama Islam, dikagumi oleh pelbagai lapisan rakyat jelata.

Rakyat menjunjung kasih dan merafak sembah atas keperihatinan Seri Paduka dalam memartabatkan agama Islam, memajukan negara dan membantu kehidupan rakyat agar dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam perkembangan dunia semasa.

Seluruh rakyat diseru mendoakan kesejahteraan berpanjangan Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda pada 9 September bersamaan Ahad, 28 Zulhijjah 1439 hijri ini.

Kesimpulannya yang pertama, prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara adalah menepati syariat Islam.

Kedua, gejala fitnah boleh menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara serta tanda hilangnya iman seseorang.

Ketiga, Seri Paduka adalah ketua negara yang mempunyai keperibadian tinggi dalam menjalankan bidang kuasa menjaga negara dan kesucian agama Islam.

163 dibaca
Berita Harian X