Ahad, 2 September 2018 | 11:00am
Dr Mahathir berucap pada Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Kuala Lumpur, semalam. - Foto BERNAMA

Kerajaan serius perbaiki nasib Melayu, Bumiputera

Semalam, berlangsung satu kongres di ibu negara bagi membincangkan agenda dan hala tuju Bumiputera, inisiatif dianjurkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengambil tampuk kuasa pentadbiran negara.

Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 itu dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut menyampaikan ucaptama serta berdialog dengan peserta.

Antara topik menarik diutarakan Perdana Menteri ialah jaminan bahawa kerajaan tidak akan menganiaya Bumiputera dalam berdepan cabaran masa depan termasuk bidang ekonomi.

Jaminan berkenaan seharusnya dipandang secara positif oleh semua pihak, terutama ke arah memastikan peningkatan tahap sosioekonomi orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Penganjuran kongres itu jelas membuktikan kerajaan cukup serius dalam usaha memperbaiki nasib Bumiputera dan orang Melayu yang selama ini dianggap sebagai tulang belakang dalam pembentukan negara.

Namun, harus diingat untung nasib dan kejayaan terhadap usaha kerajaan itu sebenarnya bergantung kepada bangsa berkenaan sendiri kerana merekalah yang akan menentukan segala-galanya.

Tambahan pula Bumiputera mewakili jumlah penduduk paling ramai di Malaysia, sekali gus memerlukan mereka bijak mengambil peluang demi memelihara dan menjamin kepentingan mereka.

Ubah sikap

Jika dilihat secara logik juga, kejayaan Bumiputera akan memberikan impak yang besar bukan saja kepada ekonomi negara tetapi dalam memastikan kestabilan sosial berikutan jumlah kelompok rakyat itu yang ramai.

Mengakui bahawa masyarakat Melayu atau Bumiputera perlu berubah, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ir Dr Ahmad Zaidee Laidin bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir.

Bagi tokoh akademik itu, perkara utama yang perlu dilakukan oleh orang Melayu dan Bumiputera adalah mengubah sikap dan pegangan nilai hidup.

Paling penting, katanya, bangsa berkenaan perlu memikirkan sendiri apa sebenarnya yang boleh mereka lakukan ke arah memperbaiki nasib diri dan bukannya dengan mengharapkan bantuan atau usaha kerajaan semata-mata.

Memang kita akui pencapaian golongan Bumiputera sehingga kini banyak menampakkan kemajuan terutama dalam bidang pendidikan dan pekerjaan, berbanding pada era 1970-an dahulu.

Pun begitu, kita masih lagi dimomokkan dengan persepsi bahawa graduan Bumiputera atau Melayu yang dianggap ‘tidak boleh buat kerja’, terutama dalam kalangan majikan swasta dan syarikat multinasional.

Tanggapan negatif itu juga mungkin berpunca daripada sikap mereka sendiri yang masih ada rasa segan dan malu terutama apabila membabitkan penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris.

Ini kerana, penguasaan bahasa antarabangsa berkenaan menjadi antara kriteria utama dalam proses pengambilan kerja oleh syarikat swasta atau multinasional.

Jika diimbas, kerajaan sejak dahulu lagi sudah mengatur pelbagai pelan dan perancangan ke arah membantu dan membela nasib Bumiputera di negara ini.

Biarpun golongan itu kelompok terbesar dalam kalangan rakyat Malaysia, mereka tetap dilihat gagal termasuk dalam menjadi peneraju ekonomi.

Lihat sahaja data pendapatan purata isi rumah 2016 yang menunjukkan Bumiputera hanya mampu meraih RM6,267, masih rendah berbanding RM8,213 pendapatan purata yang diraih bukan Bumiputera.

Capai kejayaan

Sudah pasti kita cukup mengharapkan resolusi yang dicapai dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 semalam, mampu menyuntik semangat dan menghasilkan kejayaan baharu bagi Bumiputera dan orang Melayu.

Penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965 dulu berjaya menubuhkan MARA bagi menggantikan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA), yang memberi perubahan penting kepada golongan Bumiputera.

Sehubungan itu, kita mengharapkan ada sesuatu yang lebih membanggakan bagi mengubah nasib Bumiputera dan orang Melayu susulan kongres yang berlangsung semalam.

Namun, seperti ditekankan Dr Mahathir, kejayaan tidak akan datang melayang atau bergolek kecuali daripada hasil usaha dan kerajinan bangsa itu sendiri.

Ingatlah, selagi tidak sudah-sudah mencari jalan mudah, selama itu kita akan terdedah untuk menemui kegagalan.

543 dibaca
Berita Harian X