Jumaat, 31 Ogos 2018 | 11:52am
DR Mahathir berucap pada Townhall bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Perkhidmatan awam seiring kepemimpinan autentik

BARU-BARU ini, berlangsung Sesi Townhall Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang bertajuk Way Forward: The Rise of Authentic Leadership anjuran bersama Persatuan Perkhidmatan Tadbir Dan Diplomatik (PPTD) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Apabila sesuatu tema dipilih untuk acara sepenting ini, sudah tentu ia membawa makna yang besar. Penjawat awam, terutama di bawah skim PTD perlu ‘membaca’ semua itu dengan akal budi masing-masing.

Rata-rata apabila memperkatakan tentang kepemimpinan, maka kata kunci utama yang muncul ialah influence atau pengaruh.

Ramai menulis mengenai apa yang dimaksudkan sebagai pemimpin dan hampir semuanya mengenal pasti ‘pengaruh’ sebagai antara ciri utamanya.

Secara definisi, ini bermakna kepemimpinan dan kedudukan adalah dua perkara yang berbeza. Memegang gelaran dan berkedudukan tinggi di dalam carta organisasi, belum bermakna anda benar-benar seorang pemimpin.

Malah, ada orang yang tanpa memiliki semua perkara itu mereka masih mampu memiliki pengaruh, sekali gus kepemimpinan.

Idea mengenai kepemimpinan autentik wujud untuk sekian masa yang lama dan telah dikenali dengan istilah yang berlainan sehingga buku Authentic Leadership oleh Bill George telah mempopularkan istilah itu pada 2003.

Tingkah laku

Tulisan Robinson dan O’Dea pada 2014 merumuskan bahawa seseorang yang berkepimpinan autentik selalu menunjukkan tingkah laku yang membolehkan orang ramai percaya kepada mereka sepanjang masa.

Mereka juga mengambil tanggungjawab apabila mereka membuat kesilapan dan berkongsi tanggungjawab untuk sebarang kesilapan yang berlaku.

Mereka menunjukkan keberanian yang diperlukan untuk meningkatkan lagi rantaian kepemimpinan, mempersoal status quo atau mempertahankan orang bawahan mereka atau kerja mereka.

Pemimpin yang autentik berpegang teguh kepada perjalanan mereka sendiri untuk memahami diri mereka sebagai insan dan bagaimana mereka serta orang lain memahami dunia.

Mempunyai berkeupayaan untuk membuang jauh ego mereka, lalu mereka benar-benar memperkasa dan membangunkan orang lain. Mereka mempengaruhi dan memberi inspirasi kepada orang lain dengan menzahirkan diri yang sebenar.

Mereka juga menghasilkan outcome yang hebat untuk tempoh jangka masa panjang.

Kajian Gardner menunjukkan kepemimpinan autentik mempunyai kaitan rapat dengan etika dan kepemimpinan transformasi. Organisasi dan warganya memerlukan pemimpin yang autentik serta mempunyai idea transformasi supaya mereka dapat meningkatkan perubahan dalam mana-mana kapasiti yang mereka mainkan.

Oleh itu, kepemimpinan autentik dan transformasi telah dikumpulkan bersama dalam satu gaya kepemimpinan yang dipanggil ‘kepemimpinan transformasi autentik’.

Penyebab transformasi

Konsep ini digabungkan bersama disebabkan tiada pemimpin autentik yang boleh dianggap sebagai tulen jika mereka tidak bersedia untuk menjadi penyebab transformasi, dan untuk memastikan bahawa perubahan menjadi paksi kepada semua idea dan agenda yang mereka utarakan.

Jika perkhidmatan awam sedang menuju kepemimpinan autentik ini, maka pembicaraan ini perlu dihadami oleh mereka yang bukan saja bergelar pemimpin. Pembicaraan tentang kepemimpinan perlu dihayati sama oleh kumpulan pelaksana.

Keselarasan di antara kepemimpinan dan kepengikutan sangat mustahak. Semangat kesalingan yang sahih di antara dua kelompok ini satu faktor terpenting kejayaan sesuatu pentadbiran dan pengurusan.

Ambillah iktibar daripada riwayat ini. Diriwayatkan bahawa seorang lelaki berkata kepada Ali bin Abi Thalib, “Mengapa pada masa kekhalifahan Abu Bakar dan Umar keadaan begitu jernih, sedangkan pada masa kekhalifahanmu dan kekhalifahan Uthman keadaan begitu keruh”?

Ali bin Abi Thalib menjawab, “Sesungguhnya pada masa kekhalifahan Abu Bakar dan Umar, mereka didukung oleh orang seperti aku dan Uthman, sedangkan masa kekhalifahanku dan kekhalifahan Uthman, kamu dan orang seperti kamulah yang menjadi pendukung kami berdua”. (Kitab Syadzaraat al-Dzahaab)

Penulis adalah Felo Penyelidik Kanan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Kuala Lumpur

339 dibaca
Berita Harian X