Ahad, 15 April 2018 | 7:25am
GENERASI masa kini lebih menumpukan perhatian calon wakil rakyat yang berwibawa dan menepati sifat kepemimpinan.

Teliti pilih calon untuk wakili rakyat

PERTELINGKAHAN ahli politik secara tidak langsung boleh mengubah pemikiran masyarakat berkaitan parti politik yang akan disokong, sekali gus corak pemerintahan negara pada masa depan. Jika asyik bertelagah, ia akan memberi kesan kepada peluang parti politik dan ahli politik itu sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pemilihan calon yang berwibawa oleh kepemimpinan parti untuk diketengahkan pada PRU-14 sangat penting. Setiap kegiatan dan reputasi calon yang akan dipilih untuk menjadi wakil rakyat perlu dikaji dan diselidik secara terperinci mengenai kebolehan dan kewibawaan mereka dalam melaksanakan tugas sebagai wakil kepada parti politik mereka.

Pemilihan calon wakil rakyat di kawasan masing-masing satu tanggungjawab yang besar kerana mereka dipilih atas harapan yang tinggi oleh rakyat. Pada bahunya diletakkan tanggungjawab memenuhi keperluan dan penyelesaian pelbagai isu oleh rakyat yang diwakili.

Calon wakil rakyat yang dipilih seharusnya memberi perkhidmatan dan pembabitan sebaik mungkin buat rakyat, selain mewakili mereka di Parlimen. Mereka sepatutnya bukan melihat tugas dalam skop politik semata-mata, tanpa meletakkan diri sebagai rakyat yang sentiasa memerlukan bantuan dan suara daripada pemimpin.

Penilaian terhadap kegiatan dan kegigihan calon wakil rakyat ini juga bukan sekadar melihat kepada kegiatan mereka yang dipamerkan dalam akaun media sosial seperti di Twitter, Instagram, Facebook atau seumpamanya, tetapi berdasarkan kepada pemantauan secara menyeluruh daripada rakyat dan pihak tertentu yang dilantik oleh parti politik.

Tidak kira musim

Rakyat kini yang terdedah kepada kehidupan universal lebih prihatin terhadap individu yang dicalonkan sebagai wakil rakyat tanpa mengira parti politik. Kegigihan dan pembabitan calon wakil rakyat dalam masyarakat tanpa mengira musim dan masa adalah pilihan rakyat.

Masyarakat lebih tertumpu kepada kewibawaan dan kredibiliti calon wakil rakyat berbanding parti politik, terutama apabila berlaku perpecahan yang paling serius dalam beberapa parti politik.

Jika wakil rakyat yang dipilih dulu gagal untuk memenuhi harapan masyarakat, usah bermimpi untuk menjadi pilihan rakyat pada pilihan raya kali ini kerana reputasi perkhidmatan yang dipertontonkan kepada rakyat, tidak melambangkan diri sebagai wakil rakyat yang berwibawa.

Setiap individu (rakyat) mempunyai idola dalam kalangan ahli politik yang menyebabkan mereka taksub kepada individu itu. Jika ahli politik yang diminati oleh mereka bergabung dengan parti politik lain, mereka tetap menyokong beliau sebagai wakil rakyat.

Generasi masa kini lebih menumpukan perhatian kepada calon wakil rakyat yang berwibawa dan menepati sifat dan tingkah laku sebagai pemimpin. Kecuaian dan kesilapan dalam pemilihan calon wakil rakyat bukan sahaja boleh menyebabkan parti politik menghadapi kekalahan, malah ia juga boleh mencemar kewibawaan parti politik sebagai satu parti yang ketandusan kepemimpinan.

Pucuk pimpinan parti politik sepatutnya tidak mengamalkan pilih kasih atau kronisme dalam pemilihan calon wakil rakyat kerana sifat ini boleh mengaburkan pandangannya dalam pemilihan calon berwibawa.

Kenal pasti keupayaan

Sikap keterbukaan dan menganalisis secara terperinci sepatutnya dijadikan sebagai satu prinsip dalam pemilihan calon wakil rakyat kerana keupayaan dan kelayakan individu hanya dapat dikenal pasti apabila setiap aspek berkaitan dengan dirinya dikaji dan diteliti.

Ada individu tertentu yang berkelayakan untuk dipilih sebagai calon wakil rakyat tetapi nama mereka tidak disenaraikan kerana bukan terdiri daripada ahli politik yang suka mempamerkan diri dan menonjolkan kebolehan demi kedudukan dan pangkat. Keupayaan mereka hanya diketahui masyarakat, lantaran keaktifan mereka dalam kegiatan kemasyarakatan dan sebagainya.

Individu begini sepatutnya dilantik menjadi calon wakil rakyat kerana pembabitan mereka dalam kegiatan kemasyarakatan diiktiraf oleh masyarakat di kawasan mereka, tanpa mengira parti politik dan kaum.

Ahli politik yang tidak berakhlak dan sering mengundang pertelingkahan sesama ahli dalam parti politik atau masyarakat, sepatutnya tidak dilantik sebagai calon wakil rakyat kerana sifat dan keperibadian begini tidak menepati ciri-ciri wakil rakyat berwibawa.

Undi yang diputuskan kepada wakil rakyat bukan sekadar sentimen ke atas kepartian semata-mata tetapi juga rekod perkhidmatan atau 'kad laporan' parti yang bertanding. Pengundi tidak sepatutnya membiarkan diri terpengaruh dengan sikap sesetengah pihak yang membunuh karakter atau watak pemimpin atau calon yang bertanding demi mencapai tujuan tertentu.

Teliti dan kaji secara terperinci sebelum melantik calon wakil rakyat supaya masyarakat berkeyakinan bahawa calon itu menepati harapan mereka dan mewakili parti politik yang berwibawa.

227 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »