Khamis, 29 March 2018 | 7:37am
MOHD Hashim menunjukkan jumlah pemilih berdaftar pada Program

Persempadanan semula utama pengundi, wakil rakyat

Usul Mengenai Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Kali Keenam Tahun 2018 diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

Ia akan diguna pakai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ikuti kupasan lanjut menerusi temu bual wartawan NSTP, Syed Umar Syed Ariff dan Mohd Iskandar Ibrahim bersama Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

S: Ramai ingin mengetahui keperluan SPR mengemukakan cadangan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya?

J: Dalam Perlembagaan Persekutuan ditetapkan persempadanan semula perlu diadakan selepas lapan tahun. Ini berdasarkan beberapa faktor, contohnya, keadaan negara kita yang berubah, kita boleh lihat dalam masa lapan tahun, banyak perubahan berlaku dalam negara, penduduk makin bertambah, kawasan tertentu terutama dalam bandar besar, penduduk makin bertambah dan kawasan yang dulunya pinggir bandar sudah menjadi bandar, kawasan luar bandar sudah menjadi pinggir bandar.

Kita lihat ada pertumbuhan penduduk dan kawasan baharu, sama ada ia luar bandar atau bandar, ia berdasarkan pembangunan berterusan dalam negara. Ini faktor penting. Kita terpaksa membuat perubahan terhadap sesuatu kawasan yang penduduknya makin ramai dan tepu. Dalam sesuatu kawasan dan bagi pandangan sebahagian masyarakat, mereka hendak supaya jumlah sama dalam setiap Parlimen tetapi perkara ini tidak mungkin boleh berlaku. Ini bermakna kita tidak boleh bandingkan kawasan bandar dengan kawasan luar bandar, pinggir bandar dengan luar bandar, kita tidak boleh samakan kawasan bandar dengan penduduk padat dengan luar bandar.

Mengambil contoh kawasan Putrajaya, pengundi tentu sedikit berbanding kawasan Kuala Lumpur sebab kawasan Putrajaya adalah kawasan baharu, ia tidak boleh berkembang kerana dikelilingi kawasan Parlimen lain. Keduanya, kita perlu lihat dari segi geografi, ketiga etnik, suku kaum di Sabah dan Sarawak perlu diambil kira, tidak boleh sewenang-wenangnya memisahkan suku kaum dalam sesuatu kawasan.

Disebabkan itu persempadanan semula kena mengambil kira semula perkara lain, contohnya kalau kita sempadankan, setengah orang tanya kenapa ambil kawasan ini.... dia hanya melihat dari aspek kawasan tetapi pada masa sama kita lihat dari aspek penempatan penduduk berdasarkan suku kaum, takkan nak masukkan separuh di sini, separuh di sana, seboleh-bolehnya kita tidak pecahkan suku kaum itu. Kajian persempadanan semula berdasarkan kepentingan pengundi dan pemimpin setempat yang akan dipilih menjadi wakil rakyat.

S: Apakah faktor yang menyebabkan cadangan persempadanan semula dibawa ke mahkamah?

J: Puncanya ialah apabila ada pihak tertentu tidak berpuas hati dengan apa yang dibuat SPR dan dia ada hak untuk bawa ke mahkamah. Penyelesaian terbaik isu berkaitan dengan SPR ini ialah bawa ke mahkamah, tak guna bertelingkah di luar, tuduh menuduh, tohmahan, apa sahaja yang ada kaitan dengan SPR, rasa tidak puas hati, kemusykilan perlu dibawa ke mahkamah dan SPR tidak pernah melanggar keputusan mahkamah. Ketika bantahan berjalan, ada masa mahkamah membuat keputusan menangguhkan dan kita tangguhkan.

Ada ketika mahkamah tidak membuat keputusan segera, SPR akur, tidak berbangkit isu SPR terburu-buru. Apa sahaja dibuat mahkamah, keputusan memihak atau tidak, SPR akan patuh. Tidak berbangkit isu kita tergopoh-gapah atau kata kita nak cepat. SPR tidak ada niat buruk. Ada juga orang pertikai kenapa SPR mahu mengemukakan cepat laporan akhir kepada Perdana Menteri. Apabila kita sudah siap, takkan kita nak simpan, buat apa nak tunggu?

S: Selepas usul ini diluluskan Dewan Rakyat, apa proses seterusnya?

J:Apabila SPR menyiapkan laporan akhir, kita hantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ia selaras tuntutan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selepas menghantar kepada Perdana Menteri, tugas SPR sudah selesai. Tugas Perdana Menteri pula yang bawa perkara itu ke Dewan Rakyat sama ada Perdana Menteri hendak bawa atau tidak, itu keputusan Perdana Menteri. Jika Perdana Menteri tidak membentangkan laporan akhir kepada Dewan Rakyat dan kemudian Parlimen dibubarkan, tugas SPR adalah mengendalikan PRU menggunakan persempadanan lama. Tetapi pada masa sama, kalau Perdana Menteri membawa ke Parlimen untuk dibahas kemudian diundi dan diluluskan, kita angkat (bawa) kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan tuanku dan wartakan.

Selepas diwarta, maka dengan sendirinya persempadanan lama berakhir dan bila ada pilihan raya, SPR akan gunakan persempadanan baharu. Oleh itu, tak boleh dikatakan SPR akan gunakan persempadanan baharu jika ia tidak diluluskan di Parlimen. SPR tunggu keputusan Parlimen. Kalau Parlimen tolak, kita tidak boleh kata apa, yang SPR serahkan itu adalah syor cadangan. Yang buat keputusan adalah Dewan Rakyat. Kenapa SPR yang menjadi sasaran kemarahan individu tidak berpuas hati?

S: Ada dakwaan mengatakan SPR sengaja membuat cadangan persempadanan semula untuk kepentingan parti tertentu?

J: Bercakap memang mudah. Sebelum ini kita buat berdasarkan peta, sekarang kalau nak pecahkan kawasan kena tengok keadaan muka bumi, sama ada jalan raya, lebuh raya, bukit, sungai atau kawasan perumahan. Perlu diingat setiap persempadanan baharu membabitkan manusia, pengundi, pergerakan pengundi akan berlaku, tak boleh hendak elak. Sebab itu, saya minta media bantu SPR dari segi kempen semak dan jom keluar mengundi.

S:Adakah tindakan mewujudkan persepsi negatif terhadap SPR demi kepentingan parti tertentu?

J: Pada PRU-13 lalu, walaupun persempadanan lama digunakan, ada negeri tumbang, kenapa tak bangkit suarakan, kenapa diam sahaja. Dulu pun wujud persepsi 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk untuk memberi undi kepada satu-satu parti politik tetapi selepas PRU, tiada satu pun petisyen sampai kepada kita, tak ada laporan polis dibuat. Saya cukup bimbang PRU akan datang, ada pihak yang viralkan pergerakan warga asing di Putrajaya menaiki bas pekerja ke kawasan pembinaan kononnya berlaku pada hari pengundian.


DI seluruh negara ada 8,971 pusat mengundi dan 29,907 saluran mengundi. - Foto hiasan

S: Apakah pandangan Tan Sri mengenai Kempen Undi Rosak, adakah tindakan itu memberi kesan kepada jumlah yang keluar mengundi?

J: Berkesan atau tidak, bergantung kepada penerimaan masyarakat terhadap kempen. Apa juga kempen jika masyarakat tidak terima, ia tidak akan terjejas atau terkesan tetapi kalau masyarakat menerima kempen berkenaan, maka ia akan menjejaskan peratusan keluar mengundi. Contohnya pada PRU-13, sebanyak 173,000 undi rosak yang ditolak. Jika perkara ini berterusan, sudah pasti angka itu akan bertambah. Kedua, kita perlu tanya apa tujuan kempen merosakkan undi. SPR sedaya upaya menggunakan segala kekuatan, kemudahan untuk pastikan rakyat mendaftar dan keluar mengundi supaya peratusan mengundi tinggi, lebih daripada jangkaan 85 peratus pada PRU kali ini.

Kami harap jumlah keluar mengundi berada pada kadar 85 peratus, kalau undi rosak, kempen berterusan, siapa yang untung, siapa yang rugi? Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada warga negara berusia 21 tahun untuk mengundi, kita yang menentukan siapa yang menjadi pemimpin, kita yang menentukan parti politik mana yang membentuk kerajaan. Itu tujuan kita mengundi, kalau undi rosak, apa tujuannya? Dan kita kena ingat, ada sejarah di Kelantan, ada Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menang cuma dua undi.

Menang dengan dua atau satu undi pun, dia tetap menjadi wakil rakyat, partinya boleh membentuk kerajaan. Jika kita berkempen untuk rosakkan undi, maka keadaan sedemikian mungkin akan terjadi, dan kita akan dapati pemimpin yang kita tak nak tetapi mereka berjaya, sebaliknya pemimpin yang kita mahu, tidak pula menang.

S: Mengenai ejen parti, adakah SPR menetapkan had jumlah?

J: Pada satu-satu masa, hanya seorang ejen dibenarkan berada dalam setiap saluran mengundi. Perlu diingat pengundian berjalan dari jam 8 pagi hingga 5 petang, maka saya tidak nampak ada yang mampu bertahan selama itu. Kalau dia boleh duduk dalam dua jam pun sudah dikira agak lama. Kena ada pengganti jika ejen itu perlukan rehat. Mungkin dua atau empat ejen diperlukan bagi setiap saluran mengundi. Di seluruh negara, ada 8,971 pusat mengundi, manakala 29,907 saluran mengundi. Anggaran ejen yang perlu disediakan jika empat ejen bertanggungjawab bagi setiap saluran mengundi adalah 116,388 orang.

SPR tidak memberi tekanan kepada parti untuk menghantar senarai ejen lebih awal. Bagaimanapun, ia memudahkan SPR untuk menyelia kerana membabitkan orang ramai. Begitu juga masa pengiraan undi, kita akan kira serentak undi bagi Parlimen dan DUN. Kalau parti hantar ejen mencukupi, ada wakil yang akan memerhati proses kiraan undi Parlimen dan DUN, maka tak adalah syak wasangka, dakwa SPR tipu dalam pilihan raya. Kita perlu ada ejen di tempat mengundi dan pengiraan undi dan borang semakan di luar pusat mengundi.

S: Apa pandangan Tan Sri berhubung dengan keperluan penggunaan dakwat ketika proses pengundian?

J: Sebelum ini, SPR menyediakan dakwat kerana mereka kata perlu dakwat, dulu calit, sekarang guna kaedah celup. Sebenarnya dari awal lagi, tidak ada keperluan menggunakan dakwat tetapi kita hendak memenuhi kehendak mereka, nanti orang kata SPR mudah tipu, nanti dakwa pengundi boleh mengundi dua tiga kali. Ketika ini banyak negara yang sebelum ini mengguna kaedah calit dan celup, sudah tidak lagi menggunakannya. Cuba kalau SPR tak buat, mereka akan bising, sebab persepsi negatif terhadap SPR sentiasa ada.

S: Bagaimana SPR menangani berita palsu?

J:Berita palsu memang banyak tetapi dari semasa ke semasa. kita kena tangani, ada perkara kita perlu jawab, ada yang tak payah jawab. Yang perlu kita beritahu ialah yang beri kesedaran kepada rakyat, memberi kemudahan supaya rakyat sedar, rakyat faham, sebab itu saya nak memperkasakan Akademi Pilihan Raya (APR) sebab akademi inilah tempat kita memberi pendidikan kepada orang awam untuk memahami sistem pilihan raya. Dahulu, APR beri tumpuan kepada melatih, membimbing dan mendidik pegawai SPR supaya lebih memahami proses mengendalikan pilihan raya. APR diperkasakan sejak dua tahun lalu.

S: Adakah SPR bercadang untuk mewujudkan peti undi bergerak kepada orang kurang upaya (OKU)?

J: Perubahan akan dibuat selepas PRU ini, jika ia babitkan pentadbiran, kita buat secara pentadbiran. Cadangan wujudkan peti undi bergerak perlukan pindaan akta. Saya pernah minta wakil rakyat kemukakan cadangan ini ke Dewan Rakyat.

1935 dibaca
Berita Harian X