Sabtu, 24 March 2018 | 6:49am
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Sydney, minggu lalu. - Foto BERNAMA

Keserasian Najib, Turnbull kukuh kerjasama akrab

DALAM lawatan ke luar negara yang mungkin dianggap terakhir sebelum Parlimen Malaysia dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-Australia minggu lalu.

Lawatan Najib bertujuan memperkukuh kesepakatan strategik ditandatangani Malaysia dan Australia ketika lawatan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull ke Malaysia pada November 2015.

Kesepakatan dua hala itu signifikan kerana fokus Najib dan Turnbull adalah untuk mempertingkatkan kepercayaan politik serta mencapai kerjasama dua hala lebih hebat yang kemudian boleh melebarkan kepentingan nasional kedua-dua negara.

Lawatan itu juga menggariskan kepentingan diberikan Malaysia kepada ASEAN dan jaringan yang dibina organisasi serantau itu bersama negara di luar lingkungan Asia Tenggara seperti Australia.

Sebagai antara pengasas dan ahli setia gagasan hubungan baik antara negara, Malaysia cukup gigih memperjuangkan ASEAN yang kukuh dan bersatu.

Malaysia menganggap dirinya sebagai kuasa perantara, seperti digariskan Najib pada Februari 2014 (https://www.najibrazak.com/en/speeches/keynote-address-at-the-8th-heads-...).

Hubungan Malaysia dan Australia menunjukkan peningkatan di bawah pentadbiran Najib, menjadikan Malaysia lebih menyokong sasaran Australia untuk hubungan kerjasama rapat dengan ASEAN sebagai rakan kongsi strategik.

Namun ketika Malaysia berminat melihat Australia lebih terbabit dengan ASEAN, ia tidak mungkin menyokong usaha Indonesia supaya Australia menyertai ASEAN sebagai anggota penuh.

Bagi Malaysia, seperti juga Australia di bawah Turnbull, 'Hal ASEAN adalah urusan ASEAN'.

Lawatan Najib juga memperakui betapa seriusnya pandangan Malaysia dalam isu keganasan antarabangsa.

Najib adalah ketua ASEAN yang dipilih dan Malaysia negara ASEAN yang dipilih, dijemput menyampaikan ucaptama penutup pada persidangan pencegahan keganasan yang menjadi tema utama Sidang Kemuncak ASEAN-Australia.

Najib bercakap mengenai bagaimana contoh digariskan Malaysia sebagai negara berpenduduk majoriti Islam, menunjukkan bahawa kepengganasan adalah perbuatan tidak beretika kepada Islam.

Najib sekutu terbaik

Beliau juga menyuarakan kesediaan Malaysia berkongsi kejayaan program deradikalisasi bersama negara lain yang terjejas. Jadi, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Turnbull mengakui Najib sebagai sekutu terbaik Australia dalam perang menentang cengkaman keganasan.

Lawatan Perdana Menteri juga memberi gambaran pendirian kukuh Najib untuk membuktikan golongan pengkritik beliau adalah salah, kononnya pemimpin Australia akan mengelak atau tidak mempedulikannya.

Paling dirasai adalah kritikan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilabel 'musuh ketat' Najib dalam temu bual bersama ABC News Australia menjelang lawatan Najib ke Sydney.

Hasrat Dr Mahathir adalah menghalang Najib menggunakan dasar luar untuk mempertingkatkan status peribadi domestiknya, melalui pengiktirafan dan penerimaan pada peringkat dunia.

Namun usaha Dr Mahathir sia-sia apabila kepemimpinan Australia membentang permaidani merah buat Najib, termasuk menempatkan beliau di kerusi bersebelahan Turnbull ketika makan malam, perkara yang disebut secara khusus Najib pada sidang media bersama media Malaysia.

Kerajaan Turnbull pastinya mengingati penghinaan lampau Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia dan lebih penting, menghargai usaha dilakukan kerajaan di bawah pentadbiran Najib untuk terus mempertingkatkan hubungan Malaysia dan Australia.

Lawatan Najib ke Australia juga memiliki elemen domestik, khususnya menjelang pilihan raya umum di Malaysia. Pengundi sepatutnya mengundi menjelang Ogos, namun pilihan raya umum cenderung diadakan antara pertengahan April hingga pertengahan Mei ini.

Lawatan luar ini bersama pelbagai lawatan luar lain oleh Najib, mempunyai satu sasaran penting.

Ia untuk memperlihatkan kepada rakyat Malaysia bahawa Najib dihormati pada peringkat dunia, kepemimpinan beliau paksi kepada kekukuhan dan kekuatan dasar luar. Disebabkan beliau, Malaysia dianggap negara 'middle power' dengan ciri-ciri Islam yang dihormati peringkat antarabangsa.

Dalam kata lain, Najib mahu menegaskan bahawa pentadbiran beliau adalah yang terbaik untuk melindungi dan memajukan kepentingan nasional Malaysia, termasuk mempertahankan kedaulatan negara.

Ini mungkin menjadi cara terbaik menarik undi sekiranya pentadbiran Najib mampu meyakinkan pengundi bahawa dasar luar hanya akan selamat sekiranya pentadbiran beliau dikekalkan.

Hujah untuk aspek itu adalah wujud kejelasan dan kepastian pada dasar luar Malaysia di bawah gabungan Barisan Nasional (BN), manakala wujud kesangsian dan ketidakpastian jika Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Kem Najib berharap tumpuan dasar luar akan mengetepikan sebahagian cabaran domestik yang selama ini mendepani Perdana Menteri dan kerajaan.

Lawatan ke Australia boleh dianggap penting buat Najib sebagai Perdana Menteri ketika musim pilihan raya.

Dalam manifesto PRU pada 2013, ada disebut khusus mengenai pertemuan Najib bersama pemimpin luar dan pada PRU akan datang, dijangka dasar luar kerajaan di bawah Najib akan turut digariskan melalui manifesto, disertakan gambar Najib bersama Turnbull.

Ia untuk menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai hubungan baik dengan banyak negara di dunia, hasil usaha kerajaan di bawah Najib yang bukan kecil.

Dalam soal hubungan Malaysia dan Australia, penentangan kini digantikan dengan kerjasama dan ketidakpercayaan pula diganti dengan kepercayaan.

Keserasian hubungan peribadi Najib dan Turnbull mampu menjadi aspek penting dalam mengekalkan kerjasama strategik ini.

Amalan diplomasi secara senyap dengan mengelak daripada mencampuri situasi kusut dalam politik domestik negara lain - yang mana Australia cenderung melakukannya sebelum ini apabila mengkritik rekod hak asasi manusia di Malaysia - perlu diteruskan untuk memastikan kelangsungan hubungan Malaysia-Australia yang telah diperkukuhkan.

Sebagai antara 10 rakan dagangan terbaik masing-masing, kepentingan ekonomi terus menjadi keutamaan kedua-dua negara.

Usaha melonjakkan ekonomi Malaysia cukup penting bagi kerajaan ditadbir Najib kerana kunci utama bagi mewajarkan hak kuasa politik adalah bersandarkan pencapaian ekonomi negara.

Kedua-dua negara juga komited bekerja bersama untuk mengekalkan keselamatan maritim, yang menjadi kepentingan bersama Malaysia-Australia dengan mewujudkan kebebasan pelayaran di perairan wilayah Indo-Pasifik.

Mekanisme itu sebahagian daripada kerjasama 'Five Power Defence Arrangements' yang turut dianggotai Australia dan Malaysia.

Walaupun Indonesia masih kekal rakan kongsi strategik paling penting Australia di rantau ASEAN, Australia boleh memandang Malaysia sebagai negara gerbang tambahan untuk bekerjasama dengan ASEAN.

Ia boleh berlaku, tetapi dengan satu kaveat: Najib terlebih dahulu perlu dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU akan datang.

319 dibaca
Berita Harian X