Jumaat, 23 March 2018 | 7:49am

Cegah mudarat HIV menerusi undang-undang

SEDIKIT masa dahulu, ramai penghidap HIV/AIDS terdiri daripada penagih dadah berbanding penularan menerusi hubungan seksual. Hari ini statistik menunjukkan bahawa kaedah penularan utama ialah melalui hubungan seksual.

Fakta dari sektor HIV/jangkitan penyakit seksual (STI) Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan menunjukkan kes baharu jangkitan HIV di negara ini disumbangkan oleh pengamal lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT), ekoran daripada aktiviti seksual mereka.

Kes HIV/AIDS melonjak dari 983 kes pada 2009 kepada 2,864 kes pada 2016. Daripada jumlah ini, 54 peratus ialah pengamal hubungan seks luar tabii, seperti 'men-sex-men' (MSM) dan biseksual, manakala selebihnya melalui hubungan heteroseksual.

Apa yang membimbangkan, kira-kira 40 peratus daripada golongan yang mengamalkan MSM dan biseksual ini berada dalam julat umur 19 hingga 29 tahun dan kebanyakannya mahasiswa, manakala 31 peratus mewakili golongan profesional berumur antara 30 hingga 39 tahun.

Transgender berisiko

Pengamalan MSM juga tinggi dalam kalangan transgender/mak nyah. Dilaporkan bahawa golongan transgender berisiko sebanyak 49 kali dijangkiti HIV/AIDS.

Trend kadar jangkitan baharu HIV/AIDS yang rata-rata disebabkan oleh pengamal MSM dan biseksual ini, bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di negara lain. Di Filipina, 85 peratus kes baharu jangkitan HIV membabitkan lelaki berumur 15 hingga 24 tahun yang mengamalkan hubungan sejenis. Ini menjadikan Filipina sebagai negara yang paling cepat kadar jangkitan HIV di Asia Pasifik.

Jabatan Kesihatan negara itu juga mengumumkan bahawa kenaikan kadar jangkitan ini seiring peningkatan kadar penggunaan kondom dalam kalangan mereka yang melakukan hubungan sejenis, iaitu dari 36 peratus pada 2011, kepada 50 peratus pada 2015. Ini menunjukkan bahawa mereka sedar mengenai risiko HIV/AIDS, justeru memilih untuk meningkatkan penggunaan kondom, bukan meninggalkan gaya hidup songsang.

Amerika Syarikat (AS) yang menyokong gaya hidup LGBT dan pernah memberikan anugerah kepada aktivis transgender Malaysia serta mempunyai perkhidmatan kesihatan jauh lebih baik daripada kita, juga tidak terkecuali.

Bermula dengan sebuah sahaja negeri yang mengiktiraf perkahwinan sejenis pada 2004, meningkat kepada 36 negeri pada 2015. Akhirnya, Mahkamah Tinggi AS memaksa semua 50 negeri menerima perkahwinan sejenis.

Kesannya seperti dikeluarkan oleh Centers for Disease Control and Prevention (CDC), AS menunjukkan lelaki gay dan biseksual menyumbang kepada 67 peratus kes baharu HIV/AIDS. Kajian mereka juga menunjukkan seks secara anal atau hubungan liwat faktor risiko tertinggi membawa kepada jangkitan kuman.

Kecenderungan sengaja dipilih

Dengan data yang menggerunkan ini, masyarakat Malaysia perlu lebih bersedia untuk menghadapi ancaman LGBT agar tidak merebak. Homoseksual, sama ada lesbian atau gay dan biseksual ialah kecenderungan seksual yang sengaja dipilih di luar daripada struktur kekeluargaan yang sihat.

Perilaku seksual songsang adalah haram menurut agama Islam dan undang-undang syariah memperuntukkan kesalahan melakukan liwat (perhubungan seks sesama lelaki) dan musahaqah (perhubungan seks sesama perempuan).

Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 menjadikan liwat suatu kesalahan yang boleh didenda sehingga RM5,000, dipenjarakan sehingga tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan. Seksyen 26 akta sama pula menghukum perempuan yang melakukan musahaqah dengan hukuman sama apabila disabitkan.

Kesalahan melakukan seks luar tabii juga suatu kesalahan berasaskan seksyen 377B mengikut Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman sehingga dua puluh tahun penjara dan sebatan.

Transgender pula lebih kepada lelaki lembut yang sengaja menonjolkan identiti diri mereka sebagai perempuan, melebihi identiti asal mereka, iaitu lelaki.

Larangan menjadi transgender difahami daripada hadis dalam Sahih al-Bukhari. "Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Allah melaknati golongan lelaki yang sengaja menyerupai wanita dan perempuan yang sengaja menyerupai lelaki".

Justeru, undang-undang syariah menerusi seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 menjadikannya suatu kesalahan perbuatan lelaki berlagak atau berpakaian seperti perempuan tujuan yang tidak bermoral.

Ini termasuk golongan mak nyah yang berpakaian perempuan dan lelaki yang berasakan diri mereka perempuan yang terperangkap dalam badan lelaki (transeksual).

Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, bagaimanapun, melarang terus perbuatan ini dilakukan di tempat awam untuk apa sahaja tujuan. Perlis menamakan kesalahan ini sebagai kesalahan pondan dan mengenakan hukuman bukan sahaja terhadap lelaki berlagak perempuan, tetapi juga perempuan yang berlagak seperti lelaki.

Jika begini hakikatnya, mana mungkin undang-undang yang ada, termasuk peruntukan kesalahan di bawah undang-undang kesalahan jenayah syariah dan Kanun Keseksaan dituduh menyekat kebebasan asasi dan mengganggu privasi apabila membendung perlakuan yang menjejaskan institusi keluarga dan merosakkan keturunan ini.

Mana mungkin penguat kuasa agama turut dituduh sebagai polis moral dan berlagak Tuhan. Justeru, anggota masyarakat perlu membantu dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menangani trend LGBT, agar tidak berleluasa dalam masyarakat.

Penulis ialah ahli jawatankuasa bertindak Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the Universal Periodic Review (UPR) Process (MACSA)

1401 dibaca
Berita Harian X