Selasa, 6 March 2018 | 9:19am
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ketiga Belas di Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Program berpaksi rakyat terus diberi perhatian

ALHAMDULILLAH, beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama pada hari ini dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keenam, Parlimen Ketiga Belas.

Ahli Yang Berhormat.

Beta bersyukur walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, namun kerajaan kekal fokus serta komited melaksanakan dasar transformasi fiskal serta pengurusan ekonomi dan kewangan negara secara berhemat. Kewangan kerajaan juga dijangka akan lebih kukuh, disumbang oleh kutipan hasil lebih tinggi, pertumbuhan perbelanjaan sederhana dan defisit fiskal yang disasarkan terus berkurangan. Rizab antarabangsa pula kekal kukuh, manakala hutang Kerajaan Persekutuan terurus dan terkawal.

Perdagangan luar Malaysia dijangka kekal berdaya tahan selaras aktiviti perdagangan global yang semakin meningkat. Negara juga masih kekal sebagai satu daripada destinasi pelaburan pilihan dan dijangka dapat menarik pelaburan lebih tinggi pada 2018. Diharapkan momentum prestasi positif ini dapat dikekalkan.

Demi masa depan, negara hendaklah terus mempertingkatkan usaha kerana mengekalkan kejayaan adalah lebih sukar daripada mencapainya. Justeru, beta menyeru semua program dan projek yang dirancang dilaksanakan dengan mengambil kira cabaran semasa yang dihadapi negara.

Beta mengalu-alukan langkah kerajaan yang berterusan untuk menangani isu yang dekat di hati rakyat melalui pelbagai inisiatif, terutama berhubung kos sara hidup. Beta percaya lebih banyak lagi inisiatif akan diperkenalkan berikutan langkah kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi merangka program bersesuaian yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban rakyat.

Kesejahteraan rakyat

Kerajaan beta akan terus menyediakan peruntukan bagi melaksanakan lebih banyak program dan projek berpaksikan rakyat demi kesejahteraan mereka. Subsidi dan bantuan bersasar akan terus disediakan kepada golongan yang memerlukan.


YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menerima titah diraja daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ketiga Belas di Bangunan Parlimen. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Ahli Yang Berhormat,

Perpaduan adalah inti pati kepada keamanan serta kesejahteraan hidup rakyat dan kestabilan negara. Ke arah itu, beta berharap penghayatan warisan sejarah negara dan penguasaan bahasa kebangsaan terus diperkukuhkan sebagai asas jati diri rakyat Malaysia.

Beta mengalu-alukan peningkatan dalam skor Indeks Syariah Malaysia yang merupakan satu komitmen kerajaan dalam melaksanakan pentadbiran negara berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Dalam hal ini, nilai kesederhanaan yang sentiasa diperjuangkan oleh Malaysia juga mendapat keyakinan dunia apabila resolusi bagi menangkis penyebaran fahaman ekstremisme dan radikalisasi yang dikemukakan Malaysia diterima dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kerajaan beta akan terus melaksanakan program transformasi bagi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat di luar bandar, Sabah, Sarawak, peneroka FELDA, pekebun kecil RISDA, peserta FELCRA, penduduk kampung tradisional dan masyarakat Orang Asli serta Bumiputera minoriti di Sabah dan Sarawak. Latihan kemahiran dan program keusahawanan yang telah berjaya meningkatkan pendapatan golongan sasar berkenaan akan diteruskan momentum pelaksanaannya.

Dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat bandar, beta mengalu-alukan langkah menambah baik sistem pengangkutan awam yang kini kadar penggunaannya semakin meningkat setiap hari. Beta yakin projek infrastruktur pengangkutan awam yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan akan turut memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

Kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan juga akan dipertingkatkan dengan nilai tambah dan nilai cipta terkini menerusi kelestarian pelbagai inovasi dan idea kreatif, serta berteraskan kolaborasi pintar antara pemegang taruh bidang kesihatan daripada pelbagai sektor.

Ahli Yang Berhormat,

Ancaman ke atas keselamatan dan keamanan negara adalah sesuatu yang nyata dan muncul dalam pelbagai bentuk. Beta menyeru supaya kerajaan terus mempertingkatkan tahap kesediaan, terutama dalam penguatkuasaan, termasuk di ruang siber, keupayaan risikan, rondaan di sempadan dan perairan negara serta usaha membanteras aktiviti pemerdagangan orang.

Beta juga berharap tiada pihak yang menjadikan isu keselamatan negara sebagai bahan sendaan dan mainan politik. Begitu juga ancaman penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda dan pelajar kini semakin serius. Justeru, beta menggesa semua pihak mengambil langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk membanteras ancaman berkenaan.


YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ketiga Belas di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Sokong undang-undang tangani penyebaran berita palsu

Pada masa ini, media sosial amat berpengaruh dalam membentuk nilai dan budaya sesuatu masyarakat. Semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing untuk mempertahankan budi pekerti dan nilai baik masyarakat. Dalam hal ini beta amat menyokong cadangan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial.

Bidang pendidikan yang adalah nadi pembangunan negara akan terus memberi tumpuan kepada Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET). Pada masa sama, bagi meningkatkan lagi prasarana sekolah, projek naik taraf sekolah daif, terutama di Sabah dan Sarawak telah dipercepatkan pelaksanaannya untuk meningkatkan kemudahan dan keselesaan pembelajaran murid.

Beta amat sukacita pelbagai program dan aktiviti akan dilaksanakan bagi memperkasakan wanita dalam pelbagai sektor, termasuk memastikan 30 peratus daripada mereka berada pada peringkat pembuat keputusan. Kini, sasaran berkenaan sudah tercapai dalam sektor awam dan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Usaha akan diteruskan untuk mempertingkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan agar lebih cekap bagi menjadikan Malaysia antara kelompok 20 negara teratas di dunia. Penurunan kuasa Kerajaan Persekutuan secara pentadbiran bagi perkara tertentu untuk membolehkan kementerian dan agensi kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak membuat keputusan segera ke atas program dan projek untuk rakyat sangat dialu-alukan.

Pada masa sama, integriti dan tadbir urus pentadbiran awam akan terus diperkasakan untuk membanteras elemen kebocoran, penyelewengan dan salah guna kuasa.


YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan memberi tabik hormat ketika memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA

Kerajaan beta akan terus memodenkan sektor pertanian, termasuk komoditi dan kelapa, di samping meneroka sumber kekayaan baharu seperti durian, herba, tenusu dan sarang burung walet. Usaha hendaklah diambil untuk memastikan eksport pertanian dan komoditi memenuhi piawaian dan menembusi pasaran antarabangsa.

Ahli Yang Berhormat,

Beta mengucapkan terima kasih dan menghargai komitmen serta sumbangan semua pihak dalam menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara yang dengannya membolehkan pembangunan dan kemajuan negara berjalan baik dan hasilnya kita nikmati sekarang.

Terima kasih juga kepada kerajaan Perdana Menteri yang menggembleng tenaga bagi membangunkan negara Malaysia yang tercinta.

Akhir titah, beta berdoa semoga negara Malaysia serta rakyatnya akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.

413 dibaca
Berita Harian X