Isnin, 26 Februari 2018 | 7:01am

Wakil rakyat budiman dekat di hati

KETIKA belajar di universiti, mahasiswa berpeluang mengukuhkan disiplin ilmu mengikut bidang pilihan masing-masing, bertanggungjawab menguasainya sama ada bidang sains, teknikal atau sains sosial.

Bagi mahasiswa yang bakal menjadi pendidik pula, bukan sahaja disiplin ilmu, tetapi juga menguasai pedagogi dan kini umum bercakap pula mengenai Pedagogi Abad Ke-21 serta terapan Industri Kreatif 4.0.

Mahasiswa juga ikut bertanggungjawab mencorakkan kejayaan dan pencapaian sesebuah universiti. Lalu, mereka dituntut melaksana dan menjayakan pelbagai aktiviti mendekati komuniti, sama ada yang bersifat setempat, dalam negeri atau antarabangsa.

Untuk menjayakan program dirancang, mahasiswa bersama penasihat harus merangka dan memikirkan sumber dana, ada kala jumlah yang diperlukan sangat besar dan memerlukan sumbangan pihak lain, termasuk ihsan wakil rakyat di kawasan universiti atau di lokasi program.

Seorang wakil rakyat sifatnya mewakili masyarakat dan menjadi insan istimewa di kawasannya kerana dipilih oleh pemimpin dan komuniti setempat. Mereka sanggup bersengkang mata dan mengorbankan masa, sebahagian besarnya bersama masyarakat.

Tidak semua mampu memikul bebanan ini yang menuntut komitmen sangat tinggi selain keikhlasan untuk berkhidmat.

Penulis pernah menyaksikan kemesraan seorang wakil rakyat yang akhirnya dilantik berkhidmat sebagai Menteri Besar Kedah, iaitu Datuk Syed Razak Syed Zain Barakhbah yang sangat merendah diri bersama masyarakat.

Masih teringat sehingga kini, di tempat kenduri beliau akan bersalam dengan semua petugas di lokasi keraian hingga mereka yang sedang memasak nasi dan lauk. Kebajikan masyarakat sentiasa dibela.

Begitu juga di universiti, barisan kepemimpinan Majlis Perwakilan pelajar (MPP) umpama 'wakil rakyat', mewakili seluruh mahasiswa dalam memperjuangkan kebajikan dan bersama pengurusan universiti mencapai aspirasi dan visi. Justeru, di antara wakil rakyat dan mahasiswa, seakan terdapat persamaan peranan dan adakalanya saling memerlukan.

Wakil rakyat perlu berkhidmat dengan mengutamakan rakyat atau penduduk di kawasan beliau wakili, mahasiswa pula perlu memenuhi tuntutan kehidupan di kampus dan kolej kediaman.

Mahasiswa sering disaran menjalankan khidmat komuniti atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan bergelumang dengan masyarakat, melaksanakan program bakti siswa di kampung, taman perumahan dan bandar, mengikut objektif projek.

Mereka akan membuat perancangan awal dari pelbagai aspek seperti pengisian aktiviti, tarikh, tempat, objektif, golongan sasaran, logistik, pengangkutan, publisiti dan promosi serta kewangan (pendapatan dan perbelanjaan).

Setelah berjaya menyusun tenaga penggerak, bab kewangan adalah hal paling serius kerana tanpa wang, program tidak boleh digerakkan, sekali gus menyebabkan mahasiswa atau penganjur mengharapkan belas ihsan wakil rakyat.

Memang beruntung jika program mahasiswa disokong wakil rakyat yang sangat prihatin dan tidak ingin menghampakan harapan pelajar yang bukan semuanya memiliki wang, malah peruntukan universiti juga ada kala tidak mencukupi.

Mahasiswa akan bersyukur, menarik nafas lega apabila ada wakil rakyat sudi menaja dan menyumbang supaya anak bangsa dapat berbakti kepada masyarakat. Betapa harumnya perasaan mendapat khabar wakil rakyat sudi hadir merasmikan program dan memberi sumbangan.

Mungkin ada mahasiswa dalam senyap sujud di sejadah mendoakan Allah memurahkan rezeki ke atas wakil rakyat berkenaan. Hebat bukan sumbangan dan jasa budi seorang wakil rakyat?

Saling memerlukan

Penulis ingin menyatakan bahawa wakil rakyat dan mahasiswa saling memerlukan dan memahami fungsi masing-masing. Wakil rakyat yang ikhlas berkhidmat tanpa mengira musim, sebaik mungkin ingin memenuhi harapan mahasiswa yang bakal memimpin masa depan.

Kita tabik kepada wakil rakyat atau pemimpin yang mudah didekati, mudah mesra, senang bertemu, boleh datang dan duduk bersantai sambil minum-minum, malah bergelumang dengan aktiviti mahasiswa dan warga kampus walaupun sekejap.

Perlu diingat, pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, generasi muda termasuk mahasiswa turut menjadi penentu keputusan.

Bagi wakil rakyat yang menjiwai amanah dan tanggungjawab, tanpa mengira waktu mendampingi dan memesrai mahasiswa, tentulah nama mereka akan disebut-sebut oleh mahasiswa.

Penulis sendiri secara peribadi teruja dengan keperibadian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dengan penampilan mesranya, menjiwai suka duka mahasiswa serta bermurah hati. Semoga segala sumbangannya mendapat keberkatan Ilahi.

Kepada semua wakil rakyat yang pernah berbakti dan berbudi kepada program mahasiswa di seluruh negara, kita mengharapkan mereka dapat terus berkhidmat kepada rakyat dan mahasiswa jika terpilih menjadi calon dan memenangi pilihan raya.

Tentunya universiti dan mahasiswa sangat menyanjung segala sumbangan dan budi baik wakil rakyat serta pemimpin yang pernah berbakti kepada mereka.

Universiti mendapat tempias dan limpahan nikmat daripada pengorbanan wakil rakyat hingga dapat melahirkan pemimpin mahasiswa yang hebat kemahiran insaniahnya.

Bak bicara pantun dalam masyarakat Melayu yang terkenal:

Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga

Hancur badan dikandung tanah

Budi yang baik dikenang juga.

Budi baik wakil rakyat yang menyokong dan membantu universiti pastinya menjadi kenangan terindah buat warga kampus.

Di antara mahasiswa dan wakil rakyat, masing-masing memikul amanah demi manfaat masyarakat yang memerlukan bantuan dan sokongan moral serta fizikal.

Memudahkan program anjuran mahasiswa ada manfaatnya, termasuk dari segi sokongan politik pelajar berkenaan dan juga masyarakat yang didekati mereka.

Bukan perkara asing mahasiswa menganjurkan program anak angkat di serta ceruk negara yang biasanya dipermudahkan dengan bantuan dan budi baik wakil rakyat di kawasan program berlangsung.

Bagi wakil rakyat yang budiman, mereka akan bertapak dekat di hati masyarakat dan boleh menjadi sanjungan rakyat dan mahasiswa.

Sekurang-kurangnya jika tidak terpilih lagi meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat, mereka masih boleh tersenyum lantaran sudah bersungguh-sungguh berbakti kepada rakyat, kebaikan yang dicurah akan disebut-sebut sehingga mereka tiada lagi di dunia ini.

Ingatlah, generasi hari ini sentiasa mengharapkan kehadiran dan menjulang pemimpin yang berakhlak, ikhlas, intelek, bervisi serta bersimpati dengan nasib dan suara hati masyarakat serta menghayati aspirasi generasi muda.

252 dibaca
Berita Harian X