Ahad, 11 Februari 2018 | 6:46am

Stres dan kaitannya dengan kes dera

KEMARAHAN yang sukar digambarkan, ketakutan menghantui benak fikiran, kecelaruan dalam menentukan arah hidup, kesedihan yang tidak pasti di mana penghujungnya.

Itulah mungkin sejuta rasa terpendam dalam jiwa mangsa dera.

Sesiapa sahaja yang menatap kes penderaan di media pasti tersentuh jiwa, pembacaan terhenti seketika atau tidak mampu diteruskan lagi, dek sadisnya perbuatan di luar batas perikemanusiaan, sama ada dilakukan oleh bapa, ibu atau penjaga.

Tampaknya, mangsa dera, terutama anak kecil boleh diperlakukan apa sahaja tanpa sebarang undang-undang yang melindungi mereka.

Kes dera yang berleluasa sudah pasti menimbulkan pelbagai tanda tanya, apa kesudahannya?

Mengapa mereka didera? Mengapa pula si pendera mendera? Siapa yang harus dipersalah dan dipertanggungjawabkan?

Apa lagi tindakan yang patut diambil, hukuman apa yang patut ditambah? Apa, bagaimana, mengapa, siapa? Itulah persoalan yang mungkin ada dalam kotak fikiran ramai.

Seribu satu persoalan mengenai isu penderaan yang kembali melanda negara kebelakangan ini, masih jauh daripada terjawab.

Cari jalan penyelesaian

Bukan masanya kita menuding jari, tetapi semua pemegang taruh perlu bersatu mencari jalan penyelesaian. Biarlah tertuduh diadili oleh undang-undang yang ada.

Sebagai contoh, mereka yang mendera kanak-kanak, sama ada secara fizikal atau mental bakal berdepan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016, hukuman denda sudah dinaikkan kepada RM50,000 bersama hukuman penjara sehingga 20 tahun bagi kesalahan mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak.

Jika membabitkan kematian mangsa dera pula, sudah tentu siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati kepada pesalahnya.

Ironinya, setinggi mana pun hukuman yang dikuatkuasakan, jika mental dan emosi menguasai diri, kes penderaan akan tetap berulang.

Isu penderaan, stres berkait

Melalui penelitian terhadap latar belakang kes dera yang berlaku kebelakangan ini, isu penderaan dan stres memang sukar dipisahkan.

Stres yang berlebihan dan berterusan membawa kepada ketegangan (strain) yang menyebabkan kemurungan (depression).

Kemurungan kesan daripada stres pekerjaan dan peribadi menyebabkan gangguan psikologi, fisiologi dan akhirnya mencetuskan tingkah laku di bawah sedar atau luar kawal.

Di sinilah penderaan berlaku apabila individu sukar membuat pertimbangan yang baik dan buruk terhadap sesuatu tingkah lakunya.

Berdasarkan rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kes penderaan kanak-kanak semakin menunjukkan peningkatan dan sesuatu perlu dilakukan untuk menanganinya.

KPWKM mengenal pasti punca penderaan yang berkaitan dengan ibu bapa atau penjaga yang mengalami stres di tempat kerja, masalah kewangan dan masalah rumah tangga.

Antara sebab mereka melepaskan geram sehingga memukul dan mencederakan anak kerana kegagalan ibu bapa mengimbangi antara tuntutan anak dan diri mereka sendiri dengan stres di tempat kerja.

Faktor luaran lain yang menyumbang kepada kes penderaan kanak-kanak ialah kejiranan, latar belakang keluarga, persekitaran sosial dan keadaan hidup.

Penggemblengan usaha semua pemegang taruh perlu sebelum kes penderaan menjadi semakin parah dan menjadi barah dalam masyarakat.

Jika stres yang menjadi punca masalah, strategi mengurus stres yang berkesan perlu diberi penekanan dalam setiap tindakan.

Strategi mengurus stres perlu membabitkan keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya. Setiap individu perlu diberikan kesedaran dan ilmu pengetahuan mengenai konsep bekerja dan perlu aspek sosial dalam menyokong perkembangan kerjaya.

Kedua-duanya saling bergantung dalam usaha individu itu mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Kesedaran berterusan mengenai kepentingan keseimbangan ini membuahkan kesejahteraan emosi dan mental.

Apabila kesejahteraan emosi dan mental dicapai, individu mampu berfikir dengan waras dan isu penderaan boleh diminimumkan.

Setiap rakyat Malaysia bukan sahaja perlu sihat dari segi fizikal, malah dari segi mental untuk menjadi seorang individu sihat secara menyeluruh.

Kunci kepada kesihatan mental ialah menangani stres secara berkesan dan inilah cabaran yang perlu kita sedari dan hadapi dalam memastikan kejayaan Transformasi Nasional (TN50).

Meningkatkan keupayaan mental dan mempelajari strategi daya tindak terhadap stres boleh memberikan satu jalan penyelesaian kepada isu penderaan dalam kalangan kanak-kanak.

TN50 yang menggariskan kesejahteraan rakyat pasti dapat dicapai apabila isu stres dapat diminimumkan.

Justeru, semua pihak bermula daripada rakyat di akar umbi sehinggalah kepemimpinan tertinggi negara berperanan penting dalam usaha menangani stres supaya penderaan kanak-kanak tidak berulang.

Penulis adalah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia

415 dibaca
Berita Harian X