Isnin, 5 Februari 2018 | 6:56am

FELDA 2.0 transformasikan tanah rancangan

SEMALAM, FELDA melakar satu lagi sejarah penting dengan pelancaran FELDA 2.0 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Majlis pelancaran juga membawa kembali nostalgia kepada sejarah dan asal usul FELDA apabila disempurnakan di FELDA Lurah Bilut di Bentong, Pahang.

FELDA Lurah Bilut dipilih sebagai lokasi projek perintis itu kerana ia adalah tanah rancangan pertama dibangunkan pada 1958 oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Kini usaha transformasi dan nafas baharu FELDA diteruskan pula oleh anak Tun Razak, Datuk Seri Najib Razak.

Najib mempunyai semangat sama dengan ayahandanya untuk memajukan tanah rancangan menempatkan rakyat berbilang kaum itu.

Warga peneroka awal pasti berbangga kerana legasi perjuangan Tun Razak kini diteruskan pula oleh anaknya.

Sesungguhnya, Tun Razak dan FELDA berpisah tiada dan kini ungkapan itu sinonim dengan Najib pula.

FELDA 2.0 adalah satu inisiatif untuk mentransformasi dan memberi wajah baharu kepada 317 kawasan tanah rancangan FELDA di negara ini.

Naik taraf, lebih berdaya saing

Inisiatif baharu yang dilancarkan Perdana Menteri bukan sahaja memberi fokus untuk mewujudkan komuniti FELDA yang pintar, mampan dan berdaya tahan, tetapi juga lestari dari segi ekonomi serta alam sekitar.

Seperti yang ditegaskan Najib, FELDA 2.0 adalah gagasan idea untuk membangun dan menaik taraf kawasan FELDA supaya lebih berdaya saing selaras dengan elemen komuniti pintar serta lestari.

FELDA 2.0 adalah satu inisiatif yang menekankan strategi atau pendekatan 'terbuka dan terhubung' yang membawa lonjakan dalam komuniti peneroka, bersesuaian dengan kemudahan teknologi semasa dan memenuhi aspirasi masa depan.

Ini kerana, antara kawasan luar bandar di negara kita yang dilihat semakin berkembang pembangunannya ialah kawasan FELDA. Fakta ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Pembangunan kawasan rancangan tanah berkenaan adalah kerana komitmen berterusan kerajaan membangunkan masyarakat peneroka dan generasi pewaris mereka.

Pembangunannya semakin berkembang dan dilihat berpotensi untuk dimajukan kerana masyarakat dan penduduknya memang dididik agar mempunyai semangat daya juang dan bekerja yang tinggi sehingga mereka berjaya hari ini.

Lurah Bilut dipilih kerana ciri-ciri yang saya nyatakan di atas, ditambah dengan ramai dalam kalangan generasinya sudah berjaya dan majoriti mereka sanggup pulang semula ke tanah kelahiran untuk bersama membangunkannya.

Melalui transformasi FELDA 2.0, kita mahu membangunkan satu komuniti yang bukan sahaja sihat dan berdaya tahan, tetapi juga lestari dari aspek ekonomi, alam sekitar serta pintar, iaitu berteraskan teknologi terkini.

Inilah salah satu bentuk gabungan transformasi di mana khazanah warisan sejarah, keterhubungan internet dan kelestarian alam sekitar digabung jalin bagi mewujudkan sebuah lembah digital FELDA.

Apabila ini berjaya dilaksanakan nanti, maka antara faedah yang bakal diterima penduduk FELDA ialah pengurangan jurang pendapatan di antara bandar dan luar bandar.

Semoga dengan adanya usaha yang baik seperti ini, ia akan membuka ruang bagi FELDA untuk melahirkan lebih ramai usahawan baharu dalam pelbagai bidang.

Ia termasuk dalam bidang perniagaan berkonsepkan agropelancongan di kawasan tanah rancangan seperti yang dilaksanakan di Lurah Bilut.

Tingkat potensi FELDA

Berpaksikan konsep terbuka dan terhubung, maka konsep pembangunan di Lurah Bilut sebagai antara pencetus transformasi FELDA 2.0, akan dilebarkan juga di beberapa kawasan FELDA lain di seluruh tanah air.

Inilah usaha kerajaan melalui FELDA bagi menerajui usaha mentransformasikan kawasan luar bandar agar penduduknya setanding, bukan sahaja dengan penduduk bandar, malah berkembang ke peringkat antarabangsa.

Inilah komuniti yang ada. Eksperimen yang dimulakan di Lurah Bilut sejak negara merdeka sehingga 317 rancangan tanah lain dibuka, menjadikan FELDA lebih mapan dan pintar seiring perkembangan semasa ketika ini.

Ruang yang biasanya disediakan untuk orang bandar bekerja secara digital, dibawa ke suasana luar bandar dan akan menjadikan warga FELDA sebagai komuniti pintar, bijak dan bestari pada era digital, abad ke-21.

Warga FELDA bukan sahaja boleh menggunakan internet berkelajuan tinggi, malah ia dilihat dapat membuka peluang ekonomi, khususnya dalam aspek usahawan digital, pertanian moden serta eko-pelancongan.

Dengan peruntukan sebanyak RM50 juta yang diluluskan Perdana Menteri dan semua insentif baharu demi kejayaan program transformasi FELDA 2.0, diharap ia akan terus membantu warga FELDA keseluruhannya.

Kita juga berharap warga FELDA terus menyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti bagi membolehkan usaha merampas semula enam kerusi Parlimen dimenangi pembangkang di penempatan FELDA sebelum ini.

Penulis adalah Penasihat Gabungan Pemikir Anak-Anak FELDA (GAPROF) FELDA Berhad / Ahli Parlimen Sekijang

1626 dibaca
Berita Harian X