Jumaat, 2 Februari 2018 | 7:06am
PENYEBARAN fitnah melalui media sosial dalam kalangan masyarakat masa kini semakin berleluasa dan sukar ditangani. - Foto ihsan Google

Fitnah barah masyarakat, binasakan negara

PENYEBARAN fitnah melalui media sosial dalam kalangan masyarakat masa kini semakin berleluasa dan sukar ditangani. Kebanyakan aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan Telegram diguna bagi menyebarkan pelbagai berita dan cerita palsu berunsur fitnah.

Bagi umat Islam, kita dituntut menyelidiki terlebih dulu berita diterima sebelum disebar.

Fitnah adalah terma dalam bahasa Arab yang mempunyai pelbagai maksud seperti dijelaskan ahli bahasa dan ulama silam, Abu Hasan al-Jurjani. Menurutnya, fitnah ialah sesuatu yang menjelaskan mengenai keadaan sesuatu, sama ada baik atau buruk.

Kamus al-Munjid, yang dianggap paling lengkap dan komperehensif dan dijadikan kamus utama oleh pelbagai pusat pengajian Islam seluruh dunia pula menyatakan beberapa maksud fitnah. Antara maksudnya ialah sangat mengagumkan, ujian, cubaan serta pemberontakan.

Kamus Dewan pula menterjemah fitnah sebagai tuduhan berbentuk kisah dan khabar yang diada-adakan untuk memburukkan atau merosakkan nama baik seseorang, keluarga, masyarakat dan negara.

Berdasarkan pengertian ini, dapatlah difahami bahawa perkataan fitnah mempunyai maksud bertujuan menguji manusia, sama ada tetap dan teguh dengan kebenaran walaupun pelbagai ancaman, tuduhan, cercaan, penganiayaan serta kezaliman ditimpa ke atasnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 2 dan 3 yang bermaksud: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan, hanya dengan mengatakan, 'Kami telah beriman, dan mereka tidak diuji'. Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang benar dan pasti mengetahui orang yang dusta."

Barah masyarakat Melayu

Pada peringkat permulaan Islam, perkataan fitnah dalam al-Quran lebih mengarah kepada perbuatan kufur dan syirik. Perkembangan Islam seterusnya memperlihatkan perkataan ini lebih dinamik, iaitu menjurus kepada tindakan mengusir seseorang dari kampung halamannya, merampas harta kekayaan seseorang, penganiayaan, eksploitasi, penyeksaan serta kezaliman.

Bentuk penggunaannya yang berbeza menurut ahli tafsir adalah disebabkan faktor budaya, realiti dan fenomena masyarakat yang berkembang.

Pemahaman fitnah dalam masyarakat Malaysia lebih terarah kepada tuduhan buruk kepada seseorang untuk mengaib dan memalukan. Antara tanda perasaan hasad dengki ialah penyebaran fitnah, tuduhan, mengaibkan, umpatan dan mencerca di belakang melalui surat layang, rencana, buku, akhbar dan penyebaran khabar angin.

Sebenarnya semua perbuatan berkenaan sudah lama menjadi barah kepada masyarakat Melayu yang membawa kepada kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Penyebaran fitnah akan berterusan selagi wujud sifat meninggi diri dan dengki dalam diri manusia yang akhirnya membawa kepada kehancuran ummah.

Gejala sosiobudaya negatif

Kemajuan sains dan teknologi bukan faktor mengurangkan penyebaran fitnah, sebaliknya kecanggihan media sosial kini menyemarakkan lagi perbuatan fitnah, sekiranya manusia tidak amanah dan bertanggungjawab menggunakannya.

Apabila manusia berasa dirinya lebih baik, kuat dan mulia berbanding orang lain, selagi itulah fitnah akan wujud dalam masyarakat. Oleh itu, perasaan hasad dengki akan menjadi gejala sosiobudaya negatif yang memperlihatkan isi hati manusia dalam masyarakat moden masa kini.

Lebih memburukkan lagi keadaan apabila penyebaran fitnah turut menular dalam kalangan golongan cendekiawan. Terbantutnya kecemerlangan ilmiah di universiti pada hemat saya, disebabkan beberapa faktor, antaranya wujud percakaran dalaman ataupun konflik antara peribadi, antara jabatan dan antara fakulti.

Berdasarkan perbincangan ini, dapatlah dirumuskan bahawa fitnah menjadi satu cabaran dan ujian besar kepada masyarakat masa kini sekiranya tidak ditangani dengan bijak.

Akhlak, nilai murni

Al-Quran menceritakan bagaimana Nabi Yaakob AS sebagai seorang bapa menanggung kesedihan atas kehilangan anak kesayangan, Yusuf AS. Terjadinya perubahan pada penglihatan Yaakob AS kerana menahan pedihnya perpisahan.

Oleh itu, fitnah boleh menyebabkan berlaku kemudaratan pada kesihatan seseorang individu, bahkan boleh mematahkan semangat untuk berusaha. Malah yang lebih besar, fitnah boleh membawa kepada kecelaruan dalam masyarakat dan kehancuran sesebuah negara apabila manusia dikuasai hasad dengki, angkuh, tamak haloba dan gila kuasa.

Sekiranya masyarakat tidak dididik dengan akhlak dan nilai murni yang bertunjangkan iman dan takwa, mereka akan mudah dikuasai berita palsu yang membawa kepada porak peranda dalam masyarakat. Pada masa sama, wujud musuh yang sentiasa berusaha memecahbelahkan perpaduan masyarakat Islam yang teguh dengan prinsip 'bersatu teguh, bercerai roboh'.

Kembali kepada asas agama

Sehubungan itu, masyarakat Islam perlu bijak menangani fitnah dengan mengamalkan sikap 'tabayyun' dan berhati-hati dengan berita disebarkan. Kebijaksanaan dan kesabaran menangani ujian fitnah akan membuahkan hasil apabila kebenaran dapat ditegakkan seperti dirakamkan al-Quran melalui kisah Nabi Yusuf AS dan Nabi Muhammad SAW.

Untuk membendung perbuatan fitnah dalam kalangan umat Islam, kita perlu kembali kepada prinsip asas agama, iaitu akidah, syariat dan akhlak. Islam meletakkan garis panduan jelas dalam menangani fitnah merosakkan kehidupan manusia di bumi Allah ini. Mereka yang ditimpa fitnah hendaklah bersabar dan mengambil langkah positif menanganinya, manakala anggota masyarakat juga perlu diberi kesedaran mengenai bahaya fitnah.

Setiap berita yang mereka sebarkan akan dipertanggungjawabkan di depan Allah SWT. Mereka hendaklah membalas keburukan dengan kebaikan dan yakin bahawa fitnah itu adalah ujian Allah SWT untuk meningkatkan keimanan serta ketakwaan kepada-Nya seperti yang dianjurkan Rasulullah SAW.

Penulis dari Fakulti Pendidikan UKM

304 dibaca
Berita Harian X