;
Khamis, 1 Februari 2018 | 9:41am
SERAMAI 50 anggota dan pegawai Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada Majlis Melafaz dan Menandatangani IBR Peringkat Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur, minggu lalu. - Foto hiasan

Integriti penentu keamanan manusia sejagat

INTEGRITI suatu nilai murni atau kualiti unggul yang harus wujud dalam diri setiap individu atau sesebuah organisasi. Seseorang yang berintegriti melambangkan beliau insan jujur dan amanah dalam pekerjaannya.

Beliau tidak mempunyai sikap tercela seperti khianat, hasad dengki, berbohong, mungkir janji, pecah amanah, menyeleweng dan menerima rasuah ketika menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Beliau juga tidak memilih bulu dan sedia berurusan dengan sesiapa sahaja.

Sikap ini sangat penting kerana ia menjamin integriti seseorang dan menentukan keutuhan sesebuah institusi atau jabatan. Jika berlaku pelanggaran etika kerja, ia akan memberi kesan yang amat besar terhadap integriti individu dan sesebuah institusi. Setiap mereka yang berikrar akan bekerja di sesebuah jabatan mesti memastikan patuh kepada setiap peraturan dan kod etika kerja ditetapkan.

Setiap tugasan diterima mesti dijalankan dengan penuh dedikasi, ikhlas, telus dan amanah serta berlandaskan prinsip Rukun Negara yang merangkumi kepercayaan kepada Tuhan serta kesetiaan kepada Raja dan negara.

Pengurusan integriti penting untuk memantapkan lagi profesionalisme dalam kalangan pekerja, termasuk juga pendidik. Integriti sangat dituntut, terutama dalam kalangan mereka yang bertugas di jabatan kerajaan kerana sebagai penjawat awam, mereka bekerja untuk kesejahteraan masyarakat dan negara. Mereka harus bersikap terbuka dalam menerima rungutan masyarakat.

Bagi mereka yang memegang jawatan pemimpin masyarakat, menjaga keselamatan negara dan menjalankan tugas penguatkuasaan, sikap atau jati diri yang kuat perlu ada untuk melawan dan menolak sogokan seperti rasuah. Ini disebabkan rasuah boleh meruntuhkan institusi dan mengancam keselamatan negara.

Rasuah musnahkan negara

Walaupun hanya segelintir terbabit dalam pengambilan rasuah, tempiasnya turut terkena kepada mereka yang tidak bersalah. Dalam erti kata lain, andai seseorang pemimpin sanggup menjual rahsia negara atau menutup kesalahan orang yang bersalah demi suapan, tidak mustahil negara akan musnah dan hancur kerana wang dan ketamakan.

Dalam hal ini, integriti bukan hanya untuk penjawat awam, tetapi juga pihak swasta kerana mereka turut tidak terkecuali dalam memastikan integriti kekal sebagai nilai murni dalam pengurusan sikap dan integriti pekerjanya. Pihak kerajaan dan swasta perlu saling berhubung dan bekerjasama dalam menentukan hala tuju negara dan mencapai kesejahteraan.

Bagaimanakah cara untuk mengekalkan integriti dan menghalang rasuah? Jawapannya sangat mudah. Setiap individu mesti mempunyai niat yang ikhlas dan beramanah dalam menjalankan tugas. Mereka harus kembali kepada tujuan asal dan ikrar mereka ketika menerima tanggungjawab.

Kerajaan juga berusaha memantapkan integriti dengan memberi perlindungan kepada mereka yang berkongsi maklumat melalui semakan semula Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711). Walaupun akta ini mendapat kritikan, sekurang-kurangnya ada undang-undang dikhaskan untuk kes berkaitan pelanggaran integriti dan etika kerja. Untuk memantapkan lagi usaha ini, kerajaan juga menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Untuk melindungi saksi, Akta Perlindungan Saksi 2009 turut dikuatkuasakan.

Selain itu, penubuhan Institut Integriti Malaysia pada 2004 dalam melaksanakan Pelan Integriti Nasional, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), Unit Integriti di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang berkuatkuasa pada 2015, Unit Integriti di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan unit integriti di beberapa jabatan lain, termasuk mengadakan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) antara usaha dan bukti yang menunjukkan bahawa kerajaan sangat mengutamakan aspek pengurusan integriti.

Ia menekankan usaha serius membanteras pengambilan rasuah dalam kalangan penjawat awam dan sesiapa sahaja yang menerima rasuah.

SPRM juga secara langsung terbabit dalam memastikan tiada rasuah dalam kalangan penjawat awam, ketika bersama-sama menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama lebih 2,000 pegawai kerajaan negeri dan kerajaan tempatan di Kedah pada September lalu.

Untuk memastikan SIAP menjalankan penguatkuasaan sewajarnya, Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) dikuatkuasakan pada 1 April 2011.

Kesimpulannya, banyak usaha dilakukan untuk memantapkan integriti dalam kalangan pekerja, namun ada kes pecah amanah dan rasuah menyebabkan SPRM berasa perlu penambahbaikan anggota penguatkuasaan dan pengukuhan undang-undang.

Penyelewengan haram

Dari sudut agama, Islam mengharamkan rasuah dan semua bentuk penyelewengan lain seperti penipuan, salah guna kuasa, pemalsuan dan penindasan. Ini berdasarkan surah al-Baqarah, ayat 188 bermaksud: "Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui salahnya".

Ayat ini menunjukkan rasuah dilarang sama sekali. Ada juga hadis menunjukkan Allah S.W.T melaknat pemberi dan penerima rasuah. Sesiapa yang memberi dan menerima rasuah boleh dianggap sebagai orang yang melanggar perintah Allah SWT Mereka tidak lagi gentar dengan hukuman ditetapkan di dalam al- Quran dan janji Allah SWT itu dianggap janji palsu. Sebenarnya, itu realiti dan pasti akan dilaksanakan Allah SWT pada masa dikehendakiNya.

Jika golongan ini sanggup melanggar hukum Tuhan dan tidak berasa takut atau gentar dengan balasan dijanjikan, tidak mustahil mereka juga berani melanggar etika pekerjaan yang sememangnya ditetapkan oleh manusia. Walaupun ada hukuman seperti tindakan tata tertib atau pembuangan kerja dan penjara, ini tidak berbekas kepada mereka yang tegar dan terbiasa mengambil rasuah.

Namun, apa yang pasti setiap sesuatu yang dilarang di sisi undang-undang dan agama bertujuan memberi kebaikan dan untuk keamanan manusia sejagat.

Penulis dari Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

471 dibaca
Berita Harian X